RAMAI beranggapan mudah mendapatkan ayam kampung segar atau siap dimasak di Bandar Maran kerana ia terkenal dengan jolokan Bandar Ayam Kampung.
Gelaran itu juga memberi tanggapan bahawa bandar ini menjadi pusat pengeluar utama ayam kampung dan menepati hasrat kerajaan satu daerah satu industri (SDSI).
Mungkin ada juga yang mengharapkan harga ayam kampung di sini lebih murah berbanding tempat lain.
Namun, sangkaan itu meleset. Tidak seperti menu patin yang senang didapati di Temerloh atau di daerah lain di negeri ini, tetapi menu ayam kampung hanya didapati di tiga kedai makan di Maran.
Pemilik Restoran Manja, Noraini Mohammad, 38, berkata, pengusaha kedai makan antara yang memainkan peranan apabila diminta menyediakan menu ayam kampung.
“Sejak diperkenalkan secara rasmi, saya sediakan beberapa menu ayam kampung setiap hari. Harga antara RM6 hingga RM7 seketul mengikut saiz dan kebanyakan pengunjung luar yang makan.
“Jualan lebih kurang sama saja dalam 10 ekor sehari kerana bergantung kepada orang luar, sebab itu tak semua kedai mahu sediakan  masakan ayam kampung,” katanya.
Noraini berkata, imej Bandar Ayam Kampung perlu dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan termasuk papan tanda gergasi di kedai menjual masakan ayam kampung.
Mengenai bekalan ayam kampung, dia memperolehinya daripada pembekal tunggal di sini.
“Ada penduduk  bela tapi cara tradisional. Mereka tak dapat bekalkan (siap diproses) setiap hari,” katanya.
Sementara itu, pengusaha Gerai Aloha, Islah Tarmizi, 44, berkata, peniaga menyambut baik usaha dibuat kerajaan mempromosikan Maran dengan produk ayam kampung.
Namun katanya, papan tanda bersaiz besar perlu diperbanyakkan bagi memudahkan pengunjung luar mencari gerai menu ayam kampung.
“Bukan semua kedai di bandar Maran jual masakan ayam kampung, tak macam di Temerloh yang hampir semua kedai ada jual ikan patin.
“Sehari saya perlukan 10 ekor dan buat masa sekarang, bekalan cukup. Maran perlu jadi seperti Temerloh kerana penjenamaan sebegini sangat membantu ekonomi penduduk dan peniaga,” katanya.
Wujud ‘perkampungan’ ayam kampung
Penduduk, Mohd Radzuan Mat Amin, 43, berkata, pihak kerajaan melalui agensi tertentu perlu melakukan pelbagai inisiatif termasuk bantuan kepada penduduk untuk menternak ayam kampung.
“Bukan kata kerajaan tidak buat apa-apa tetapi saya rasa kena usaha lebih lagi bagi menepati tanggapan orang luar dan sesuai dengan jolokan Bandar Ayam Kampung.
“Kerajaan mempunyai kakitangan mahir dalam bidang masing-masing mungkin boleh wujudkan satu ‘perkampungan’ atau kompleks khas industri ayam kampung.
“Kalau orang luar datang, mereka boleh ke kompleks untuk lihat sendiri industri ayam kampung di Maran,” katanya.
Malah katanya, konsep satu kampung satu penternak ayam kampung perlu diwujudkan dengan memberi bimbingan kepada penduduk.
Syaifullah Ezmir Abdul Kahar, 31,  berpendapat belia yang berminat menternak perlu diberi peluang memainkan peranan sebagai penternak komersial dalam usaha menaikkan imej Maran.
Menurutnya, bantuan terdahulu tertumpu kepada golongan tertentu namun penerima gagal apabila tiada modal pusingan selain tidak dapat menampung kos makanan.
“Sewajarnya beri bantuan kepada mereka yang berminat dan agensi berkaitan perlu lakukan pemantauan termasuk pengurusan kewangan.
“Saya tak nafikan kerajaan ada usaha nak lahirkan ramai penternak dengan bantuan 200 anak ayam dan lima beg makanan.
“Tetapi mereka gagal memasarkan ayam tersebut dan ada ayam yang terbantut kerana tidak cukup makan kerana ternakan tradisional dan komersial berbeza,” katanya.