Wednesday, September 2, 2015

Umno Lucut Keahlian Anina




Ainina Saaduddin
PETALING JAYA: Umno melucutkan keahlian Anina Saaduddin yang sebelum ini bertindak memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Anina adalah ahli Pergerakan Wanita Umno cawangan Padang Matsirat, Langkawi di Kedah.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang kini berada di Amerika Syarikat mengesahkan perkara ini kepada mStar Online menerusi aplikasi WhatsApp, petang Selasa.
Pada hari sama, surat pelucutan keahlian Ainina menjadi viral di media sosial, tetapi timbul kemusykilan terhadap kesahihan surat itu apabila ia bertarikh 2 September 2015, lewat sehari daripada tarikh dia dipecat iaitu pada 1 September.
Surat itu menunjukkan ia ditandatangani oleh Tengku Adnan dengan cop 'diterima' pada tarikh 1 September.
"Adalah dimaklumkan bahawa Ibu Pejabat Umno memutuskan bahawa keahlian Saudari dalam parti telah gugur dengan sendirinya berkuat kuasa serta-merta di bawah Fasal 20.7 Perlembagaan Umno oleh kerana tindakan Saudari membawa perkara parti ke mahkamah," menurut surat tersebut.
Anina, mula menjadi perhatian apabila dengan lantang mengkritik Najib yang juga Presiden Umno ketika berucap dalam mesyuarat perwakilan Wanita Umno Bahagian Langkawi baru-baru ini.
Kemudian, pada 28 Ogos, dia memfailkan saman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menuntut Najib menjelaskan secara terperinci derma politik RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.
Terdahulu, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pergerakan itu akan mencadangan supaya keahlian Anina digugurkan ekoran kenyataan kerasnya terhadap Najib.
“Kita akan rujuk (isu berkenaan) dan bawa ke mesyuarat exco. Terpulang kepada jawatankuasa (untuk membuat keputusan),” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur selepas mempengerusikan mesyuarat pergerakan itu pada petang Selasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: