Wednesday, September 23, 2015
Pemimpin dunia letak jawatan
SEBUT sahaja letak jawatan, masyarakat segera membuat pelbagai andaian. Timbul juga persoalan, adakah perbuatan itu dibuat secara sukarela? Atau, adakah keputusan itu dibuat selepas menerima tekanan daripada pelbagai pihak?
Dalam lipatan sejarah, terdapat banyak faktor yang mendorong beberapa pemimpin dunia berundur daripada jawatan yang disandang.
Misalnya, Richard Nixon meletak jawatan sebagai presiden Amerika Syarikat (AS) ekoran skandal Watergate, ketika beliau hampir pasti akan dicabar Kongres.
Bagi mengelakkan skandal tersebut berpanjangan, beliau memilih untuk meletak jawatan.
Di Guatemala pula, bekas presiden Otto Perez Molina membuat keputusan untuk meletak jawatan awal bulan ini, selepas Kongres melucutkan imunitinya atas tuduhan rasuah.
Namun, tidak semua peletakan jawatan dicetuskan skandal.
Sebagai contoh, pada 2014 perdana menteri Korea Selatan ketika itu, Chung Hong-won memilih untuk melepaskan jawatannya akibat daripada rasa tanggungjawab dan bersalah beliau terhadap insiden kapal MV Sewol yang mengorbankan lebih 300 nyawa, kebanyakan mangsa adalah pelajar sekolah.
Skandal Watergate
Skandal Watergate merujuk kepada kejadian pecah masuk ke dalam ibu pejabat Jawatankuasa Kebangsaan Demokrat (DNC) di kompleks pejabat Watergate dan cubaan pentadbiran Presiden Richard Nixon menutup penglibatannya hingga menyebabkan beliau terpaksa meletakkan jawatan.
Presiden Nixon cuba menutup skandal ini selama dua tahun. Skandal ini akhirnya membawa kepada peletakan jawatannya sebagai presiden pada 9 Jun 1974.
Skandal ini bermula dengan penangkapan lima lelaki kerana memecah masuk ibu pejabat DNC di kompleks Watergate pada 17 Jun 1972.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berjaya mengaitkan wang tunai yang ditemui pada pencuri kepada dana yang digunakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Semula Presiden (CREEP), iaitu sebuah organisasi rasmi kempen Nixon.
Pada bulan Julai 1973, disebabkan semakin banyak bukti, termasuk testimoni yang diberikan oleh bekas kakitangan dalam penyiasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Senat Watergate, mendedahkan bahawa Nixon mempunyai sistem pita rakaman di pejabat dan dia telah merekodkan banyak perbualan.
Rakaman daripada pita ini mengaitkan presiden, mendedahkan beliau cuba untuk menutup perkara-perkara yang meragukan (dan melanggar undang-undang) yang berlaku selepas pecah masuk.
Selepas beberapa siri perbicaraan mahkamah yang panjang dan memenatkan, Mahkamah Agung AS sebulat suara memutuskan bahawa presiden perlu menyerahkan pita-pita rakaman itu kepada penyiasat kerajaan. Nixon mematuhi arahan tersebut.
Nixon yang hampir pasti dipecat di Dewan Perwakilan AS dan berkemungkinan besar disabitkan kesalahan itu di Dewan Senat AS, akhirnya meletak jawatan pada 9 Ogos 1974.
Info: Perkataan Watergate secara khusus merujuk kepada Watergate Hotel di Washington D.C. Hari ini ia satu istilah merujuk kepada konspirasi politik, rasuah, penggunaan harta awam untuk kepentingan peribadi dan secara umumnya penyalahgunaan kuasa politik.
Tunduk desakan rakyat
Pada 2005, Carlos Mesa meletak jawatan sebagai presiden Bolivia ekoran tunjuk perasaan besar-besaran oleh rakyat yang menuntut kerajaan mengambil alih industri gas asli negara tersebut.
Beliau mengumumkan peletakan jawatan itu dalam ucapan yang disiarkan di televisyen nasional.
Sehari sebelum membuat pengumuman itu, Mesa terpaksa meninggalkan pejabatnya apabila penunjuk perasaan mengancam untuk mengatasi kawalan polis di istana presiden, Quemado.
Kira-kira 80,000 orang termasuk kaum asli Quechua dan Aymara, petani miskin, anggota kesatuan sekerja dan pelombong mengepung istana Presiden dan bangunan Kongres berdekatan.
Puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun di pusat bandar dengan melaungkan `perang saudara!’ dan membaling dinamit untuk menuntut agar memiliknegarakan industri gas asli Bolivia.
Mesa adalah presiden ketiga Bolivia yang meletak jawatan selepas Hugo Banzer Suarez (2001) dan Gonzalo Sanchez de Lozada (2003).
Demi keamanan dan kestabilan
Tahun 2002 menyaksikan Fernando de la Rua berundur daripada jawatan presiden Argentina.
Keputusan itu dibuat ekoran keengganan pembangkang menerima tawarannya membentuk pakatan ketika keganasan membantah pendekatan pemulihan ekonomi semakin memburuk.
Dalam surat meletakkan jawatan yang dihantar kepada Kongres, pemimpin itu juga berharap keputusannya melepaskan kedudukan akan membantu menstabilkan ketidaktentuan sosial dan mengakhiri keganasan dan pemberontakan yang telah meragut lebih 20 nyawa dan ratusan yang lain cedera.
Sehari sebelum meletakkan jawatan, de la Rua telah mengisytiharkan darurat selama 30 hari dalam usaha memulihkan ketenteraman negara.
Selepas mengambil alih kepimpinan pada 11 Disember 1999 dengan paras populariti melebihi 70 peratus, de la Rua meletakkan jawatan dengan imejnya terjejas sehingga sokongan menurun kepada paras satu digit.
Ketika berita mengenai perkembangan itu diketahui, rakyat Argentina yang sebelum itu bertempur dengan anggota-anggota polis dan merosakkan bank-bank, kelihatan gembira meraikannya dengan berarak di jalan-jalan raya.
Dipalit rasuah
SEOUL - Perdana Menteri Korea Selatan, Lee Wan-koo telah menyerahkan surat peletakan jawatan pada April lalu kerana didesak pembangkang selepas terbabit dalam skandal rasuah.
Wan-koo dituduh menerima 30 juta won (RM101,057.91) sebagai dana haram kempen pada 2013. Beliau menafikan tuduhan berkenaan.
Di bawah undang-undang Korea Selatan, ahli politik dilarang menerima lebih dari 100,00 won (RM337.02) sebagai sumbangan.
Skandal rasuah berkenaan mendapat perhatian selepas ahli perniagaan, Sung Wan-Jong dijumpai mati dan disyaki membunuh diri.
Wan-Jong ketika itu sedang disiasat oleh pihak berkuasa kerana menggelapkan duit syarikat untuk memberi rasuah kepada ahli politik.
Penyiasat ketika itu menemui sekeping kertas dalam poket seluar Wan-Jong yang mengandungi satu senarai nama, termasuk nama perdana menteri dan jumlah wang yang dikatakan dibayar kepada penerima.
Pikul tanggungjawab
Yasuo Fukuda boleh dianggap pemimpin berjiwa besar dan bertanggungjawab kepada negaranya. Ini kerana, pada 2008 beliau mengumumkan meletak jawatan sebagai PM Jepun.
Tindakan tersebut jelas menunjukkan beliau mempunyai maruah dan harga diri.
Keputusan itu dibuat selepas menghadapi jalan buntu berdepan krisis politik dan perbalahan dengan pembangkang.
Beliau menganggap dirinya gagal memainkan peranan sebagai ketua negara, lalu melepaskan jawatan yang disandang untuk diambil alih oleh orang lain agar kemelut dapat diselesaikan.
Dua tahun selepas itu, Yukio Hatoyama juga mengikut jejak langkah Fukuda iaitu berundur daripada jawatan PM secara sukarela.
Hatoyama yang kurang sembilan bulan mengambil alih tampuk pentadbiran negara, mengumumkan meletak jawatan kerana melanggar janjinya ketika berkempen.
Ketika berkempen beliau berjanji untuk memindahkan Stesen Udara Futenma Kor Marin Amerika Syarikat (AS) keluar dari Okinawa bagi menamatkan kesulitan penduduk yang mengadu mengenai pencemaran serta kadar jenayah yang tinggi, tetapi beliau menukar fikiran setelah didapati melakukan hubungan baik dengan AS.
Selain itu, beliau turut melepaskan jawatannya ketua Parti Demokratik Jepun (DPJ).
Beliau menjadi PM Jepun keempat yang meletak jawatan dalam tempoh empat tahun.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: