Tuesday, April 8, 2014

Festival musim menuai, bunga




SAMBUTAN Festival Holi sangat sinonim dengan filem Bollywood. Satu-satu adegan yang terbayang di dalam fikiran ialah filem Hindustan atau Tamil seperti Waqt, Action Replay, Silsila, Deewana, Kati Patang dan filem Tamil seperti Nayagan yang mengetengahkan elemen festival itu dalam babak tertentu atau sebuah lagu.
Sebenarnya, ia bukanlah sekadar budaya dalam filem Bollywood tetapi sambutan yang benar-benar berlangsung dalam kemeriahan yang serupa seperti dalam sebuah filem.
Perayaan ini disambut secara besar-besaran oleh penganut Hindu di wilayah utara India pada bulan Phalguna (mengikut kalendar tempatan) atau awal bulan Mac bagi kalendar moden sempena musim menuai dan untuk mengalu-alukan musim bunga.
Holi dikaitkan dengan dua kisah Dewa Krishna yang bertindak membaling warna untuk tujuan berseronok sewaktu kecil dan sebagai menyambut kejayaan beliau menentang kejahatan.
Lazimnya, orang ramai atau masyarakat dari sesebuah kampung akan berkumpul di lokasi tertentu seperti kuil sebelum mereka melempar serbuk pewarna dan haruman kepada pengunjung.
Kehangatan festival ini turut dibawa ke Malaysia oleh pengurusan sebuah kuil di Kuala Lumpur iaitu Kuil Sree Laksmi Narayani Mandir di Jalan Kasipillai melalui Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Sambutan yang dijenamakan sebagai Holi Fest itu mula diperkenalkan dua tahun lalu dan turut dipromosikan menerusi laman sosial facebook.
Bagaimanapun, festival ini sebenarnya telah lama disambut di Malaysia dalam kalangan penganut Hindu di kuil yang bermula sejak tahun 1919 iaitu sejak rumah ibadat itu didirikan.
"Ia sama seperti mana-mana perayaan agama Hindu. Cuma elemen Holi dilihat berkonsep festival.
"Orang ramai menabur warna-warni dengan penuh kegembiraan beserta harapan agar kehidupan direstui dengan warna-warna yang positif," kata Presiden Kuil Sree Laksmi Narayani Mandir, Nirmal Kumar.

FILEM Bollywood banyak menggunakan Festival Holi dalam adegan filem mereka.


Penyertaan
Menurut Nirmal, sejak dua tahun lalu, pihak pengurusan kuil bersetuju untuk membuka penyertaan kepada orang ramai tanpa mengira kaum dan agama.
"Menariknya, Festival Holi mendapat respons bukan sahaja daripada penganut Hindu tetapi menjadi tarikan budaya kepada kaum Melayu, Cina dan pelancong asing.
"Berdasarkan sambutan, kira-kira 3,000 pengunjung hadir memeriahkan festival ini, sekali gus ia berpotensi menjadi salah satu tarikan pelancongan baharu ke negara kita," jelas Nirmal sambil menambah bahawa penyertaan dalam festival ini adalah percuma.
Bagaimanapun, orang ramai hanya dibenarkan membeli serbuk warna yang dijual pihak pengurusan kuil sahaja.
Seorang pengunjung, R.Bharathan, 27, memberitahu, dia pada mulanya beranggapan festival ini disambut secara kecil-kecilan dengan melibatkan elemen ritual seperti sembahyang.
Namun, tanggapannya meleset sebaik melangkah ke Jalan Kasipillay untuk menuju ke kuil.
"Jalan sangat sesak dengan kereta dan orang ramai sehingga kami terpaksa meletak kereta agak jauh. Saya tidak sangka ia disambut semeriah ini," kata Bharathan.
Dia yang mulanya berhajat bersembahyang untuk mengambil restu dewi kuil itu, Lakhsmi Narayani diikuti bermain Holi akhirnya berubah fikiran.
"Apabila melangkah ke kuil, orang terlalu ramai manakala serbuk warna pula sudah habis dijual. Namun, pengunjung lain tidak kisah berkongsi serbuk warna yang ada pada mereka.
"Saya dan tiga rakan lain diserbu pengunjung dan dilempar serbuk warna. Kami sempat mengambil beberapa keping gambar festival sebagai kenang-kenangan," ujarnya yang bersinglet hitam.

DI India, semua orang tanpa mengira status akan bermain Holi sebagai satu simbolik mendekatkan jurang dan saling bermesra.


Dalam pada itu, dua pelancong asing, Thomas George Maccabee, 22, dari United Kingdom dan Leifennie Asanuddin Ang, 22, dari Indonesia tidak dapat menyembunyikan rasa teruja menyambut Festival Holi.
"Semua orang menyerbu dan menabur serbuk warna pada wajah kami dan kami juga bertindak sebaliknya. Semua orang kelihatan dalam keadaan seronok dan saling bergembira,' kata Leifennie yang lahir di Melaka tetapi membesar dan menetap di Indonesia.
Pengalaman
Tambahnya, walaupun sambutan festival ini antara dua hingga tiga jam, tetapi dia begitu teruja menikmati iringan muzik tradisional India yang rancak.
Maccabee yang sedang mengikuti latihan amali di Majlis Kanser Negara turut berkongsi pengalaman menyambut festival ini di Nepal beberapa tahun lalu.
Bezanya, sambutan di Malaysia cukup meriah umpama pesta dengan gerai-gerai penjaja menjual makanan dan cenderamata. Di Nepal, festival ini hanya diraikan oleh kanak-kanak di kampung sahaja.
"Saya bersama anak-anak kampung bergerak dalam kumpulan kecil dari sebuah kampung ke satu kampung lain dan mengajak orang ramai menyertai Festival Holi," ujar lelaki yang wajahnya penuh dengan serbuk Holi.
Dia juga berharap untuk kembali ke Malaysia pada tahun hadapan untuk menyertai festival ini bersama rakan-rakan lain.
Sementara itu, seorang jurugambar video sebuah stesen televisyen tempatan, Zhafri Susardi, 22, berkata, sambutan kali ini lebih meriah manakala kehadiran pengunjungnya pula bertambah dua kali ganda.
Dia yang hadir bersama rakan sekerja, Norazmi Sharuddin, 26, memberitahu, ini adalah kali kedua mereka menyertai Festival Holi untuk tujuan rakaman.
"Ramai yang datang termasuk mereka yang bukan daripada kaum India kerana perasaan ingin tahu tentang festival ini," katanya.

KATERINA Perepelitsa dari Russia dan rakannya, Iryna Chermukuina dari Ukraine saling menyapu warna pada wajah masing-masing di Festival Holi di Kuala Lumpur.


Apabila didekati, Rohaida Zulkifli, 23, yang merupakan pelajar fotografi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pula memberitahu, dia datang merakam foto-foto untuk koleksi portfolio peribadinya.
Beliau antara ratusan jurugambar yang dilihat ligat berjalan-jalan merakam foto.
"Rakan senior yang pernah ke festival ini memberitahu, ia sangat menarik tetapi tak sangka pula jumlah pengunjung terlalu ramai hingga terpaksa bersesak.
"Festival Holi memang menjadi lokasi sesuai untuk merakam pelbagai sudut foto yang menarik," ujarnya sambil membungkus kemas kameranya dengan plastik untuk mengelakkan dicemari dengan serbuk yang berwarna-warni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: