Mohd Isam (dua, kiri) menunjukkan hasil mengoca yang diperolehnya di lubuk rahsia di Felda Bukit Rokan Utara.
BERMULA hanya sekadar hobi bagi mengisi masa lapang bersama keluarga, kini aktiviti mengoca yang digemari Adun Gemencheh, Mohd Isam Mohd Isa di lubuk rahsia menjadi aktiviti santai bersama masyarakat setempat di Dun Gemencheh.
Menariknya lagi, aktiviti itu bukan hanya disertai golongan berusia dan berpengalaman, bahkan golongan muda turut serta mempelajari tradisi mengoca yang cukup sinonim dengan masyarakat di negeri ini.
Menurut Mohd Isam, pada masa dahulu, aktiviti mengoca diadakan selepas musim menuai padi kerana kebanyakan sungai mahupun tali air ketika itu mulai kering, dan penduduk boleh menangkap ikan menggunakan tangan sahaja.
"Sekarang musim panas, banyak lubuk airnya makin cetek. Mula-mula saya, anak-beranak sahaja mengoca di lubuk yang dirahsiakan lokasinya, tetapi lama kelamaan penduduk di kampung lain mula memanggil saya untuk turut sama mengoca di lubuk rahsia kampung mereka.
"Jadi bila ada masa lapang saya turut menyertai aktiviti mereka dan bagusnya pelbagai peringkat umur turut serta dalam aktiviti ini, sekali gus tradisi mengoca ini dapat diwarisi oleh generasi muda,” katanya kepada Sinar Harian sempena aktiviti mengoca di Felda Bukit Rokan Utara, di sini.
Turut hadir, Pengerusi JKKK Felda Bukit Rokan Utara, Mohd Sharif Burok.
Mohd Isam berkata, hasil diperoleh kemudiannya dibahagi-bahagikan sama rata dengan semua penduduk yang menyertai aktiviti berkenaan.
"Program santai ini dilihat bukan hanya mampu untuk memanjangkan lagi amalan tradisi masyarakat terdahulu, bahkan mempunyai kekuatannya yang tersendiri, terutamanya dalam mengeratkan hubungan sesama penduduk.
"Anak-anak muda juga turut diajar cara mengoca dengan betul demi keselamatan mereka, terutamanya jika mereka menangkap ikan sembilang memandangkan ikan itu ada bisanya tersendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: