Friday, April 29, 2016

Kenali mata wang lama palsu




Kenali mata wang lama palsu
Nasyruddin (kanan) menunjukkan kepingan wang syiling lama.
KUALA KEDAH - Himpunan koleksi mata wang lama tidak kira sama ada syiling mahupun kertas merupakan hobi dianggap memberi kepuasan bagi peminat tegarnya.
Disebabkan itu, ada pengumpul mata wang lama sanggup mengeluarkan modal dari ribuan sehinggalah mencecah jutaan ringgit hanya untuk memenuhkan koleksi mereka.
Namun begitu, sama ada sedar mahupun tidak, kini wujud mata wang palsu dihasilkan individu tidak bertanggungjawab bagi mengaburi mata peminat mata wang lama, sekali gus mengaut keuntungan.
Melalui Seminar Evolusi Mata Wang Kedah di Muzium Kuala Kedah, di sini, baru-baru ini, ia dilihat mampu membuka mata masyarakat dalam mengenali mata wang lama palsu itu.
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Warisan Numismatik Kesultanan Melayu Malaysia (Masdinar), Ahmad Nasyruddin Ismail, mata wang lama palsu sememangnya ada.
“Namun, kita mampu mengenali status wang kertas, wang syiling dan token yang pernah digunakan dalam negara, sama ada ia tulen ataupun palsu lama dan palsu melalui kajian.
“Mata wang lama tulen memiliki ciri tertentu, misalnya, dari segi permukaan duit syiling yang berbeza berbanding mata wang palsu.
"Sebagai contoh, Pitis Terengganu palsu dihasilkan dari logam plumbum, sedangkan wang tulen menggunakan logam timah," katanya.
Nasyruddin berkata, masyarakat perlu mengetahui perbezaan antara syiling lama, syiling lama palsu, syiling baru palsu, syiling tulen dipalsukan, syiling tulen cacat dan syiling replika.
Menurutnya, mata wang palsu memiliki ciri seperti lebih cepat rosak ataupun salah tulisan, seperti duit lidah harimau palsu yang memiliki rupa seakan-akan terkena asid.
Akan tetapi, beliau yang juga Ketua Unit Warisan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), peminat dapat mengenal pasti status mata wang lama dimiliki melalui beberapa kaedah.
Antaranya, menggred syiling ke Numismatic Guaranty Corporation (NGC), memiliki contoh palsu, merujuk buku rujukan dan persatuan berdaftar.

Perubahan mata wang Kedah
Sementara itu, Presiden Masdinar, Dr Ibrahim Bakar berkata, Kedah dahulunya menghasilkan dan memiliki mata wang sendiri, seperti tampang, duit timah ayam jantan Kedah serta kupang emas ‘Muadzam Malik al-Zahir’.
"Penggunaan mata wang masyarakat Kedah melalui evolusi sejak zaman silam hingga zaman sekarang bermula dengan penggunaan barang berharga dan sukar diperoleh.
"Masyarakat Kedah Tua dipercayai menggunakan sistem timbangan menggunakan biji sagu untuk menunjukkan nilai sesuatu ketika abad ketujuh hingga 13 Masihi.
“Selepas itu, penggunaan mata wang Kedah berubah secara perlahan-lahan mengikut zaman, bermula dengan sistem berkenaan, hinggalah ke mata wang kesultanan,” katanya.
Sebagai contoh, kata beliau, Sultan Kedah ketiga, Sultan Muhammad Shah (1201-1236) yang memerintah di Kota Bukit Meriam menjadi pemerintah terawal mengeluarkan mata wang, diperbuat dari perak.
Katanya, penghasilan mata wang lama seawal abad kelima sebelum Masihi tanpa tunjuk ajar pihak luar dianggap kebanggaan, kerana ia menunjukkan kita sudah memiliki tamadun sendiri waktu itu.
Dr Ibrahim berkata, abad ke 15 Masihi menyaksikan kemasukan mata wang luar, antaranya termasuklah Riyal Potugis, mata wang Inggeris di Kedah (1786-1845) ataupun duit pokok pisang Jepun (1941-1945).
Menurutnya, penggunaan mata wang makin berubah ketika era British sehingga kini, apabila masyarakat mula menggunakan wang jenis, dolar selat, dolar malaya diikuti syiling dan wang kertas kini.

Pameran mata wang 
Bagi Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) Jabatan Muzium Negara, Mohd Azmi Mohd Yusof berkata, masyarakat berpeluang menyaksikan mata wang lama melalui Pameran Evolusi Matawang di Kedah.
Menurutnya, pameran itu berlangsung dari jam 9 pagi hingga 6 petang selama sebulan bermula 11 April lalu hingga 10 Mei depan.
Kata beliau, pihak mereka menyambut baik program sedemikian memandangkan ia mampu menambah pengetahuan, sekali gus mampu memartabatkan tamadun.
Dalam masa sama, beliau berkata, pameran berkenaan membantu pengunjung memantapkan pemahaman mereka mengenai tulisan jawi, memandangkan mata wang lama ditulis jawi.
Terdahulu, seminar berkenaan turut dihadiri, Pengerusi Persatuan Sejarah Cawangan Malaysia Kedah (PSCMK), Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusuf.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: