Sunday, November 9, 2014

Tudung daripada botol air mineral


SETIAP tudung yang dihasilkan menggunakan dua biji botol minuman.


“Saya begitu teruja apabila diberitahu, botol-botol plastik terpakai mampu ditukar menjadi helaian pakaian yang boleh digunakan oleh orang ramai,” kata Nik Suzila Nik Hassan ketika ditemui kru Jurnal baru-baru ini.
Sama seperti orang lain, pada mulanya Nik Suzila mengakui agak sukar untuk mempercayai botol-botol plastik yang selalunya dibuang mampu bertukar menjadi pakaian.
Ini kerana, bagi wanita berusia 35 tahun itu, permukaan botol yang keras dan padu itu tidak mungkin boleh ditukar menjadi helaian pakaian yang selesa dipakai.
Tambahan pula, sebelum ini Nik Suzila hanya melihat botol-botol terpakai tersebut dijadikan sebagai bahan kitar semula mahupun perhiasan rumah.
Bagaimanapun, ujar Nik Suzila, persepsinya mengenai pakaian yang dihasilkan daripada botol itu berubah selepas dia menghadiri seminar mengenai produk barangan terpakai daripada seorang ahli perniagaan di China sekitar hujung tahun lalu.
“Sebaik mendengar isu yang dibahaskan itu, saya mula lihat kebaikan yang ada pada produk kitar semula.
“Bagi saya, produk tersebut bukan sahaja belum diperkenalkan di Malaysia, malah ia sebenarnya berkesan untuk memulihara pertumbuhan tumbuhan hijau melalui pengurusan sisa pepejal yang bertul,” jelasnya.
Kata Nik Suzila, disebabkan terlalu teruja dan ingin memperkenalkan pakaian mesra alam dalam kalangan penduduk tempatan, dia dan tiga orang rakan yang lain sanggup terbang ke Shanghai, China bagi melihat sendiri proses pembuatan pakaian daripada botol air mineral pada awal tahun lalu.
Bermula dari situ, dia dan rakannya kemudian mengambil keputusan untuk menukar botol-botol terpakai tersebut kepada tudung dan membawa masuk ke pasaran tempatan.
Tudung
Tidak dinafikan, jarang sekali kita dengar tudung dihasilkan menggunakan botol-botol terpakai. Ini kerana, penggunaan fabrik seperti kapas, bawal, likra dan georgette sering dijadikan bahan utama dalam proses pembuatan tudung.
Bagaimanapun, Nik Suzila bersama tiga orang rakan yang lain berani mengambil risiko dan melaburkan RM50,000 sebagai modal permulaan untuk menginovasi tudung Daripada botol terpakai.
“Ramai yang bertanya dalam banyak-banyak pakaian, kenapa tudung ini dipilih.
“Bagi kami, tudung merupakan lambang masyarakat Malaysia dan boleh dikatakan hampir seratus peratus wanita di Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya sehelai tudung di rumah, walaupun mereka bukan beragama Islam,” jelasnya sambil memberitahu, keseluruhan proses pembuatan tudung tersebut dibuat di Shanghai, China.
Terang Nik Suzila, jika wanita Islam menggunakan tudung untuk menutup aurat mereka, wanita bukan Islam pula menjadikan tudung sebagai sebahagian daripada aksesori perhiasan mereka.
Disebabkan itu, Nik Suzila dan rakan tidak teragak-agak untuk memperkenalkan tudung mesra alam kepada umum.
Tudung yang dikenali sebagai The Green Hijab itu dijual secara dalam talian dengan harga RM149 untuk setiap tiga helai.
Uniknya, tudung tersebut bersifat mesra alam dan dihasilkan seratus peratus menggunakan botol-botol plastik terpakai yang diperoleh pembekal daripada pengumpul barangan kitar semula.

NIK SUZILA (kiri) bersama rakan membawa masuk tudung bersifat mesra alam yang diperbuat daripada botol air mineral terpakai ke pasaran tempatan.


Fesyen
“Bagaimanapun, tidak semua botol plastik mampu diolah. Hanya botol-botol yang diperbuat daripada plastik jenis polietilena tereftalat sahaja boleh diproses sehingga menjadi tudung.
“Ini kerana permukaan botol tersebut yang fleksibel dan mudah melebur mampu menghasilkan helaian tudung yang lembut, sejuk dan mudah serap peluh,” ujarnya.
Jelas Nik Suzila, sebelum botol menjadi tudung, ia akan diproses terlebih dulu sehingga menjadi cebisan plastik. Cebisan tersebut kemudian akan dicairkan sebelum bertukar menjadi benang dan seterusnya membentuk kain jenis fabrik sifon.
“Walaupun nampak mudah, namun proses menghasilkan tudung ini mengambil masa yang panjang.
“Proses yang paling sukar ialah untuk memproses botol menjadi benang dan proses tersebut boleh memakan masa sehingga tiga bulan,” jelasnya.
Namun begitu, sebaik sahaja botol bertukar menjadi benang, proses seterusnya akan menjadi mudah dan dikatakan mampu menghasilkan kira-kira 500 hingga 800 helai tudung dalam masa sehari.
Tambah Nik Suzila, bagi setiap helai tudung yang dihasilkan, ia memerlukan kira-kira dua biji botol plastik.
“Sebanyak 600 helai tudung mampu dijual dalam masa sebulan,” katanya
Berbeza dengan tudung-tudung yang dijual, rata-rata pemilik mengeluarkan variasi corak dan warna. Bagaimanapun bagi The Green Hijab, Nik Suzila dan rakan-rakan bersepakat untuk mengeluarkan warna-warna tertentu dalam satu masa, mengikut warna palet fesyen antarabangsa.
“Sekarang ini kita hanya ada tiga warna sahaja iaitu hijau, biru dan ungu memandangkan di peringkat antarabangsa, warna-warna tersebut sering digunakan di pentas fesyen peragaan.
“Namun, kita akan ubah warna-warna tersebut dari semasa ke semasa mengikut perubahan arus fesyen terkini. Ini bertujuan untuk menjaga eksklusiviti kesemua tudung mesra alam yang dihasilkan,” jelasnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: