SELEPAS tiga tahun ditubuhkan, Program Rumah Ngaji anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) kini dilihat semakin berkembang dengan baik.
Lebih membanggakan, dalam tempoh itu juga lebih seribu cawangan Rumah Ngaji telah ditubuhkan bukan hanya di dalam negara malah di beberapa negara luar termasuklah selatan Thailand, Singapura dan London.
Terus mengambil inisiatif untuk memberi fokus dan mendekati masyarakat dalam memupuk budaya membaca dan menghayati al-Quran, satu lagi cawangan telah dilancarkan iaitu di restoran Teratak Raihan yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Istimewanya mengenai cawangan kali ini, ia merupakan satu-satunya restoran milik kumpulan nasyid, Raihan yang menyediakan kemudahan dan ruang kepada orang ramai untuk membaca kitab suci al-Quran selain menjamu selera.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan WUI, Marhaini Yusoff berkata, selepas tiga tahun Rumah Ngaji ditubuhkan, kini terus meluaskan pengaruhnya dengan pendekatan yang berbeza.
“Alhamdulillah, sepanjang program ini dijalankan, kita telah menerima sambutan yang amat menggalakkan di mana ia telah melibatkan peserta daripada pelbagai peringkat umur.
“Untuk tahun ke empat ini, kita mula memberi fokus dengan pendekatan yang berbeza seperti pembukaan Rumah Ngaji di restoran ini.
“Dengan pembukaan cawangan pertama di restoran ini, kami juga mengharapkan ia akan menarik minat lebih ramai masyarakat untuk membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran,” katanya ketika majlis pra pelancaran Rumah Ngaji di Teratak Raihan, semalam.
Turut hadir pada majlis itu, Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian yang juga Pengerusi Yayasan WUI, Datuk Abdul Jalil Ali dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Karangkraf, Hashim Anang.
Disoal mengenai pemilihan kumpulan Raihan, Marhaini mengakui pengaruh yang dimiliki nama besar itu sememangnya tidak dinafikan sekali gus mengharapkan kolaborasi ini akan memberi impak yang kuat.
“Kami tidak nafikan golongan selebriti memiliki pengaruh yang sangat kuat di kalangan masyarakat begitu juga dengan Raihan yang sudah sudah mencipta nama di seluruh dunia, jadi dengan adanya kolaborasi bersama mereka ini, diharap dapat menarik lebih ramai individu untuk terlibat dalam program bacaan al-Quran yang telah diaturkan kelak.
“Jika ada di kalangan masyarakat yang sibuk dengan komitmen harian sehingga tidak ada masa untuk membaca atau belajar tentang Al-Quran, Rumah Ngaji di restoran ini boleh menjadi medium yang mudah dan sesuai buat mereka.
“Selain itu, kita harap dengan adanya Rumah Ngaji pertama di Teratak Raihan ini akan menarik juga minat restoran lain untuk terlibat sama,” jelasnya kepada Sinar Harian.
Galak selebriti ambil bahagian
Sementara itu, wakil kumpulan Raihan, Che Amran Idris menganggap kolaborasi itu bakal menjadikan budaya membaca al Quran sebagai satu ‘trend’ yang akan diamalkan oleh masyarakat Islam di negara ini.
“Alhamdulillah, kami gembira kerana Rumah Ngaji memberi kerjasama untuk mewujudkan satu lagi cawangannya di restoran yang kami usahakan ini.
“Kami anggap ia sebagai satu peluang yang baik bukan untuk kami semata-mata tapi kepada masyarakat kerana ia memberi kemudahan buat mereka untuk mendapatkan ilmu tentang al-Quran.
“Kami gembira kerana konsep Rumah Ngaji di restoran ini adalah yang pertama di mana di sini kami tidak hanya menyediakan makanan jasmani tetapi juga makanan rohani.
“Mungkin kami tidak mampu untuk mengajak semua orang datang tapi sekurang kurangnya ada inisiatif yang dilakukan yang akan memberi kesan kepada masyarakat,” jelasnya.
Pada masa yang sama, selain orang ramai, Che Amran turut menggalakkan golongan selebriti turut serta mengambil bahagian dalam program yang bakal dianjurkan.
“Sebenarnya, kolaborasi ini juga adalah sebagai satu modal bagi mengajak para selebriti turut serta dalam program ini.
“Insya-ALLAH kami sudah ada perancangan untuk mengajak beberapa selebriti terlibat sama dalam program ini.
“Jika ada mereka yang lain berminat untuk terlibat sama, kami amat alu-alukan. Selain mengaji, kita akan mengaturkan pelbagai aktiviti selepas pelancaran besar-besaran dilakukan pada 21 Mei ini,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: