|
PARA peserta yang mengikuti program ASEAN Explore Quest Malaysia 2014 kelihatan berpeluh-peluh dan tercungap-cungap selepas bermain tarik upih pinang.
Permainan tradisional zaman kanak-kanak itu sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia suatu ketika dahulu tetapi kini, segelintir sahaja yang masih bermain permainan tersebut.
Seorang peserta dari Singapura, Nur Amirah Nur Yahya, 21, mengakui, dia teruja apabila diberi peluang untuk mencuba permainan tersebut.
“Rasa gementar pun ada kerana saya tidak pernah main permainan tradisional ini. Saya kena bersaing dengan pasukan-pasukan yang lain,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Setiap pasukan juga dikehendaki menarik pasangan masing-masing menggunakan upih pinang dan pemenang ditentukan berdasarkan catatan masa terpantas.
“Susah rupanya menarik pasangan ketika dia duduk atas upih pinang ini... sangat memenatkan,” kata Nur Amirah.
Upih pinang merupakan pelepah atau pangkal daun pokok pinang. Pelepah yang digunakan dalam permainan ini adalah pelepah yang sudah tua.
Ia boleh boleh dimainkan bersama dua atau tiga orang. Salah seorang daripadanya perlu menjadi penarik dan yang lain duduk di atas upih pinang tersebut.
Permainan ini sangat menyeronokkan terutamanya jika menjadi penunggang. Namun, awas punggung anda pasti terasa sakit apabila terlanggar permukaan keras seperti batu.
Mengacau dodol
Selain permainan menarik upih pinang, para peserta juga menyertai pelbagai aktiviti tradisional seperti menumbuk kacang menggunakan lesung tangan kayu, memasak dodol dan menyertai istiadat perkahwinan Melayu.
“Saya berasa teruja apabila mendapat tahu akan mengacau dodol kerana selama ini saya hanya pernah memakannya.
“Baru saya tahu bahawa tidak mudah untuk menghasilkan dodol. Lengan saya berasa lenguh kerana perlu sentiasa mengacau dodol di dalam kuali. Malah, asap juga menganggu tumpuan saya ketika mengacau dodol,” katanya sambil mengesat peluh.
Kesemua aktiviti berkonsepkan tradisional itu dijalankan di kawasan Homestay Kampung Lonek, Negeri Sembilan.
Ia merupakan antara program yang terkandung dalam ASEAN Explore Quest Malaysia yang yang dijalankan buat kali kedua oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Ia berlangsung selama seminggu bermula 14 sehingga 21 November 2014.
Seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada selebriti terkenal dan agensi media dari negara-negara ASEAN mengikuti program ini buat pertama kalinya.
Program tersebut membawakan konsep seperti program realiti di kaca televisyen, The Amazing Race dengan para peserta akan melawati pelbagai lokasi seperti Negeri Sembilan, Johor dan Pulau Pinang.
Peserta juga berpeluang melihat lokasi-lokasi menarik seperti melawat taman tema Hello Kitty World dan Legoland, Johor Bahru dan di Pulau Pinang pula, mereka akan melawati kilang penghasilan batik.
Sebelum itu, pada hari kedua program tersebut dijalankan, para peserta dibawa menyertai cabaran telematch di Taman Tema Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor.
Antara cabaran tersebut termasuklah mencari harta karun, menaikkan bendera menggunakan tali, Bomb Remover dan Tube Filing. Konsep cabaran tersebut lebih kepada sesi suai kenal dan santai.
Dalam kesemua cabaran itu, setiap ahli perlu memainkan peranan dan bekerjasama antara satu sama lain dalam menyelesaikan cabaran dalam tempoh masa terpantas.
Bagi cabaran Bomb Remover, peserta perlu memegang kain kanvas sambil membawa ‘bom’ atau botol yang berisi air di tengah-tengah kanvas itu. Peserta membawa kanvas tersebut ke garisan penamat.
Peserta dari Filipina, Isabelle Deleon, 20, yang juga merupakan seorang pelakon dan penyanyi berkata, aktiviti yang dijalankan sangat mencabar walaupun tampak senang.
“Kesemua cabaran memerlukan sokongan daripada setiap ahli kumpulan,” ujarnya.
Bagi Isabelle Tube Filing atau mengisi air ke dalam bekas yang berlubang merupakan aktiviti yang paling mencabar.
“Lubang-lubang di dalam bekas itu sangat besar berbanding jari-jari kami. Kami terpaksa menggunakan jari kaki dan lidah untuk menutupnya.
“Lebih-lebih lagi apabila salah seorang daripada kami terpaksa menutup mata sambil berlari mendapatkan air untuk diisi ke dalam bekas berlubang ini,” katanya.
Gelagat
Pelbagai gelagat dapat disaksikan dalam acara itu termasuk peserta basah kuyup kerana disimbah air serta bertembung sesama sendiri.
Cabaran-cabaran yang diadakan bukan ternyata menguji minda dan fizikal para peserta, namun ia dapat mengeratkan talian persahabatan antara peserta.
Bagi Tran Duc Viet, 23, yang berasal dari Vietnam memberitahu, dia sangat gembira kerana mengikuti program ASEAN Explore Quest Malaysia ini.
“Pengalaman paling indah saya adalah ketika menjadi pengantin lelaki dalam cabaran mengenali istiadat perkahwinan kaum Melayu.
“Dalam adat perkahwinan ini, pengantin perlu menjalani aktiviti merisik, bertunang, nikah, berinai dan bersanding,” ujarnya.
Duc Viet berkata, pengalaman pertama kalinya menjejakkan kaki di Malaysia ternyata sangat manis dan dia teruja menerokai pelbagai destinasi dan aktiviti yang menarik.
“Banyak perkara baharu yang saya pelajari dan saya berasa sangat bertuah kerana dapat mengikuti program ini. Suatu hari nanti, saya pasti akan datang semula bersama keluarga dan kenalan,” ujarnya.
Para peserta program ASEAN Explore Quest Malaysia akan menamatkan aktiviti mereka pada hari esok di Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: