Wednesday, April 9, 2014

Habuan RM15,000 hasilkan video kreatif

USM-IWK berkolaborasi untuk mengajak masyarakat bersama-sama peka terhadap pemeliharaan alam sekitar.


TIDAK keterlaluan jika diberitahu program Pameran Pengiklanan Pemenang Anugerah (Adwave) anjuran pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang memang cukup disegani.
Setiap tahun, Adwave mengangkat tema yang berbeza sebagai fokus kempen pengiklanannya. Sebagai contoh, revolusi media baharu, pelancongan domestik, silang budaya dan semangat cintakan tanahair.
Kali ini, Adwave berkolaborasi dengan Indah Water Konsortium (IWK) dengan misi untuk mengetengahkan idea paling kreatif tetapi sarat dengan mesej positif.
Memasuki penganjuran ke-17, Adwave edisi 2014 memilih isu alam sekitar iaitu kepentingan terhadap sumber air menerusi pertandingan video viral.
Buat julung- julung kali, pertandingan tersebut boleh disertai seluruh rakyat Malaysia dalam menzahirkan idea dan kreativiti mereka terhadap isu kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar.
Berbeza dengan penganjuran sebelumnya, penyertaan kempen Adwave kali ini tidak terhad kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sahaja tetapi turut dibuka kepada orang awam.
Pastinya juga hadiah keseluruhan wang tunai RM15,000 yang ditawarkan cukup lumayan beserta trofi dan sijil penghargaan kepada pemilik video viral yang dinobat sebagai pemenang.
Video terbaik
Setiap karya yang terpilih akan digunakan IWK dalam mempromosikan kempen pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian.
Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Profesor Madya Jamilah Ahmad berkata, matlamat kempen pengiklanan ini menepati dengan aspirasi USM yang memperjuangkan kelestarian alam sekitar.
Katanya, penganjuran dengan kerjasama penuh IWK adalah manifestasi terhadap fokus utama kedua-dua pihak dalam mewariskan alam sekitar yang lebih baik kepada generasi akan datang.
“USM menerusi Adwave komited dalam memberi kefahaman berkenaan usaha untuk meningkatkan kefahaman kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
“Jika sebelum ini fokus kempen Adwave hanya kepada para pelajar IPT, kini ia telah berkembang kepada masyarakat dengan skop yang lebih meluas,” ujarnya.

TINDAKAN tidak bertanggungjawab membuang sampah ke dalam sungai menyebabkan hayat sumber air ini kritikal.


Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen Adwave 2014 di kampus universiti itu baru-baru ini. Turut hadir ialah Pengurus Penjenamaan, Komunikasi Pemasaran dan Penerbitan IWK, Shebley Haslan Abdul Majid.
Pertandingan klip video viral bertemakan Perang Dunia Y: Generasi Y Meneruskan Usaha Generasi X dalam Memperjuangkan Kelestarian Alam Sekitar itu telahpun bermula Mac lalu.
Setiap peserta perlu menghasilkan video kreatif berdurasi antara tiga hingga lima minit berunsurkan elemen kelestarian dan peranan kritikal IWK dalam memelihara alam sekitar.
Selain pertandingan video viral, beberapa program sampingan lain akan turut diadakan termasuk jelajah kelestarian di beberapa lokasi tertentu dalam negara termasuk sekolah dan institusi pendidikan, seminar serta pameran.
Kolaborasi
Dalam pada itu, Shebley Haslan memberitahu, penglibatan IWK dalam kempen Adwave menjurus kepada usaha bersama dalam mendekati komuniti di seluruh Malaysia.
Katanya, IWK yang akan menyambut ulangtahun ke-20 turut melihat peluang untuk kembali menyumbang kepada masyarakat, dalam masa yang sama memberi kesedaran menjaga khazanah semulajadi untuk generasi akan datang.
“Reputasi Adwave sebagai platform yang terbaik untuk mengangkat idea-idea kreatif ke tahap yang tinggi memang diakui.
“Justeru, kita memberi peluang untuk masyarakat berkarya dan menzahirkan apa yang ada di kotak fikiran mereka berkaitan isu pemeliharaan alam sekitar dan dalam masa inginkan masyarakat bekerjasama dengan IWK,” ujarnya.
Maklumat lanjut mengenai pertandingan tersebut boleh diperoleh dengan melayari laman sosial www.facebook.com/adwave2014 atau hubungi Joanne Lim di talian 014-3230188 dan Teo Xsu Ting (016-4001525).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: