Friday, April 22, 2016

Mustar Tinggalkan Kerjaya Tukang Kayu Selepas Jadi Penyanyi




Mustar menepati ramalan apabila muncul sebagai juara program Kilauan Emas Otai yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB di sini pada malam Rabu. 
KUALA LUMPUR: Juara Kilauan Emas Otai iaitu Mustar tidak lagi bekerja sebagai tukang kayu selepas ramai berpandangan dia tidak sepatutnya melakukan kerja itu kerana sudah menjadi penyanyi.

Mustar atau nama sebenarnya Mustaffa Rasyid Abd Jabar, 47, berkata, dia sudah tidak melakukan kerja berkenaan beberapa bulan selepas menjuarai Kilauan Emas musim kelima pada tahun lalu.

"Selepas beberapa bulan menjuarai program berkenaan saya kembali kepada pekerjaan lama tetapi ramai menasihati saya agar tidak lagi bertukang kerana saya kini seorang penyanyi.

"Bagaimanapun saya ada juga melakukan kerja-kerja pertukangan jika ada yang minta tetapi kini lebih fokus kepada karier nyanyian," katanya.

Terdahulu, Mustar menepati ramalan apabila muncul sebagai juara Kilauan Emas Otai yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB di sini pada malam Rabu lalu.

Seramai empat peserta berentap pada peringkat akhir Kilauan Emas Otai.
Kemenangan itu sekali gus melayakkan Mustar membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM150,000 berserta trofi sumbangan Astro.

Dalam pada itu, Mustar berkata, dia masih belum mempunyai sebarang perancangan tertentu untuk menggunakan wang kemenangan yang diterimanya.

Pun begitu kata Mustar, selain menyimpan dia bercadang untuk mengerjakan umrah dan haji bersama keluarganya.

"Setakat ini tidak tahu hendak buat apa dengan duit itu tetapi yang pasti saya akan simpan dan gunakan untuk perkara-perkara baik," katanya.

Sementara itu, Mustar berkata, sejak bergelar juara Kilauan Emas tahun lalu dia semakin sibuk apabila sering menerima undangan nyanyian sama ada untuk majlis perkahwinan atau persembahan korporat.

"Alhamdulillah itu rezeki yang datang tidak putus-putus dan paling penting saya dapat menyanyi kerana itu memang minat saya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: