Wednesday, April 9, 2014

Jaga dan rawat kucing terbiar




BANGSAL berdindingkan jaring dan beratap zink yang dicat berwarna merah jambu itu mencuri perhatian pengunjung yang singgah ke situ.
Bahagian tembok bangsal yang dilukis gambar kucing, pokok bunga, rumah dan tertulis 1Meow 1Senyuman itu menjadi tarikan kepada Pusat Jagaan Kucing Omiey Home.
Bangsal berkeluasan empat meter persegi dengan ketinggian 2 meter dan berbumbungkan atap zink itu merupakan kediaman kepada 150 ekor kucing di pusat jagaan itu.
Sesekali kedengaran bunyi pergaduhan antara penghuni di bangsal tersebut sekali gus menggambarkan ketidakselesaan mereka yang tinggal di dalamnya.
"Kami memahami keadaan kucing-kucing di dalam sangkar ini yang tidak selesa kerana terlalu padat, namun ini saja pilihan yang ada," kata pemilik Pusat Jagaan Kucing Omiey Home, Melissa Ridz, 38.
Menurut Melissa, pihaknya telah mengambil beberapa pendekatan bagi mengurangkan masalah ketidakselesaan kucing di dalam sangkar tersebut.
Antaranya, memasang kipas bagi mengurangkan panas dan memasang kanvas ditepi jaring bagi mengelak tempias air hujan.
Kepada Nor Lailawati Othman, 29, Pusat Jagaan Kucing Omiey Home itu banyak membantu menyelesaikan masalahnya.
Kakitangan swasta yang tinggal di kawasan perumahan bertingkat di Bangi, Selangor itu bersyukur kerana pusat jagaan haiwan itu sanggup menerima kucing jalanan yang datang menumpang teduh di rumahnya. Memandangkan dia menyewa bersama beberapa rakan serumahnya, Nor Lailawati tidak dapat memelihara haiwan tersebut meskipun dia begitu teringin membelanya.
"Selepas merawat kucing tersebut yang menghadapi masalah kurap di telinga kanan dan selesema, saya menghantar kucing tersebut ke pusat jagaan tersebut," katanya ketika ditemui.
Pusat Jagaan Kucing Omiey Home, Kampung Melayu Kepong, Kuala Lumpur ditubuhkan sejak lima tahun lalu itu menawarkan khidmat menjaga dan merawat kucing-kucing terbiar secara percuma.

BANGSAL ini mampu menampung sebanyak 150 ekor kucing pada satu-satu masa.


Caj
Menurut Melissa pusat jagaan yang menempatkan kira-kira 150 ekor kucing itu menerima kucing-kucing terbiar yang dijumpai oleh orang ramai.
Namun bagi individu yang ingin menghantar kucing peliharaan mereka ke pusat tersebut, pihaknya akan mengenakan caj sebanyak RM50 untuk seekor kucing.
"Kami perlu mengenakan bayaran tersebut untuk membeli makanan, ubat-ubatan dan membayar gaji tujuh orang pekerja di pusat jagaan ini yang kosnya hampir RM2,000 sehari atau sekitar RM60,000 sebulan.
"Sepanjang mengendalikan pusat ini, tiada lagi individu yang merungut mengenai bayaran yang dikenakan," jelas beliau bahawa pihaknya juga menerima bantuan daripada orang ramai.
Menurut bekas graduan undang-undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, idea untuk menubuhkan pusat jagaan tersebut tercetus selepas mendapati terlalu banyak kucing terbiar.
Berbekalkan dana permulaan RM10,000, Melissa mengambil inisiatif menubuhkan pusat jagaan tersebut yang bermatlamat menjaga dan merawat kucing terbiar sebelum diserahkan kepada individu yang berminat.
"Kami akan cuba merawat kucing-kucing ini terlebih dulu sekiranya berpenyakit. Selepas kucing-kucing tersebut sembuh, kami bawa ke Uptown, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur untuk diberi kepada individu yang berminat mengambil kucing tersebut secara percuma.
"Selain itu, kami turut bekerjasama dengan kelab-kelab kucing di negara ini untuk menganjurkan program pengambilan kucing angkat," katanya berpengalaman memelihara kucing sejak kecil.
Terima sumbangan
Pusat Jagaan Kucing Omiey merupakan sebuah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun 2010. Sehubungan itu, orang ramai tidak perlu ragu-ragu untuk menghantar kucing atau menyalurkan sumbangan.

MUHAMMAD REDZUAN (kanan) melayan orang ramai yang menghantar kucing dari Pusat Penjagaan Omiey Home.


"Saya harap orang ramai tidak perlu bimbang dengan pusat jagaan ini. Kerja-kerja yang dilakukan ini semua disebabkan atas rasa tanggungjawab dan prihatin kami terhadap kucing bukannya untuk menjana keuntungan," kata Melissa. Pusat tersebut turut menerima sumbangan dalam bentuk makanan, pasir, sangkar dan surat khabar lama.
Menurut Melissa, dia juga tidak lari daripada berdepan dengan cabaran dalam menguruskan pusat tersebut. Antaranya, termasuklah rungutan penduduk sekitar mengenai masalah bau busuk daripada pusat tersebut. Sebagai alternatif, pihaknya telah membina tembok setinggi empat meter dan menambah bilangan pekerja di pusat tersebut.
Sementara itu, menurut salah seorang pekerja di pusat tersebut, Muhammad Redzuan Ibrahim, 31, dia telah bekerja di Omiey Home lebih empat tahun sejak masih menuntut di universiti.
Ujar bekas graduan Universiti Malaya dalam jurusan Sains Komputer itu, dia pada mulanya hanya ingin mencari wang saku untuk menampung kos sara hidup, namun tidak menyangka kerja tersebut terus kekal hingga kini.
"Saya rasa kerja ini sesuai dengan jiwa saya dan ia merupakan salah satu faktor saya masih kekal kerja di sini walaupun selepas tamat pengajian.
"Saya ada juga mencari kerja-kerja lain, namun masih belum ada rezeki. Walaupun gaji tidak besar, namun saya anggap ia sebagai satu pekerjaan yang mulia kerana dapat membantu kucing-kucing ini," katanya merupakan salah seorang pencinta kucing. Setiap hari Muhammad Redzuan bersama dua rakannya mula bekerja seawal pukul 8.30 pagi dan pulang pada pukul 8 malam.
Perkara pertama yang mereka lakukan ialah memastikan makanan dan air dalam sangkar kucing sentiasa cukup. "Kucing-kucing di sini sentiasa cukup makan dan minum, malahan disediakan kipas bagi memastikan keadaannya selesa terutama ketika cuaca panas," katanya.

SEBAHAGIAN daripada makanan yang didermakan kepada Pusat Jagaan Kucing Omiey Home.


Selepas tugas memberi makan selesai, mereka bertiga akan membersihkan sangkar dan rumah kucing bagi memastikan najis dan lebihan makanan yang telah rosak dibuang.
Ia merupakan rutin wajib yang perlu dilakukan setiap hari agar sangkar sentiasa dalam keadaan bersih.
"Pusat ini sentiasa dikunjungi oleh orang ramai untuk melawat kucing-kucing ini terutama pada hujung minggu, sebab itulah kami perlu pastikan ia bersih," katanya.
Ujar anak kelahiran Umbai, Melaka itu selain memberi makan dan mencuci sangkar, mereka juga perlu memberi ubat kepada kucing-kucing yang sakit mengikut jadual.
Antara masalah yang dihadapi oleh kucing-kucing yang terdapat di pusat itu ialah selesema dan kurap.
"Kucing-kucing yang sakit akan diletakkan dalam sebuah sangkar khas. Selepas kucing-kucing ini sembuh, kami akan asingkan ke dalam sangkar-sangkar yang lebih kecil sebelum diberikan kepada orang ramai," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: