|
SEBUT saja perkataan coklat, pasti ramai yang terbayangkan kelazatan dan keenakan manisan yang diperbuat daripada buah koko itu.
Kini, coklat telah menjadi kegilaan kanak-kanak dan orang dewasa di seluruh dunia.
Ada banyak perkara menyeronokkan yang dikaitkan dengan coklat. Sesetengah orang beranggapan coklat dapat meredakan tekanan dan menerbitkan perasaan gembira.
Ini mungkin ada kebenarannya kerana coklat sememangnya dapat menenangkan fikiran yang berserabut.
Bukan itu sahaja, kajian menunjukkan coklat makanan berkhasiat dan seimbang selain mudah dibawa ke mana-mana serta dimakan pada bila-bila masa.
Melihatkan potensi industri coklat itu, syarikat pengeluar coklat tempatan, DR Group Holdings Sdn. Bhd. membuka Muzium Coklat di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada tahun 2012.
Menurut pengurusnya, Mohd. Azuan Arshad, pembinaan muzium itu membabitkan kos sebanyak RM1 juta.
“Muzium ini dilancarkan Januari lalu oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tetapi ia sebenarnya telah dibuka lebih awal.
“Pada masa itu, kami mahu menguji penerimaan orang ramai terhadap satu-satunya muzium yang dikhaskan untuk coklat di Malaysia ini.
“Tujuan muzium ini ditubuhkan adalah untuk mendidik masyarakat mengenai asal-usul coklat serta manfaatnya dari segi kesihatan.
“Pengunjung juga akan mendapat maklumat menarik mengenai coklat dan koko dari seluruh dunia yang telah berusia lebih 3,000 tahun.
“Sejak dibuka, kami menerima lebih 50,000 orang pengunjung yang terdiri daripada kanak-kanak tadika, pelajar sekolah, universiti dan kolej.
“Pelancong asing dari negara seperti China, Thailand, Jepun dan Asia Barat juga kerap datang ke sini,” jelasnya sambil memberitahu, muzium terbabit telah diiktiraf sebagai produk pelancongan terbaharu Malaysia tahun ini.
Konsep 3E
Ujar Mohd. Azuan, pihaknya mempraktikkan konsep 3E iaitu pengunjung berpeluang mendapatkan pengetahuan (education), pengalaman (experience) dan keseronokan (enjoyable) sepanjang berada di muzium terbabit.
“Mereka akan dibawa melawat ke sekeliling muzium, melihat demonstrasi penghasilan coklat, membeli-belah di galeri coklat selain bersantai di kafe muzium ini yang menyajikan makanan dan minuman berasaskan coklat.
“Lebih 130 jenis coklat daripada 30 jenama terkenal dijual di muzium ini termasuk Cadbury, Ferrero Rocher dan Toblerone di samping jenama keluaran syarikat kami iaitu Fidani, Farrel dan Danson.
“Kesemua coklat daripada jenama terkenal ini diimport terus dari negara asal seperti Itali, New Zealand dan Korea.
“Malah, ia dijual pada harga yang jauh lebih murah berbanding di pasar raya iaitu antara RM1.50 hingga RM300,” ujarnya sambil menambah, pihaknya menerima sebanyak 2,000 hingga 4,000 pengunjung pada hari biasa tidak termasuk cuti hujung minggu.
Sebaik menjejakkan kaki di muzium ini, kru Jurnal disambut oleh cef muzium, Cef Yazid yang bertindak sebagai pemandu pelancong.
Pengunjung diberi penerangan oleh cef berkenaan mengenai sejarah awal koko dan coklat.
Terdapat beberapa bahagian yang boleh dilawati sepanjang sesi ini, antaranya sejarah coklat, kebaikan coklat untuk kesihatan dan industri coklat.
Pengunjung juga berpeluang melihat replika mesin adunan coklat pertama dunia yang dicipta pada tahun 1879 oleh peneroka coklat antarabangsa Swiss Chocolatier iaitu Rodolphe Lindt.
Malah, bentuk coklat bar diaplikasikan pada dinding yang menuju ke dapur muzium. Di situ juga sesi demonstrasi penghasilan coklat untuk pengunjung dilakukan.
Melangkah ke ruang dapur muzium ini, pengunjung dapat melihat bentuk haiwan yang dihasilkan menggunakan coklat seperti ular sawa, naga dan burung helang untuk tatapan pengunjung.
“Kami menyiapkan kesemua bentuk haiwan yang menggunakan coklat ini dalam bentuk kumpulan dan masa yang diambil untuk menghasilkan naga ini ialah 110 jam, ular sawa pula selama 150 jam dan burung helang memakan masa selama 130 jam,” tambahnya.
Walaupun dipisahkan oleh dinding kaca, pengunjung masih dapat melihat aksi mengadun coklat cair oleh cef di dapur. Kerja-kerja itu dilakukan di atas marmar bagi menghasilkan coklat yang halus dan berkilat.
Selain itu, pengunjung ditunjukkan teknik menyalut coklat menggunakan biskut atau wafer dan kemudiannya dihias dengan bahan hiasan di atasnya.
Cetak gambar
Merasai sendiri keenakan rasa biskut yang disalut coklat itu pastinya memberikan pengalaman yang sangat berharga lebih-lebih lagi coklat itu baru saja dihasilkan.
Pengunjung juga ditunjukkan cara mencetak gambar di atas coklat menggunakan mesin buatan Jerman.
“Proses mencetak gambar di atas coklat ini mengambil masa selama 45 minit. Malah, kami turut menerima tempahan untuk majlis perkahwinan, ulang tahun mahupun majlis korporat.
“Untuk tempahan mencetak, pengunjung perlu membawa gambar yang hendak dicetak dalam bentuk digital. Harga pula ditentukan mengikut saiz dan bentuk gambar yang dipilih,” ujarnya.
Muzium yang berkeluasan 325 meter persegi itu dibuka secara percuma kepada orang ramai bermula dari pukul 10 pagi hingga 5 petang setiap hari.
“Sebagai perancangan, kami bakal menubuhkan akademi coklat dan Muzium Coklat kedua pada penghujung tahun ini.
“Kami turut bercadang membuat taman tema yang disasarkan pada awal tahun hadapan,” tambah Mohd. Azuan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: