Sunday, November 2, 2014

Cabaran sebenar Kharleez bermula


Kharleez melaraskan tempat duduk basikalnya sebelum meneruskan perjalanannya dalam misi Kayuh Adventure.


DALAM sekelip mata sahaja, sudah seminggu saya meninggalkan ibu negara dan berkayuh secara solo merentasi beberapa buah negeri dalam misi Kayuh Adventure yang dijangka berakhir di Kunming, China pada penghujung Disember depan.
Untuk tempoh beberapa hari lalu, saya menikmati setiap saat sepanjang pengembaraan saya merentasi Perak dan Pulau Pinang sebelum tiba di Kedah pada 29 Oktober lalu.
Orang ramai yang saya temui sepanjang perjalanan cukup ramah dan kebanyakannya mengenali serta mengetahui bahawa saya kini dalam perjalanan ke negara Tembok Besar dengan jarak sejauh 3,200 kilometer (km).
Selain dipelawa untuk menjamu selera dan minum bersama, rata-rata individu yang ditemui tidak lokek berkongsi nasihat serta turut memberi tunjuk ajar mengenai tempat-tempat bersejarah di negeri masing-masing.
Mengimbau kembali saat-saat berpisah dengan ahli keluarga dan rakan-rakan sebelum memulakan ekspedisi ini, saya menyedari bahawa ia bukan lagi satu tugas mudah kerana saya memikul tanggungjawab bagi menjayakan misi mengumpul dana untuk Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM).

Kharleez (belakang dua dari kiri) bergambar kenangan dengan rakan-rakannya dari SMK Anderson ketika berada di Ipoh, Perak.


Perjalanan ke Ipoh dari Tapah selepas berkayuh dari ibu negara pada hari pertama, merupakan satu pengalaman yang indah kerana ibu negeri itu merupakan tempat saya membesar.
Dengan perasaan teruja, saya terus singgah di rumah seorang rakan sejurus tiba di Ipoh kira-kira pukul 12 tengah hari. Selepas itu, saya berjumpa pula dengan rakan-rakan lain yang sama-sama pernah menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh. Apa yang saya teruja apabila ramai kawan yang datang untuk memberi sokongan kepada saya.
Pengembaraan saya diteruskan ke Taiping pada hari ketiga dan di sana, saya bertemu dengan penduduk setempat yang bermurah hati dengan memperkenalkan bandar tersebut yang terkenal dengan sejarah dan kawasan pelancongan, antaranya ialah Bukit Larut dan Taman Tasik Taiping.
Pengembaraan saya sepanjang misi Kayuh Adventure berjalan dengan lancar dari hari pertama. Namun, saya perlu menghentikan seketika kayuhan dalam pengembaraan saya ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang dari Taiping disebabkan hujan tetapi syukurlah apa yang dirancang berjalan lancar.

Kharleez memberi pose istimewa di Jambatan Merdeka dekat Sungai Petani, Kedah sebelum memasuki sempadan Thailand menerusi Bukit Kayu Hitam, Kedah.


Selepas berkayuh sejauh 60 km dan tiba di Sungai Petani pada hari kelima, saya bermalam di rumah ibu saudara yang terletak di Bandar Laguna Merbok. Lokasi tersebut merupakan tempat kunjungan kami sekeluarga setiap tahun menjelang sambutan Hari Raya.
Ketibaan saya disambut oleh sanak saudara terdekat. Namun, ada dalam kalangan mereka yang masih pelik mengenai penglibatan saya dalam misi yang mengambil masa kira-kira dua bulan ini tetapi apa yang pasti mereka semestinya memberi sokongan penuh kepada saya.
Sejujurnya, cabaran sebenar masih belum bermula lagi dalam pengembaraan saya buat minggu pertama ini kerana di tanah air, saya ada ramai kenalan dan mereka boleh menyalurkan bantuan kepada saya sekiranya diperlukan.
Dengan perasaan agak bimbang dan gementar, saya perlu bergantung kepada diri sendiri serta berdikari selepas memasuki sempadan Thailand menerusi Bukit Kayu Hitam, Kedah kerana di sanalah, cabaran sebenarnya akan bermula.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: