Saturday, November 1, 2014

Percutian santai di bumi Perlis

PARA pengunjung boleh merasai pengalaman memberi makanan kepada burung unta di Taman Agro-Lancong.


WANGIAN harum semerbak melatari ruang kecil yang dibina ringkas menggunakan kayu dan lapisan kanvas jenis getah sebagai pintu masuk.
Keadaan sedikit panas tidak menyebabkan tubuh terus berpeluh tetapi terasa tenang menghirup udara yang mengandungi tujuh jenis herba tempatan.
Terletak di kawasan hutan seluas 12 hektar, Sauna Herba di Rimba Herba Perlis itu memberi impak positif kepada pengunjung kerana setiap satu ramuan tersebut mempunyai kebaikan kepada tubuh hakiki manusia.
Deria bau pantas menangkap haruman mengkudu kecil yang dipercayai secara tradisional mampu menyegarkan dan menghilangkan bau badan ditambah dengan serai wangi bagi mengurangkan lemak badan dan herba sembung sebagai agen antipenuaan.
Ia turut dilengkapi dengan herba lain termasuk tuba limau, larak, mendang kewangi dan pandan wangi.
Bagaimanapun, menurut Pegawai Jabatan Perhutanan Perlis, Hashim Saad, pengunjung dinasihatkan tidak berada lama di Sauna Herba, cukup sekadar dua hingga tiga minit sahaja.
“Ia sebagai satu persinggahan awal untuk perjalanan yang lebih menenangkan di sepanjang laluan Rimba Herba Perlis,” ujarnya ketika memberi penerangan kepada sekumpulan media yang mengikuti Program Sahabat Media anjuran majalah Santai Travel dengan kerjasama Tourism Malaysia baru-baru ini.
Ketenangan yang dikatakan Hashim itu adalah 1,000 spesies tumbuhan herba yang mengelilingi kawasan yang dikawal selia oleh Jabatan Perhutanan Perlis itu.
Terletak 12.6 kilometer (km) dari bandar Kangar, ia dipecahkan kepada tiga seksyen utama yang terdiri daripada herba-herba bagi tujuan perubatan dan pendidikan.
Tidak hairan jika dikatakan, pengunjung yang datang ke sini terdiri daripada pelbagai lapisan umur.
Dibuka kepada umum pada tahun 1998, Rimba Herba Perlis tidak hanya menjadi lokasi hujung minggu bersama keluarga tetapi ia turut dilawati individu yang mendapatkan rawatan alternatif menggunakan perubatan tradisional herba.

SEBANYAK 1,000 spesies tumbuhan herba boleh didapati di Rimba Herba Perlis.


“Banyak tumbuhan yang terdapat di sini boleh digunakan dalam merawat pesakit seperti diabetes, darah tinggi, sakit tulang dan kanser.
“Disebabkan itu, ada kumpulan pelawat yang datang dari luar Perlis semata-mata ingin mendapatkan tumbuhan herba bagi merawat penyakit mereka,” ujar Hashim.
Antara jenis herba yang terdapat di situ ialah jentik nyamuk, akar dani, paku sarang burung, bayam batu dan bogak perlis.
Orang ramai dibenarkan untuk membawa pulang herba mengikut kapasiti yang dihadkan oleh pihak jabatan.
Rawatan
Malah, rawatan rendaman minyak herba disediakan kepada pengunjung di Spa Rawatan Tradisional Herba dengan bayaran RM6 untuk 20 minit bagi membantu kelancaran aliran darah, sakit sendi dan sakit urat.
Herba Perlis merupakan antara destinasi tarikan pelancong terkenal di negeri paling utara dan terkecil di Malaysia itu.
Dengan keluasan 81,060 hektar, negeri yang terkenal dengan jolokan Indera Kayangan itu masih mampu memberikan pengalaman percutian yang menghiburkan kepada setiap pelancong.
Selesai ‘mengubati’ tubuh secara tradisi, cabar pula keyakinan diri dengan berkunjung ke Taman Ular dan Reptilia Perlis yang terletak 3.5km dari Rimba Herba Perlis.
Dikomersialkan pada tahun 1995, ia menempatkan lebih 150 ekor ular berbisa dan tidak berbisa dari dalam dan luar negara.
Menurut pengurusnya, Samsul Wadi Md. Salleh, Rimba Herba Perlis tidak hanya sebagai lokasi pelancongan, malah turut berfungsi sebagai pusat pembelajaran dan perlindungan kepada 34 spesies ular yang terdapat di situ.
“Disebabkan itu, Taman Ular dan Reptilia Perlis menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) sebagai taman ular terbesar di negara kita,” ujarnya.
Pada awalnya, taman tersebut merupakan institusi penyelidikan perubatan yang ditubuhkan bagi menghasilkan penawar terbaik untuk merawat kesan patukan ular.
Ia diletakkan di bawah Kementerian Kesihatan sebelum dimajukan sebagai lokasi tarikan pelancongan di Perlis, 17 tahun selepas itu.
Pengunjung yang datang disajikan dengan persembahan ular dan kepada yang berani, mereka berpeluang untuk mendekati reptilia berdarah sejuk itu.
Samsul berkata, ular paling berat adalah daripada spesies sawa seberat 80 kilogram dengan panjang tujuh meter yang ditangkap pada tahun 2005 di Sik, Kedah.
“Ia ditangkap ketika cuba memasuki sebuah rumah penduduk Kampung Tikam Batu sebelum dihantar ke Taman Ular dan Reptilia.
“Ular tersebut sekarang ditempatkan di sangkar nombor 13 dan dijaga rapi sebagai salah satu tarikan di sini,” ujarnya.
Tarikan terbaharu

Antara contoh herba yang terdapat di Rimba Herba Perlis.


Antara tarikan terbaharu yang terdapat di Perlis ialah Agro-Lancong yang terletak di Jalan Padang Besar Utara.
Dengan berkeluasan 2,023.43 meter persegi, Agro-Lancong menyediakan pelbagai aktiviti lasak dan ringan kepada pengunjung seperti memanah, menunggang Kenderaan Pelbagai Permukaan (ATV) dan melawat ladang burung unta serta kuda.
Dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Veterinar Perlis, destinasi tersebut bakal menjadi tumpuan baharu terutama kepada golongan muda dan berkeluarga.
“Bayaran yang dikenakan kepada pengunjung adalah berpatutan sebagai satu rangka promosi di Agro-Lancong,” ujar penyelia, Mohd. Nizam Sawal.
Bagi mencuba ATV, bayaran sebanyak RM50 untuk 45 minit dikenakan manakala aktiviti memanah hanya RM10 untuk 12 batang anak panah.
Pengunjung boleh menunggang ATV di sekeliling Agro-Lancong sambil menikmati pemandangan hijau dan haiwan yang terdapat di situ.
Sebanyak lima ekor burung unta yang boleh ditunggangi untuk perlumbaan antara pengunjung, selain 30 ekor kuda terdapat di Agro-Lancong.
Dilancarkan pada bulan Ogos lepas, Agro-Lancong bakal menambah beberapa lagi aktiviti dan tarikan baharu seperti permainan paintball, belon panas dan membawa masuk tiga ekor gajah.
Sepasang gajah betina dan jantan bersama seekor anak yang dibawa dari negara jiran, Thailand itu bakal menjadi tarikan utama di Agro-Lancong.
Setibanya gajah-gajah tersebut pada awal bulan November ini, pengunjung berpeluang untuk mendekati dan menunggang haiwan itu.
“Permainan paintball dan belon panas pula akan diperkenalkan pada tahun depan di kawasan yang sama,” jelas Mohd. Nizam.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: