Sunday, November 9, 2014

Taubat si gadis liar


WANI bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk membetulkan kesilapan dan mahu melanjutkan pelajaran.


JIKA dilihat pada rupa paras fizikal remaja yang berada di hadapan kru Jurnal ini, pasti ramai yang beranggapan dia sebenarnya tidak mempunyai apa-apa masalah sosial berdasarkan riak mukanya itu.
Keadaan berbeza apabila dia yang hanya mahu dikenali sebagai Wani itu membuka bicara tentang punca sebenar dia dimasukkan ke rumah Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) di Hulu Langat, Selangor.
Dia yang berusia 16 tahun itu mula dimasukkan ke rumah tersebut pada tahun lalu di sebabkan sikapnya yang menjadi liar selepas memasuki alam sekolah menengah.
“Saya mula menjadi liar dan bercampur dengan rakan-rakan yang bermasalah ketika mula memasuki alam sekolah menengah. Bak kata orang, ketika itu saya baru mengenali dunia apatah lagi menginjak dewasa.
“Sebelum ini, saya tidak mempunyai masalah ketika menuntut di sekolah rendah tetapi keadaan berbeza sehinggakan keluarga juga sudah tidak mampu bersabar lagi dengan kerenah saya yang gemar keluar malam pada setiap hari sebelum menjadi penghuni rumah ini,” jelasnya yang berasal dari Selangor itu.
Keluar malam
Bercerita lanjut, Wani memberitahu, perasaan ingin bebas menyebabkan dia bertukar menjadi seorang remaja yang liar.
“Saya tersalah memilih rakan kerana majoriti daripada mereka sememangnya sudah terlibat dalam aktiviti sosial sejak berada di sekolah rendah lagi. Apabila sudah bercampur dengan rakan sebegitu, saya mula menjalinkan hubungan secara serius dengan bekas teman lelaki yang dikenali sebagai Zack.
“Apatah lagi melihat rakan-rakan yang lain mempunyai teman lelaki dan disebabkan itu, saya bersetuju menerima Zack sebagai kekasih,” ujar anak sulung daripada lima orang adik-beradik itu.
Tambahnya, dia mula berani keluar malam apabila diajak oleh Zack selepas ayah dan ibunya masuk tidur.
“Ayah bekerja sebagai kontraktor dan ibu pula penyelia di sebuah kilang. Biasanya mereka akan tidur lebih awal kerana kepenatan apabila seharian bekerja dan peluang itu saya gunakan untuk keluar malam secara diam-diam.
“Zack akan menunggu di penghujung jalan berhampiran kawasan rumah tetapi selalunya saya akan terserempak dengan adik-beradik lain ketika mahu keluar menggunakan pintu di bahagian belakang rumah dan berpakat dengan mereka bagi mengelakkan perbuatan saya dihidu oleh ayah dan ibu.
“Ayah dan ibu pula tidak mengesyaki tabiat saya yang gemar keluar malam kerana saya akan pulang ke rumah sebelum waktu Subuh,” jelasnya sambil memberitahu dia dan Zack kerap kali ponteng sekolah untuk melepak bersama rakan-rakan lain.

WANI banyak mempelajari ilmu agama sepanjang menghuni rumah Perkid di Hulu Langat, Selangor sejak setahun lalu.


Jaga dara
Ujar Wani, wang bukan menjadi masalah buat keluarganya kerana dia akan diberi duit poket sebanyak RM500 hingga RM1,000 pada setiap bulan oleh bapanya.
“Saya sering menggunakan alasan untuk membeli buku tetapi sebaliknya saya gunakan wang tersebut untuk berseronok bersama Zack dan rakan-rakan kami yang lain.
“Apabila melihat saya terlalu kerap meminta wang, ayah mengehadkan duit poket saya, malah disebabkan itu, saya mula terlibat dalam aktiviti mengatur perlumbaan haram bersama Zack untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.
“Apatah lagi Zack sememangnya merupakan seorang mat rempit dan selalunya kami mendapat habuan berganda apabila menganjurkan perlumbaan haram di sekitar Selangor,” jelasnya turut belajar cara menghisap rokok daripada seorang rakan.
Wani memberitahu, dia bersyukur kerana masih berjaya mengekalkan mahkota wanitanya walaupun dikelilingi rakan-rakan yang sosial.
“Masing-masing tanpa segan silu memberitahu sudah tiada dara sejak berada di sekolah rendah lagi tetapi saya tidak sampai ke tahap itu lagi walaupun tidak dinafikan Zack pernah meminta untuk melakukan hubungan seks dengan saya.
“Saya pernah memberi amaran kepadanya berkenaan isu itu dan sejak itu, Zack tidak berani menyuarakan soalan itu kepada saya tetapi beberapa hari sebelum saya dimasukkan ke rumah ini, dia kembali menyatakan hasratnya itu.
“Saya sangat bersyukur kerana keluarga bertindak lebih cepat memasukkan saya ke rumah ini selepas ayah melihat saya menjadi semakin tidak terkawal, jika tidak sudah tentu saya menerima sahaja pelawaan Zack untuk meniduri saya selepas beberapa kali menolak ,” ujarnya sambil memberitahu gerak-gerinya itu sudah lama diperhatikan oleh bapanya.
Jelas Wani, peluang memperbaiki diri buat kali kedua itu tidak akan disia-siakannya, malah dia berazam untuk menyambung pelajaran apabila keluar dari rumah Perkid itu kelak.
“Ketika mula-mula dimasukkan ke rumah ini, saya berdendam dengan ayah tetapi lama-kelamaan, saya semakin faham dengan tindakannya menghantar saya ke rumah ini,” ujarnya mengakhiri bicara.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: