Bakhtiar menunjukkan sebahagian buluh runcing yang siap sebelum dijual kepada pelanggannya.
KUALA PILAH - Mungkin tidak ramai mengetahui apa itu buluh runcing, apatah lagi jika dikaitkan dengan siapa yang mengusahakannya.
Tetapi jika diimbas kembali, bagi penggemar sinetron arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, pastinya dapat mengagak apa itu buluh runcing seperti disebut dalam filem Laksamana Do Re Mi, yang dijadikan senjata bagi membunuh menteri Pasola.
Bakhtiar Abu Bakar, 45, di Kampung Terusan Juasseh, antara pengusaha perusahaan buluh runcing, yang memilih perniagaan itu sebagai sumber pendapatannya sekeluarga.
Pengusaha buluh runcing antara yang sukar ditemui pada masa kini, namun tidak bagi Bakhtiar, berikutan perusahaan itu memasuki generasi ketiga selama 40 tahun lalu sehingga kini.
Menurut Bakhtiar, perusahaan dilakukannya sentiasa mendapat sambutan menggalakkan sehingga kini bagi menghasilkan pelbagai produk.
Bakhtiar berkata, dia pada awalnya bekerja di sebuah kelab golf di Johor Bahru dan pulang ke kampung halaman pada tahun 2008 ekoran permintaan tinggi bagi buluh runcing.
"Saya masih ingat dengan wang buluh runcing inilah ayah dan ibu membesarkan kami. Mustahil saya akan biarkan pekerjaan ini berkubur begitu sahaja.
"Alhamdulillah, dengan berkat usaha, insya-ALLAH dalam sebulan saya memperolehi RM2,000," katanya.
Menurutnya, dahulu di sini terdapat enam keluarga turut sama menjalankan perusahaan buluh runcing ini, tetapi disebabkan faktor usia serta penolakan daripada generasi muda enggan meneruskan legasi ini ia berkubur begitu sahaja.
"Zaman sekarang, ramai anak muda berhijrah ke bandar untuk meraih pendapatan lebih lumayan berbanding memilih buluh runcing sebagai sumber pendapatan.
"Tetapi sebaliknya, jika kita benar-benar fokus dan berusaha, jual buluh runcing lebih lumayan daripada yang disangka.
"Saya pun sampai tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan memandangkan saya bekerja seorang diri.
"Daripada mencari buluh hinggalah siap menjadi buluh runcing semuanya dilakukan secara tradisional. Mungkin jika menggunakan peralatan moden, permintaan pelanggan-pelanggan dapat saya tunaikan," katanya.
Perusahaan buluh runcing, modal minimum
Bakhtiar berkata, perusahaan buluh runcing tidak memerlukan modal yang banyak sebaliknya hanya perlu parang, kapak dan tenaga sahaja.
"Jika ada usaha dan tenaga pasti kita mampu lakukannya. Bekalan buluh saya dapatkan dari hutan berhampiran tetapi jika tiada bekalan saya terpaksa membeli daripada pembekal.
"Biasanya, saiz buluh runcing mengikut permintaan pelanggan dan dalam sehari saya mampu menyiapkan 2,000 batang.
"Setiap ikat terdapat 200 batang dan dijual antara RM14 hingga RM20 mengikut saiz buluh. Manakala dalam sebulan saya mampu menyiapkan antara 40,000 hingga 50,000 batang," katanya.
Permintaan tinggi
Difahamkan, buluh runcing ini sering mendapat permintaan daripada pelbagai syarikat dan persendirian bergantung kepada kegunaan mereka.
"Selalu buluh runcing mendapat permintaan tinggi daripada sektor perladangan seperti Sime Darby, Felda dan syarikat bagi tujuan membuat pancang untuk tanam semula pokok getah dan kelapa sawit.
"Bagi pertanian, ia digunakan untuk membuat pancang sayur-sayuran seperti cili api, kacang panjang dan sebagainya. Tidak kurang juga daripada permintaan masyarakat Cina untuk membuat tanglong dan peralatan sembahyang," katanya.
Bakhtiar berkata, selain memenuhi sektor perladangan dan pertanian, pelbagai produk cadangan diminta pelanggan seperti membuat lidi sate, pencungkil gigi, chopstik, lidi colok dan lain-lain.
Menurutnya, sambutan menggalakkan namun hasrat itu terpaksa dilupakan memandangkan perusahaan dilakukan hanya bergantung kepada tulang empat keratnya sahaja.
"Sungguhpun begitu, saya berharap ada pihak melihat usaha saya ini dan membantu dari segi peralatan mesin memproses buluh runcing ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: