GEORGE TOWN: Meskipun belum sah bergelar seorang doktor, pelajar tahun akhir jurusan perubatan, N. Ganesh, 25, berjaya menyelamatkan nyawa seorang mangsa lemas di Teluk Bahang pada 12 Mac lalu.
Ganesh baharu sahaja keluar dari kawasan hutan selepas melakukan aktiviti pendakian apabila terdengar suara orang berteriak, "Tolong! Kami perlukan doktor! Dia lemas".
Teriakan itu datang dari dua lelaki di dalam sebuah bot yang baharu sahaja mendarat di tepi pantai Taman Negara Pulau Pinang.
Mereka membawa bersama seorang lelaki muda yang terbaring di atas dek bot tersebut.
Ganesh berlari ke arah lelaki tidak bermaya itu dan memberikan bantuan pernafasan awal (CPR).
"Selepas beberapa penekanan dada di bahagian luar, lelaki tersebut mengeluarkan air dari mulutnya dan mula bernafas secara normal.
"Kami kemudian membawanya ke atas pantai dan mengiringkan badannya. Saya menolak perutnya bagi membolehkan dia mengeluarkan air laut yang telah ditelan," kata Ganesh yang berasal dari Brunei.
Selepas memastikan ambulans sedang dalam perjalanan, Ganesh meninggalkan pantai Teluk Bahang.
"Ini adalah nyawa pertama yang saya selamatkan," kata pelajar perubatan tahun akhir itu.
Ganesh akan menamatkan pengajiannya di Kolej Perubatan Pulau Pinang pada Jun ini.
Gambar Ganesh yang dirakamkan semasa kejadian itu menjadi viral di Facebook.
Malah, beliau turut menghubungi The Star pada Jumaat lalu untuk memastikan jika terdapat sebarang laporan mengenai perkara itu kerana dia mahu mendapatkan salinannya.
Difahamkan mangsa yang hanya dikenali sebagai Mohd Ridzuan dikatakan sedang mandi bersama rakan-rakannya dekat Pantai Monkey sebelum lemas.
Namun, dia berjaya ditarik rakan-rakannya dan sebuah bot nelayan yang melalui kawasan itu membawa mereka ke kawasan pantai.
"Perkara penting adalah tidak banyak ilmu perubatan diperlukan untuk membantu lelaki itu.
"Sesiapa sahaja boleh mempelajari CPR kerana kita tidak pernah menjangka bila ia mungkin berguna kepada diri kita," kata Ganesh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: