Sunday, April 24, 2016

Finalis APO2016: Fara Fauzana, Ke Sepanyol Untuk Kerja Amal




PETALING JAYA: Pengacara Fara Fauzana bakal berangkat ke Sepanyol bagi menyertai program amal pertubuhan Ukhwah For Ummah dalam usaha mengutip dana untuk membina masjid di negara itu.

Fara, 36, berkata, dia bersama beberapa selebriti tempatan akan berada di negara tersebut selama 10 hari untuk meninjau keadaan beberapa masjid dan masyarakat Islam di sana.

"Saya terlibat dalam program amal itu bersama beberapa selebriti tempatan seperti Heliza Helmi, Fynn Jamal dan Diana Amir selama 10 hari.

"Kami berangkat pada Selasa ini dan tujuan saya ke sana untuk meninjau kehidupan masyarakat Islam dan melihat masjid-masjid yang ada di negara itu.

"Saya diberitahu masjid-masjid di sana terlalu jauh antara satu sama lain seperti jaraknya diantara Kuala Lumpur dan Pahang," ujarnya.
Fara berkata demikian ketika ditemui pada sesi temubual bersama deejay Linda Onn di Suria FM pada Jumaat.

Fara tercalon dalam kategori Penyampai Radio Pilihan Online, Anugerah Pilihan Online (APO2016) yang bakal berlangsung pada 30 April ini di TV2.

Fara bersaing dengan empat penyampai radio lain iaitu Dj Lin (Suria FM), Johan (ERA FM), Radin (ERA FM), dan AG (Kool FM).

Fara yang baharu meninggalkan kerjayanya sebagai penyampai radio Hot FM sejak sebulan lalu berkata, kehidupannya kini lebih teratur.

"Sebulan meninggalkan dunia penyiaran radio kehidupan saya lebih tersusun dan tidak terkejar-kejar. Bukan bermakna kehidupan sebagai penyampai radio itu susah.

"Ia bermaksud saya kini ada banyak masa untuk diri sendiri dan boleh buat apa sahaja yang saya inginkan," ujarnya.

Dalam pada itu, bercakap tentang pencalonannya sebagai finalis APO2016, Fara berkata, sepanjang tercalon dalam apa-apa anugerah, dia tidak pernah memaksa orang ramai untuk mengundi dirinya.

Bagaimanapun, dia menghargai dan berterima kasih setiap kali diberi penghormatan untuk memenangi kategori yang dipertandingkan.

"Sepanjang lebih 13 tahun sebagai penyampai radio saya tidak pernah meraih undi atau mengambil peluang ketika bekerja untuk meminta pendengar mengundi saya.

"Namun, saya hargai peminat yang bersusah payah mengundi dan menyokong saya selama ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: