Tuesday, April 8, 2014

Batu nisan di Lamreh bukti tamadun Islam

PENEMUAN tapak Paleolitik di Bukit Bunuh dekat Kota Tampan, Perak antara bukti kejayaan arkeologi USM.


EKSKAVASI arkeologi penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Universitas Syiah Kuala (UNSyiah) dan Universitas Sumatera Utara (USU) berjaya menemui bukti terbaharu kehadiran Islam di rantau ini.
Ia hasil penemuan batu nisan di Kampung Lamreh, Aceh Besar, Indonesia yang mendedahkan tarikh 200 tahun lebih awal berbanding Makam Malik Al-Saleh di Pasai pada kurun ke-11 Masihi.
Penemuan ini membetulkan sejarah awal Islam Nusantara berdasarkan bukti batu nisan bertulisan Arab ini yang dikatakan dimakamkan pada hari Jumaat 22 Safar 398 Hijrah.
Penyelidikan tersebut diketuai Pengarah Pusat Arkeologi Global (PPAG) USM, Prof. Datuk Dr. Mokhtar Saidin Mokhtar bersama-sama bekas pelajarnya dari USU dan UNSyiah pada tahun 2009.
Kedua-dua penyelidik tersebut adalah Ketua Pusat Penelitian Ilmu Sosial dan Budaya UNsyiah, Dr. Husaini Ibrahim dan Ketua Jurusan Sejarah USU, Dr. Suprayitno M. Hum.
Arkeologi Islam
Batu nisan ini pertama kali dipamerkan dalam Pameran Arkeologi Islam Asia Tenggara yang berlangsung di universiti itu baru-baru ini.
Mokhtar memberitahu, penemuan itu sangat penting dalam melihat sejarah awal Islam sehingga kini termasuk kemungkinan adanya hubung kait dengan tamadun di Semenanjung Tanah Melayu.
“Selama ini, pihak-pihak luar mendakwa kedudukan tamadun Islam terbelakang atau hampir sama usianya dengan tamadun-tamadun lain.
“Oleh itu, penemuan baharu ini memberi implikasi amat besar kepada penulisan sejarah Islam rantau ini,” kata beliau.
Kejayaan ini juga adalah hasil daripada persefahaman yang dimeterai antara USM dan USU dalam kajian arkeologi Islam membolehkan penyelidikan yang lebih tersusun dan mantap.
Aceh dan Medan di Indonesia dikatakan mempunyai banyak bukti tentang arkeologi Islam yang tidak pernah dikaji sebelum ini melibatkan pelbagai bidang kemahiran arkeologi.
Ia membolehkan penulisan semula beberapa aspek ‘Arkeologi Islam Nusantara’ agar lebih jelas.
USM sebenarnya telah mendahului dalam bidang penyelidikan arkeologi Islam bermula tahun 2010 dengan Indonesia dan Pakistan yang menekankan kepada aspek penyelidikan saintifik.
BATU nisan bertulisan Arab bertarikh 22 Safar 398 Hijrah ini menjadi bukti terbaharu tamadun Islam di rantau ini.


Susulan kejayaan di Acheh, USM akan menghantar penyelidiknya ke Pakistan bulan depan bagi melaksanakan kerja-kerja ekskavasi di Gandhara Kashmir Smast di Peshawar, Pakistan.
Tapak sejarah yang terletak di utara Pakistan itu amat penting selain merupakan laluan perjalanan barat dan timur.
Kerajaan Gandhara yang wujud sekitar abad pertama Masihi merupakan pusat kebudayaan Buddha yang masyhur di bawah pemerintahan Raja Kushan.
Dengan ketinggian sekitar 1,200 hingga 2,000 meter dari paras laut, tapak arkeologi tersebut kaya dengan khazanah tamadun manusia.
Tapak Gandhara menjanjikan pulangan yang cukup tinggi dalam pembangunan ilmu serta penghasilan penerbitan berkualiti untuk dimuatkan dalam jurnal terkemuka dunia.
Tapak Ghandara
“Kepercayaan Pakistan terhadap kredibiliti PPAG turut menjadi penanda aras bahawa kepakaran kita sangat diiktiraf,” ujar Mokhtar.
Namun jelasnya, pasukan mereka akan diberikan perlindungan maksimum di sana.
Katanya, pihak Barat turut mengetahui bahawa tapak di Gandhara adalah lubuk arkeologi yang menyimpan khazanah dunia.
“Bukan calang-calang negara yang dibenarkan berada di sana, inikan pula diberi kebenaran khas membuat penyelidikan penting di tapak yang menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk Barat.
“Ekskavasi ini melalui kerjasama dengan Universiti Peshawar dan antara yang diberi tumpuan adalah mengumpul bukti-bukti prasejarah dan sejarah awal lokasi tersebut.
“Gandhara turut memberi peluang PPAG melahirkan modal insan terlatih dalam bidang arkeologi di samping membuka ruang lebih besar dalam aspek kajian saintifik,” tambah beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: