MENYUSURI perjalanan ke perkampungan Orang Asli di Pos Lemoi, Cameron Highlands, Pahang dari Kuala Lumpur mengambil masa antara tujuh hingga lapan jam. Ekspedisi bersama kumpulan Adventure Team 4x4 itu bertujuan mengunjungi dua buah keluarga Islam Orang Asli di samping mendekatkan diri dengan komuniti masyarakat Orang Asli dari suku kaum Semai di situ.
Kumpulan kami yang datang melalui Tapah, Perak tiba di Brinchang, Cameron Highlands sebelum meneruskan perjalanan yang memakan masa satu jam setengah untuk ke penempatan Orang Asli Semai yang dihuni kira-kira 200 orang itu.
Gelagat kanak-kanak Orang Asli di perkampungan tersebut dirakamkan untuk melihat perbezaan dunia mereka berbanding kanak-kanak di bandar.
Telatah dan gelagat kanak-kanak Orang Asli Pos Lemoi sebenarnya tidak banyak beza dengan kanak-kanak bandar. Cuma, mereka lebih aktif, lasak dan selesa berjalan berkumpulan bersama rakan-rakan sebaya tanpa ditemani oleh ibu bapa atau orang dewasa.
Mereka tidaklah ditafsirkan seperti zaman lampau yang bercawat dan berbogel, namun sifat-sifat tradisi seperti berkaki ayam sudah menggambarkan sifat kekebalan imunisasi mereka.
Walaupun menghuni nun jauh di pedalaman, mereka mudah menerima tetamu luar. Mungkin kerana telah terbiasa dikunjungi sebelum ini ditambah dengan kemudahan asas yang cukup seperti sekolah dan tadika.
Bagi masyarakat luar yang berhasrat mengunjungi mereka, gula, beras, rokok dan pakaian manakala gula-gula dan coklat untuk kanak-kanak antara buah tangan yang sesuai untuk mendekati mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: