Berpeluang mengikuti Photocamp siri lapan di Guilin, Guangxi, China selama enam hari merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Ia disertai oleh 15 jurugambar anjuran Saiful Nang Academy of Professional dan penulis mewakili Perbadanan Filem Nasional (Finas).
Dari lapangan terbang, kami terus menuju ke lembah pergunungan padi Longji yang mengambil masa perjalanan selama tiga jam dengan menaiki bas. Dinamakan Longji kerana apabila sawah penuh dengan air pada musim panas, ia dikatakan menyerupai skala pada badan naga.
Sebaik memasuki perkampungan tersebut, kami bertukar bas kecil menyusur lorong jalan yang sempit dan jurang setinggi 1,000 meter untuk sampai ke stesen kereta kabel dan menuju ke Golden Buddha Peak.
Merentasi lembah yang telah wujud lebih ratusan tahun itu dengan menaiki kereta kabel memberikan satu pemandangan yang sangat menakjubkan.
Tiba di puncak, perjalanan diteruskan dengan pendakian menyusur lereng pergunungan padi lebih kurang dua jam untuk sampai ke hotel yang terletak di perkampungan Tian Tou.
Pemandangan menakjubkan terasa seolah-olah kembali ke zaman dahulu tatkala melihat perkampungan mereka yang diperbuat daripada kayu dan cara hidup yang masih kekal seperti dulu.
Rambut panjang
Perkampungan Tian Tou adalah perkampungan di lereng bukit paling dalam dan tertinggi di lembah pergunungan padi Longji dan kebanyakan penduduk kampung ini adalah daripada keturunan etnik Yao.
Wanita Yao terkenal dengan mempunyai rambut terpanjang di dunia. Mereka tidak pernah memotong rambut sebaliknya membalut rambut itu dalam ban di atas kepala menyerupai serban India.
Keunikan seni reka rumah tradisi di perkampungan Tian Tou yang sebahagian besar diperbuat daripada kayu dengan ketinggian antara tiga hingga empat tingkat.
Tiket untuk masuk ke perkampungan padi berharga sekitar RM50 seorang, bas dari pintu masuk perkampungan padi ke kereta kabel berharga RM20 seorang dan tiket kereta pula RM35.
Sekiranya membawa barang yang banyak, perkhidmatan mengangkut barang oleh penduduk di sini adalah bermula daripada RM30 untuk sebuah beg.
Pengembaraan diteruskan ke bandar Yangshuo, bandar yang dikelilingi oleh pergunungan batu kapur dan sungai yang menjadikan pemandangan indah seperti lukisan Cina yang biasa kita lihat.
Pada sebelah malam, peserta meneruskan pencarian gambar di sekitar West Street yang dikatakan jalan tertua di Yangshuo dan mempunyai sejarah lebih 1,400 tahun lalu. Terdapat pasar malam di sekitar West Street yang menawarkan pelbagai jenis barangan.
Kami turut berpeluang berbasikal pada hari keempat merentasi perkampungan di sekitar Sungai Yulong sambil merakam keindahan tapak bekas perkampungan lama, dusun limau bali, deretan pokok bunga teratai di perkampungan lama.
Di sebelah petang, kami bergerak ke Sungai Li yang terletak di pekan Xingping, utara Guangxi kira-kira 27 kilometer dari Yangshuo untuk sesi merakam potret nelayan yang menangkap ikan menggunakan cara tradisional dengan sejenis burung dendang air atau lebih dikenali sebagai cormorant.
Nelayan-nelayan ini juga merupakan ikon bagi Guilin dan hanya boleh dijumpai di kampung kecil Xingping. Kami meneruskan bidikan kamera sehingga lewat senja iaitu pada waktu golden dan blue hour. Cahaya petang menyapa wajah nelayan tua mewujudkan gambar yang mempunyai efek yang lebih tinggi.
Rakit buluh
Basikal adalah antara salah satu pengangkutan popular untuk mengelilingi Yangshuo dan kadar sewaan bermula dari RM20. Untuk mengambil gambar nelayan tersebut, kadar yang dikenakan lebih kurang RM180 untuk sesi lima hingga tujuh orang.
Meneruskan pengembaraan dengan mengelilingi Sungai Yulong dengan menaiki rakit buluh. Sepanjang perjalanan mengelilingi sungai ini, kami memotret gambar pemandangan yang sangat indah dan terdapat khidmat fotografi mengambil gambar pelancong di laluan arus sungai yang deras.
Selain itu, peserta singgah sebentar di salah satu tebing sungai untuk merasai ikan bakar dan jagung rebus mereka. Sewaan rakit buluh adalah sekitar RM90 untuk satu rakit yang boleh memuatkan dua orang.
Di sebelah petang, sekali lagi peserta menuju ke pekan Xingping. Kali ini kami dipecahkan kepada dua kumpulan bagi mendaki Gunung Lao Zhai Shan dan satu lagi kumpulan bergerak ke sekitar perkampungan lama Xingping yang berusia beratus tahun.
Pendakian gunung setinggi lebih kurang 220 meter itu memakan masa lebih kurang satu jam. Walaupun hujan mula turun ketika pendakian, kami tidak putus semangat dan terus mendaki sambil berbaju hujan.
Tiba di puncak, segala kepenatan tadi terasa amat berbaloi dengan keindahan matahari petang melukis landskap Guilin dengan cahayanya. Masing-masing kemudiannya mengeluarkan tripod dan mula mengambil gambar matahari terbenam.
Rata-rata mengakui bahawa pengembaraan ini memberikan satu pengalaman yang berbeza daripada mengikuti agen pelancongan biasa kerana tempat-tempat yang dilawati adalah bukan tempat biasa pilihan agensi pelancongan.
Guilin mampu memberi nostalgia dan nilai fotografi yang tinggi dan unik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: