Thursday, April 28, 2016

Kediaman Mewah Prince Dijadikan Muzium




Prince meninggal dunia secara mengejut pada 21 April lalu.
KELUARGA penyanyi terkenal Prince mengesahkan kediaman mewah milik mendiang di Paisley Park akan dijadikan sebuah muzium.

The Sun melaporkan rumah dengan keluasan 50,000 kaki persegi itu akan dibuka kepada umum bagi membolehkan peminat terus mengabadikan memori mereka terhadap Prince.

Abang ipar kepada penyanyi lagu Purple Rain itu, Maurice Philips, 52, berkata, dengan pembukaan muzium itu tidak lama lagi diharap legasi muzik Prince akan terus hidup dan diingati seperti mana diimpikan penyanyi itu semasa hayatnya.

"Ia adalah untuk peminat. Prince sentiasa mengutamakan peminat dan muzium ini akan memberi peluang kepada mereka untuk mengingati legasi ditinggalkan.

"Prince seorang yang sangat peribadi tetapi mahu muziknya diingati. Diharap pembukaan muzium ini nanti akan memberi manfaat," katanya.

Studio rakaman berteknologi tinggi yang dibina khas dalam rumah berkenaan.
Terdahulu, legenda pop itu meninggal dunia secara tiba-tiba pada Khamis lalu di rumah agamnya, di Paislay Park di pinggir Minneapolis.

Kediaman tersebut bukan sahaja sekadar rumah kepada penyanyi itu sebaliknya Prince telah melakukan ubahsuai besar-besaran pada 1987 untuk memastikan ia mempunyai fungsi lengkap.

Rumah tersebut dilengkapi dengan studio rakaman, bilik mesyuarat, ruang pejabat, bilik rahsia bagi menyimpan lagu-lagu ciptaannya serta dewan tarian bagi membolehkan dia menjalani latihan bersama penari sekiranya terlibat dalam konsert jelajah.

Ia direka khas oleh arkitek terkenal Los Angeles, Bret Theony.
Hiasan dalaman yang unik.
"Prince mahu ia menjadi sebuah rumah yang mempunyai fungsi lengkap bersesuaian dengan kariernya sebagai penerbit, komposer, penulis lirik dan penyanyi.

"Banyak lagu-lagu hebat Prince dihasilkan di dalam rumah itu.

"Bagaimanapun disebalik pelbagai fungsi itu, Prince tetap mahukan ia mempunyai ciri peribadi dan dia tidak gemar apabila ada yang mengambil gambar di dalam rumahnya," kata Theon.

Rumah berkenaan kini dianggarkan bernilai USD10 juta (RM40 juta).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: