Thursday, April 28, 2016

Kucing jadi penyelamat




Kucing jadi penyelamat
Anggota JPAM menunjukkan ular tedung selar berjaya ditangkap di sebuah universiti di sini.
KUALA PILAH – Seekor kucing menjadi penyelamat apabila 'menghalang' ular tedung selar sepanjang kira-kira tiga meter memasuki tandas awam di pondok pengawal di sebuah universiti awam di Mara Parit Tinggi, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, polis bantuan, Suriana Lot, 31, berkata, dia dan seorang lagi rakannya ternampak kucing jalanan sedang melihat sesuatu tanpa sedikitpun berganjak.
“Rakan sekerja yang nampak dulu kucing itu, kemudian baru panggil saya. Bila dia lihat keadaan kucing yang pelik dan kaku seperti merenung sesuatu, dia terus panggil saya.
“Kami amati apa yang dilihat oleh kucing dan terkejut apabila mendapati objek berkenaan adalah seekor ular tedung berwarna keemasan.
“Ular tedung itu dari arah semak di bukit berhampiran dan terus memasuki lubang tepi tandas itu bila merasai kehadiran kami. Kami hanya perhatikan ke mana ular itu pergi supaya senang untuk ditangkap nanti.
“Kemudian kami hubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Pilah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Suriana berkata, 15 minit kemudian JPAM tiba dan mengambil masa 15 minit untuk menangkap ular tersebut.
Menurutnya, pada hari tersebut, dua ular direkodkan ditemui di luar tandas awam universiti berkenaan.
“Kes pertama dalam jam 4 petang, saya ternampak seekor ular tikus memasuki ke arah tandas. Kami memang tidak berani tangkap sebab tiada kepakaran. Jadi, kami hubungi JPAM dan 15 minit kemudian mereka tiba.
“Alhamdulillah, tiada kemalangan berlaku dan kami bersyukur kerana kedua-dua ular terbabit berjaya ditangkap. Keadaan cuaca panas antara faktor ular keluar dan mencari tempat sejuk. Bagaimanapun kami akan sentiasa berwaspada bagi mengelakkan ular masuk ke pekarangan universiti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi JPAM, Sarjan Majeran Lon berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan dari pihak terbabit, dia bersama dua anggota lain pergi ke lokasi tersebut.
“Kami dapati ular itu bersembunyi dan kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap ular tedung selar. Saya turut memuji tindakan pantas polis bantuan kerana terus menghubungi JPAM dan tidak bertindak sendiri untuk menangkap ular itu.
“Tiada kepakaran untuk menangkap ular boleh mendatangkan bahaya dan pastinya saya menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati sekiranya ternampak ular serta terus menghubungi JPAM,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: