Sunday, April 24, 2016

Nur Nina Farisha teruja mahu berpuasa Ramadan




Nur Nina Farisha
Nur Nina Farisha bersama kad perakuan memeluk Islam yang diterimanya.
KUALA TERENGGANU – Lafaz dua kalimah syahadahnya yang disaksikan puluhan ribu orang pada majlis syarahan umum pendakwah tersohor, Dr Zakir Naik di Padang Astaka, Kemaman kira-kira seminggu lalu merupakan titik permulaan buat Woo Nina Grace, melalui kehidupan baru sebagai seorang Muslim.
Bahkan, gadis berusia 19 tahun yang kini mahu dikenali dengan nama Nur Nina Farisha Woo Abdullah berkata, dia juga begitu teruja untuk menunaikan ibadah puasa tidak lama lagi, kerana sebelum ini pernah mencuba untuk berpuasa walaupun belum bergelar Muslim.
“Saya teruja menyambut Ramadan (tidak lama lagi) dan berpuasa sebagai seorang Islam sebab sebelum ini, pernah juga belajar berpuasa pada 2014 tetapi perasaan itu tentulah tidak sama selepas beragama Islam.
“Sebagai seorang saudara baru, Ramadan pertama yang bakal menjelang ini diharap dapat mempertingkatkan lagi keimanan kepada Allah S.W.T,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kad Memeluk Islam di Kediaman Seri Iman, hari ini.
Hadir sama, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu,  Datuk Omar Musa dan Isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Halina Zakaria.
Menurutnya, dia mula mengkaji tentang Islam ketika berusia 13 tahun lagi dan mula menghafal surah Al Fatihah, ayat Kursi dan tiga surah Qul ketika di tingkatan 3 (15 tahun).
“Sebab di tempat tinggal (Johor) saya juga bergaul dengan orang Melayu dan Islam.  Kini bagi mendalami agama Islam,  saya telah mula mengikuti kelas pengajian al-Quran bagi membolehkan saya menunaikan ibadat yang dituntut, selain belajar untuk melengkapkan diri menjadi seorang Muslimah yang baik dan In sya ALLAH, bergelar pendakwah suatu hari nanti,” katanya.
Dia yang sedang mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal Pelantar Minyak di Kolej RANACO, Kemaman, melahirkan rasa syukur kerana mendapat sokongan kawan-kawan dan pihak kolej yang membimbing dan membantunya.   
Berhubung dengan nama Islamnya itu, katanya dia suka membaca novel dan nama tersebut adalah di antara watak dalam novel yang dibacanya.                   
Ditanya mengenai penerimaan keluarga terhadap keputusannya memeluk agama Islam dan menjadi viral di seluruh negara, katanya, sebaik sahaja memeluk Islam, dia ada menghubungi ibunya untuk memaklumkan tentang keputusannya dan mengakui, ibunya agak terkejut dengan keputusan itu tetapi menerimanya.
Jelas Nina, ibunya berasal dari Filipina dan bapanya dari Johor dan dia merupakan anak tunggal.
“Cuma, harapan saya, mak dapat terima saya seadanya sebab mungkin ada halangan dari keluarga kerana bapa saudara saya sendiri (sebelah ibu) adalah seorang paderi (di Manila, Filipina) tetapi saya tidak pasti mereka tahu atau tidak,” katanya.
Sebelum ini, pada program ‘Zakir Naik Terengganu Tour’ yang berlangsung pada 15 April di Padang Astaka, Kemaman, Nina memeluk Islam di hadapan lebih 40,000 hadirin.
Dia yang merupakan seorang Kristian sebelum ini, nekad mengucap dua kalimah syahadah dengan dibimbing Dr Zakir, selepas berpuas hati dengan jawapan pendakwah antarabangsa itu pada sesi soal jawab mengenai agama Islam semasa syarahan umum pendakwah itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: