![]()
NAMA Atikah Suhaime kini mula meniti di bibir peminat seiring drama rantaian Bila Hati Berbicara yang kini hangat ditayangkan.
|
KELOPAK bunga bernama Nurul Atikah Mohd. Suhaime mulai memancarkan seri dan haruman wanginya. Ada warna-warna ceria tercalit dalam setiap kuntum mekar untuk dipetik produser dan dituai intipatinya. Bagi gadis yang diterbangkan angin harapan merentasi Selat Tebrau sejak tiga tahun lalu, tunjang yang dibinanya kian kukuh, malah ada segudang impian yang sedang dikendongnya mula menjulang ke puncak.
“Perjalanan saya tiga tahun lalu sangat sukar. Pada mulanya saya fikir senang untuk menjadi pelakon dan selepas tamat belajar saya mencuba nasib mengikuti beberapa sesi uji bakat berlakon di Singapura, namun kebanyakannya gagal. Sekali lagi mencuba akhirnya saya dipilih berlakon dalam dua buah drama iaitu Dikir Puteri dan Delicattessen.
“Kemudian saya bekerja dalam bidang pengiklanan di sebuah syarikat di sana (Singapura) selama setahun, namun saya fikir bukan kehidupan sebegitu yang saya mahukan. Saya melihat kedua-dua ibu bapa saya menjalani rutin sama setiap hari, jadi saya nekad berhijrah dan mengintai peluang di Malaysia.
“Akhirnya saya mengikat kontrak dengan pengurusan Metrowealth (MIG) pada usia 20 tahun dan sehingga kini saya diberikan peluang mencari rezeki di Kuala Lumpur,” kata pemegang Diploma Komunikasi Media dari Politeknik Singapura itu.
Singapura ke Malaysia
Setibanya di Malaysia, dia tidak diberikan banyak tawaran berlakon filem di bawah syarikat pengurusannya memandangkan dia berdepan kesukaran bertutur bahasa Melayu dengan baik.
“Saya tidak percaya kelas bahasa, memang pada mulanya ada yang menyarankan saya mengikuti kelas bahasa Melayu, namun saya lebih selesa belajar secara praktikal di set penggambaran. Belajar bahasa di kelas akan menyebabkan saya menjadi kaku dan bertutur seperti robot,” ujarnya yang baru memasuki set penggambaran filem Suamiku Jatuh Dari Langit bergandingan bersama Nora Danish.
Anak gadis tunggal kepada pasangan Mohd. Suhaime Jamali, 49, dan Yan Mansor, 49, itu percaya dia tidak perlu terburu-buru membina namanya, malah dia percaya kepada restu ibu bapanya untuk mencari rezeki di tempat orang. Biarpun berjauhan, hampir setiap hari dia berkomunikasi bersama ibunya walaupun hanya dengan panggilan telefon.
“Kalau dahulu ketika saya tidak terlalu sibuk dengan penggambaran, saya akan pulang menjenguk keluarga setiap bulan, namun sekarang kami berhubung melalui panggilan telefon sahaja. Perkara wajib yang saya lakukan setiap hari adalah bercakap dengan ibu saya kerana suaranya sahaja yang mampu memberikan saya motivasi untuk bekerja.
“Saya ditanya kenapa berani datang ke Malaysia demi mencari rezeki dan jawapan saya, keberanian itu diperoleh daripada restu ibu dan bapa saya yang akan mendoakan kesejahteraan saya setiap hari. Masih saya ingat, ketika awal-awal saya di Kuala Lumpur, saya menangis setiap hari apabila ibu saya pulang ke Singapura,” singkapnya.
Essence of Atikah
Atikah diusik persoalan antara rupa dan bakat yang pastinya menjadi percaturan hidup atau mati kerjaya seseorang artis pada masa sekarang. Jawab gadis berusia 23 tahun itu, dia memilih kedua-dua elemen tersebut dalam menjamin survival seseorang pelakon.
“Rupa dan bakat, kedua-duanya penting. Kalau ada bakat sahaja tanpa ada rupa orang mungkin akan ingat tapi akan mudah dilupakan sama juga sekiranya ada rupa sahaja. Cantik mesti diiringi bakat dan kebolehan berlakon, namun saya tidak nafikan bakat yang akan menjamin kedudukan seseorang pelakon dalam industri hiburan,” jelasnya.
Berkisar soal rupa juga, Atikah realistik dan mahu menempatkan dirinya seadanya. Sering kali dia disamakan dengan beberapa wajah persis pelakon senior, Atikah enggan mengambil pusing dan melihat perkara tersebut sebagai satu cabaran baginya untuk menjadi yang lebih baik.
“Saya adalah Atikah Suhaime dan bukan klon sesiapa. Kalau ada yang menyamakan saya dengan beberapa artis senior, saya tidak boleh elak kerana masing-masing berhak memberikan pandangan atau meluahkan pendapat.
“Saya mengambil persamaan itu sebagai satu cabaran dan persaingan yang sihat untuk menyedarkan saya bahawa saya perlu berusaha untuk menjadi diri saya sendiri tanpa perlu menumpang sesiapa. Memang kalau selalu dibandingkan, saya akan rasa jelik tetapi hal itu adakalanya baik untuk memberikan tamparan kepada diri sendiri.
“Begitu juga soal personaliti, memang seseorang pelakon perlu punyai idola apabila bekerja tapi saya juga punyai karakter tersendiri dan mahu setiap lakonan saya mempunyai ‘sentuhan Atikah’,” tegasnya.
Tania Katsura
Dua buah karya lakonannya kini sedang hangat ditayangkan di layar perak dan layar kaca. Filem Kelibat arahan Hashim Rejab menuntut kredibiliti mental dan fizikalnya mendukung peranan Azalea bersama pelakon prolifik, Ellie Suriaty dan Fauzi Nawawi manakala karakter Tania Katsura dalam drama rantaian Bila Hati Berbicara menuntut perahan keringat emosi tanpa henti selama empat bulan.
“Penggambaran Bila Hati Berbicara dimulakan sejak bulan Ramadan lalu dan ketika itu fizikal saya sangat kurus.
“Mungkin secara kebetulan badan saya menepati situasi sebagai gadis setinggan bernama Tania Katsura yang perlahan-lahan berubah menjadi individu berbeza daripada episod ke episod.
“Saya menangis pada mulanya kerana watak itu menuntut permainan emosi dan karakter yang berat, malah berbeza dengan wataknya dalam novel. Tania dibentuk semula oleh pengarah, Amie Maziah untuk menyalurkan emosi berdasarkan pandangan mata sahaja dan mendalam daripada hati.
“Ini kali pertama saya diberikan peranan utama untuk drama, ia tidak sama seperti berlakon filem kerana saya perlu mengunci karakter sama selama berbulan-bulan.
“Untuk menjadi gadis setinggan juga sangat susah kerana saya dibesarkan dengan persekitaran moden. Jadi, saya diubah dan dipaksa menjadi individu baharu daripada cara bercakap, berjalan, makan, bekerja dan sebagainya.
“Semua jiwa urban saya dibuang dan sejak membintangi drama itu saya mulai jatuh cinta untuk memakai baju kurung. Sekarang pun saya sudah pandai memasak dan menyiang ikan serta melawan perasaan takut memegang katak,” tambahnya yang banyak diajar tentang kehidupan ketika di set penggambaran Bila Hati Berbicara.
Bercinta dan dicintai
Lima tahun dari sekarang, Atikah mahu dirinya terus dicintai oleh peminat di Malaysia dan Singapura. Malah, Atikah memasang impian untuk membawa keluarganya berhijrah dan menetap terus di Kuala Lumpur.
“Insya-Allah saya mahu dicintai peminat di kedua-dua buah negara, mungkin akan sampai masanya untuk saya menetap di Malaysia dan membawa bersama keluarga saya ke sini. Ketika itu kedua-dua orang tua saya tidak perlu bekerja lagi seperti sekarang.
“Kalau soal hati dan perasaan, saya rasa sukar untuk mencari teman yang tepat kerana selalunya lelaki yang saya suka sudah menjadi milik orang (ketawa). Saya mahu mencari yang betul-betul jujur dan memahami saya sebagai seorang perempuan yang tidak gemar lepak atau membazir masa.
“Saya sentiasa terbuka untuk bercinta, cuma saya cuba elakkan berjumpa dengan lelaki yang salah. Mungkin putera impian saya yang berwajah rupawan, tinggi lampai, punyai kewangan yang stabil, menghormati keluarga saya dan setia belum muncul lagi. Izinkan saya berfantasi terlebih dahulu,” tuturnya berderai ketawa.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: