Friday, February 28, 2014

Sharnaaz buat pemeriksaan otak


  • Sharnaaz AhmadSharnaaz buat pemeriksaan otak

TERNYATA, pelakon terkenal, Sharnaaz Ahmad, mempunyai cara yang tersendiri dalam menyindir sekali gus membuat lawak jenaka.

Malah, saranan daripada pelakon senior, Fauzi Nawawi, kepadanya agar mendapatkan rawatan kesihatan turut dipenuhi pelakon drama, Bukan Kerana Aku Tak Cinta ini.

Menerusi laman sosial miliknya, Sharnaaz turut memuat naik foto dirinya berserta hasil ujian imbasan pemeriksaan otak.

Selain itu, Sharnaaz juga tidak terlepas untuk menulis ayat-ayat 'pedas' yang lebih menjurus ke arah sindiran halus.

"Saya dah buat MRI (Magnetic Resonance Imaging) dan MRA (Magnetic Resonance Angiography). Scan otak pun dah.

"Di kawal rapi oleh Dr Sherrini dari Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM)... Saya lulus, otak saya sihat dan juga 'hensem' otak saya. hehe.. Anda bagaimana??? Sudah check? halussssss," katanya.

Sebelum ini, Sharnaaz turut memberikan tempoh untuk pasangan pelakon berkenaan memohon maaf kepada ibunya, namun permintaan itu tidak diendahkan apabila Fauzi dan Lisdawati tidak berganjak daripada pendirian mereka.

Dalam pada itu, Sharnaaz juga turut memberitahu bahawa dia akan bertindak menyaman pasangan berkenaan dengan kadar maksimum.

Ana Dahlia: Tempah baju kahwin?


  • Ana DahliaAna Dahlia

SEJAK berpisah dengan chef selebriti, Chef Riz pada November 2012, nama pelakon, Ana Dahlia kurang dikaitkan dengan kontroversi. Walaupun bekas suaminya yang juga anak kepada chef terkenal, Chef Wan, lebih galak mempamerkan kekasih namun Ana lebih selesa berdiam diri.

Pun begitu, baru-baru ini gambar yang dikongsi pereka fesyen, Ezuwan Ismail menerusi laman sosial miliknya mengundang pelbagai spekulasi mengenai pelakon filem, Mantra, ini.
Menerusi gambar itu, Ana dilihat mengunjungi butik pereka fesyen terkenal itu dengan ditemani seorang jejaka muda.

Malah, ramai yang menjangkakan, kedatangan Ana ke butik berkenaan adalah untuk menempah baju perkahwinan mereka.

Enggan membiarkan gosip itu terus bertebaran, Ana menafikan perkara itu, namun mengakui dia dan jejaka berusia 23 tahun itu ada mengunjungi butik berkenaan.

"Ya, saya ada ke butik berkenaan, namun bukan untuk menempah baju perkahwinan atau berbincang apa-apa perkara mengenai pernikahan dan sebagainya.

"Memang tujuan saya ke sana adalah untuk menempah baju namun, ia adalah baju untuk dipakai pada Anugerah Bintang Popular (ABP 2013), yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

"Ramai yang bertanyakan saya mengenai perkara ini dan ianya tidak benar sama sekali," kata pelakon drama, Syurga Di Wajahmu ini.

Tak tolak jodoh

Walaupun sudah dua kali menemui episod duka dalam hubungan rumah tangga, namun ia bukanlah halangan besar untuk Ana mencari pengganti.

Enggan bercerita lanjut mengenai jejaka berkenaan, Ana lebih selesa menyerahkan soal jodoh kepada Yang Maha Kuasa.

"Siapa yang tak mahu kahwin dan tak nak hidup bahagia dengan berkeluarga. Namun, saya tidak mahu berbicara lebih lanjut mengenai soal ini.

"Kalau ada jodoh, adalah. Semuanya saya serahkan kepada ketentuan Allah SWT," katanya yang tercalon dalam ABP 2013 menerusi kategori Pelakon TV Wanita Popular.

Selain Ana, empat pelakon lain yang turut tercalon adalah Fasha Sandha, Neelofa, Raja Ilya dan Siti Saleha.

Tambah Ana, dia sendiri tidak menjangkakan pencalonan di majlis anugerah berprestij itu memandangkan nama-nama yang ada dalam kategori itu bukanlah calang-calang pelakon.

"Saya sendiri terkejut bila mendapat panggilan daripada pihak penganjur kerana saya rasa, tidak banyak drama lakonan saya di kaca televisyen.

"Namun, saya bersyukur kerana ini adalah kali pertama saya dicalonkan sepanjang penglibatan dalam industri lakonan," katanya lagi.

Lukisan Wajah Siti Nurhaliza Dijual Sehingga RM75,000


Khairo (dua dari kiri) bersama Siti Nurhaliza serta para pelukis di di Galeri Artelier KL. 
PETALING JAYA: Seramai 17 pelukis tempatan dan luar negara membabitkan diri dalam pameran karya lukisan khas Datuk Siti Nurhaliza sebagai ikon pop negara di Galeri Artelier KL, Publika di sini.
Lukisan tersebut akan dipamerkan selama sebulan bermula 26 Februari 2014.
Menurut rakan niaga Galeri Artelier KL, Ahmad Khairo Othman, Antara nama-nama pelukis yang terbabit melakar gambar Siti Nurhaliza termasuklah Adrian Torres (Sepanyol), Azizi Latif, Faiz Yunus, E.M. Nightwatcher (Iran), Haffendi Anuar, Zizan Rosman dan Nazmi Ismail.
"Projek ini telah bermula sebulan lalu di mana kesemua pelukis telah menemu bual Siti sebelum memulakan projek lukisan mereka.
Siti bersama karya Adrian Torres bernilai RM75,000.
"Kemudian, setiap daripada mereka akan menghasilkan karya mengikut kreativiti masing-masing. Pihak kami turut berbesar hati kerana bukan calang-calang orang yang terbabit dengan projek ini," katanya kepada mStar Online.
Tambah Khairo, lukisan termahal yang dipamerkan iaitu bernilai RM75,000 merupakan karya pelukis dari Sepanyol, Adrian Torres dan ia begitu eksklusif kerana membabitkan hasil lukisan menggunakan jari tanpa peralatan lukisan.
Lukisan berbentuk arca dengan memaparkan separuh wajah Siti karya Scott Abbas turut menarik perhatian ramai dengan nilai harga sebanyak RM6,500.
Antara lukisan-lukisan yang menjadi perhatian termasuklah karya Badruddin Shah Abdul Wahab bernilai RM6,000, Firdaus Mahadi (RM5,000) dan Khairul Arshad (RM5,500).
Para penggemar seni lukisan boleh melihat karya-karya lukisan di di Galeri Artelier KL yang akan dibuka selama sebulan bermula 26 Februari 2014.
"Ini merupakan satu permulaan daripada pihak Artelier yang memaparkan karya-karya agung berdasarkan ikon negara kita.
"Pihak kami juga mahu selebriti tempatan kita diangkat seperti selebriti Hollywood menerusi karya lukisan. Sehingga kini, Siti merupakan selebriti tempatan pertama selepas Tan Sri P.Ramlee dan Datuk Sudirman Hj Arshad yang menjadi ikon inspirasi pelukis-pelukis tempatan," ujarnya.
Sementara itu, 30 peratus daripada kesemua lukisan yang dijual akan disalurkan ke Yayasan Nurjiwa yang dimiliki oleh Siti dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Awal Ashaari Tekejut Tuduhan Tinggalkan Melodi


Awal Ashaari selesa mengendalikan 'Melodi' bersama gandingannya, Zizan Razak.
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Awal Ashaari menafikan gosip kononnya dia tidak lagi menjadi pengacara program hiburan popular Melodi seperti yang didakwa oleh beberapa pihak.
Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 32, berkata, dia terkejut dengan khabar angin itu dan berasa pelik apabila mendapat tahu perkara itu daripada pihak lain dan bukannya daripada produksi program terbabit.
"Jika betullah khidmat saya tidak lagi diperlukan dalam Melodi sudah tentu pihak produksi memberitahu saya awal-awal.
"Saya juga mendapat tahu kononnya ada beberapa pelakon yang sudah menjalani uji bakat sebagai pengacara Melodi tetapi apabila ditanya kepada pihak produksi mereka menafikan tentang hal itu," katanya.
Batu-baru ini Awal dikatakan bakal meninggalkan Melodi selepas pihak produksi mendapat pengganti baharu di mana hos tersebut merupakan seorang pelakon wanita yang dikenali.
Penukaran hos itu dilakukan kononnya Awal gagal mengacara program tersebut selain mempunyai masalah disiplin kerja.
Bagaimanapun tambah Awal, dia menyifatkan berita tersebut sekadar khabar angin kosong yang hanya dibuat oleh individu yang tidak bertanggungjawab serta tidak berpuas hati dengan dirinya.
Malah sebagai bukti masih kekal bersama Melodi, Awal berkata, dia kini telah menyambung kontraknya sebagai hos program itu selama setahun.
"Alhamdulillah, rezeki di Melodi masih di pihak saya. Malah saya telah disambungkan kontrak selama setahun lagi.
"Saya tahu, menjadi pengacara Melodi bukannya mudah kerana tanggungjawab dan risikonya sangat tinggi.
"Apalagi apabila membabitkan berita-berita sensasi, ada rakan-rakan artis yang tidak mahu berkawan dengan saya lagi gara-gara kisahnya keluar dalam Melodi. Sedangkan saya sekadar menjalankan tugas sebagai sahaja," ujarnya.
Selain Awal, Melodi juga dikendalikan oleh pelawak Zizan Razak.

Pencapaian Hafiz Suip luar biasa


  • Hafiz Suip

MENELITI perjalanan karier nyanyiannya, bakat yang dimiliki bintang kelahiran program Akademi Fantasia Musim ke-7, Hafiz Suip bukanlah calang-calang. Ini terbukti pada usianya yang mencecah 24 tahun semalam, pelbagai kejayaan dalam industri seni tanah air telah dicapai.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan kejayaan yang saya kecapi hari ini.

“Kejayaan ini juga tidak akan tercapai tanpa bantuan dan sokongan daripada ibu bapa dan juga peminat,” katanya ketika ditemui pada majlis Doa Kesyukuran Sempena Kejayaannya Sepanjang 2013, bertempat di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, kelmarin.

Mengulas lanjut mengenai kejayaannya itu, perjuangan pelantun ‘Bahagiamu Deritaku’ ini tidak hanya terhenti di situ apabila dia turut menanam azam melebarkan sayap kariernya sehingga ke luar negara.

“Kalau boleh, tahun ini saya berazam untuk lebarkan lagi sayap karier saya dengan membawa nama industri tanah air ke luar negara seperti mana yang dilakukan beberapa artis lain seperti Yuna, Shila Amzah dan juga Datuk Siti Nurhaliza.

“Buat masa sekarang, saya berada pada peringkat permulaan dan masih merangkak untuk cuba tembusi pasaran Indonesia.

“Walaupun agak sukar, namun dengan bantuan dan peluang yang diberi pihak Warner Music di Indonesia, single saya bersama Datuk Rossa diterima baik di sana dan itu adalah langkah pertama saya,” jelasnya yang bakal tampil dengan single terbarunya berjudul ‘Kesimpulan’.

Sempena ulang tahunnya yang ke 24, semalam, Hafiz akan meraikannya bersama kira-kira 50 orang peminat dengan melakukan aktiviti santai di Bukit Cerakah, Shah Alam pada Ahad ini.

Bakal jadi komposer

Bersyukur dengan kejayaan 25 anugerah yang diperoleh, Hafiz akui itu bukanlah perkara utama yang dikejarkan.

“Sebenarnya tujuan saya berada dalam industri ini adalah untuk mengangkat karya-karya hebat ke peringkat yang baik. Bagi saya penerimaan anugerah itu adalah satu bonus bagi kerjaya saya sebagai seorang penyanyi,” katanya.

Hafiz memberitahu selain menyanyi, dia juga kini cuba berjinak-jinak dalam menghasilkan lagu ciptaannya sendiri.

“Setakat ini saya baharu hasilkan lirik dua buah lagu dalam album pertama iaitu ‘Deklamasiku’ dan ‘Mungkinkah’.

“Secara jujur saya agak takut untuk kerana ramai komposer yang lebih hebat. Banyak lagi yang perlu saya belajar dan perbaiki,” katanya yang turut berhasrat untuk mengadakan konsert solo berskala besar jika diberi peluang.

Rahsia identiti teman wanita

Tidak pernah menyorokkan status hubungan cinta, Hafiz akui kini dia sedang mengenali seorang gadis yang dikenalinya sejak lebih kurang lima tahun lalu.

Walaupun lebih terbuka mengenainya, Hafiz bagaimanapun enggan mendedahkan identiti teman wanitanya kerana mahu menghormati privasi kekasihnya itu.

“Saya akui sudah berteman tapi saya tidak mahu menguar-uarkan identitinya kerana menghormati dia dan keluarganya. Dia adalah orang paling P&C dalam hidup saya sekarang.

“Tambahan pula dia seorang pelajar, jadi saya tidak mahu mengganggu privasinya,” jelasnya.

Biarpun akui sedang menjalani hubungan yang serius, Hafiz masih belum bersedia menamatkan zaman bujangnya.

“Kami masih lagi berkenalan dan untuk ke peringkat yang lebih serius (berkahwin) saya belum bersedia kerana saya masih ada banyak komitmen yang perlu diselesaikan.

“Insya-ALLAH, kalau semuanya sudah lengkap saya akan tamatkan zaman bujang. Sasaran saya sebelum mencecah usia 30 tahun,” katanya yang mengharapkan hubungan itu sentiasa direstui oleh ibu bapanya.

Persahabatan Formula Ungu Bertahan Selama 17 Tahun


Ungu bergambar kenangan bersama Adibah Noor dan Halim Othman ketika ke udara dalam segmen Ceria Pagi Suria FM pada pagi Jumaat. 
PETALING JAYA: Kumpulan terkenal Indonesia, Ungu mengakui persahabatan yang terjalin di antara anggotanya adalah formula mereka kekal selama 17 tahun sebagai sebuah band.
Vokalis utamanya, Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 34, berkata, dia percaya jika tiada persefahaman di antara mereka, kumpulan itu pasti tidak dapat bertahan lama dan terkubur.
"Tiada satu formula tertentu mengapa kami masih terus bertahan dan dapat diterima peminat melainkan persahabatan di antara kami selain kita perlu jujur dan mempunyai matlamat sama dalam bidang muzik.
"Selama 17 tahun kami bersama pelbagai cabaran dan rintangan telah kami lalui dan ia lebih menguatkan diri kami untuk terus memperjuangkan muzik buat peminat," katanya kepadamStar Online.
Ungu ditemui selepas ke udara dalam segmen Ceria Pagi Suria FM bersama Halim Othman dan Adibah Noor di Tropicana City Office Tower di sini, Jumaat.
Ceria...Peminat bertuah dipertemukan dengan kumpulan ungu dalam satu sesi beramah mesra yang diadakan di stesen radio itu.
Kumpulan yang turut dianggotai oleh Makki (Bass), Enda (Gitar), Onci (Gitar) dan Rowman (Drum) itu turut meluangkan masa pada acara bertemu 10 peminat bertuah yang turut diadakan di studio stesen radio itu.
Dalam pada itu, Pasha mengakui, bukan mudah untuk kekal sebagai sebuah kumpulan malah mereka pernah terfikir untuk berpecah sekitar tahun 2003.
"Ketika itu kami menghadapi pelbagai kesulitan dan cabaran kerana sering bertukar pihak pengurusan sehingga membuatkan kami hampir berputus asa.
"Tetapi Alhamdulillah kejayaan album 'Demi Waktu' di Indonesia dan Malaysia ketika itu mengubah segala-galanya dan kami masih kekal sebagai sebuah kumpulan walaupun pelbagai rintangan terpaksa dilalui," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai Konsert Ungu Live In Malaysia malam Jumaat (malam ini), Pasha berkata, mereka akan menyampaikan 17 buah lagu hit mereka dan berjanji bakal memberikan persembahan mantap buat para peminat setia mereka.
Ungu bakal mengadakan konsert khas buat peminat di Wholesale City, Star Stage, Kuala Lumpur pada pukul 8 malam ini.
"Sempena 17 tahun kami bertahan sebagai sebuah kumpulan kami akan menyampaikan 17 buah lagu untuk para peminat selain beberapa kejutan.
"Malah kami akan menyampaikan lagu daripada album terbaharu yang masih dalam pembikinan secara eksklusif untuk peminat di Malaysia sebagai menghargai mereka," ujarnya.
Suria FM adalah stesen radio rasmi konsert berkenaan yang bakal berlangsung di Wholesale City, Star Stage, Kuala Lumpur pada pukul 8 malam.
Dalam perkembangan lain, Pasha berkata, album terbaharu mereka bakal dilancarkan pada bulan Jun ini akan memperlihatkan kematangan dan perubahan Ungu daripada segi muzik yang lebih segar.
Jelas Pasha, proses menyiapkan album berkenaan dilakukan sejak dua tahun lalu dan bakal menampilkan 12 buah lagu.
"Kami berkolaborasi dengan pelbagai komposer dan penulis bagi memastikan hasilnya nanti berbeza berbanding album kami sebelum ini namun ia masih mengekalkan identiti Ungu," ujarnya.

Curi Barang Kemas Nenek Kisah Diingati Raja Azmi Di Mekah


Raja Azmi berasa lebih tenang selepas kembali mengerjakan Umrah.
KUALA LUMPUR: Penerbit filem kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman memberitahu secara tiba-tiba dia teringat kisah ketika berusia 19 tahun semasa mengerjakan umrah bagaimana dia mencuri dan menjual barang kemas neneknya.
Raja Azmi, 55, berkata, sebelum berangkat ke kota suci itu, dia sudah menyenaraikan perkara-perkara buruk yang diingatinya untuk meminta ampun di depan Kaabah tetapi tidak pernah mengingati peristiwa berkenaan kerana ia telah lama berlaku.
"Saya langsung tidak ingat peristiwa itu sehinggalah saya berdoa meminta ampun di hadapan Kaabah saya tiba-tiba teringat peristiwa mencuri barang kemas nenek. Saya bertaubat dan memohon ampun kepada Allah.
"Satu keajaiban kerana saya langsung tidak mengingati kejadian itu dan ia satu kebesaran Allah bagaimana kita boleh mengingati peristiwa besar yang kita tidak sangka," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Raja Azmi berkata, pemergiannya ke tanah suci selama 12 hari sejak 11 Februari lalu tidak ditemani suami sebaliknya dia ditemani rakan baiknya.
Jelas Raja Azmi, dia tidak dapat menggambarkan perasaan apabila menjejakkan kaki di Mekah kerana ia terlalu istimewa untuk digambarkan dengan kata-kata.
"Tiada kata yang sesuai untuk menggambarkan perasaan berada di Mekah kerana ia mengatasi semua kata-kata yang ada dan saya yakin perasaan setiap orang yang pernah ke sana pasti berbeza-beza," katanya.
Tambah Raja Azmi, hatinya sentiasa berasa tenang dan solat yang dilakukan begitu khusyuk sehingga terlupa perkara-perkara lain di sekeliling.
"Pelbagai kebesaran yang dapat saya alami di sana yang antaranya ketika bersembahyang di Masjidil Haram, keadaan sangat sesak sehingga tidak mempunyai ruang untuk bersolat.
"Tetapi apabila azan berkumandang keadaan seperti dipermudahkan dan keadaan sempit itu tadi bertukar menjadi seperti luas dan dapat solat dengan selesa," katanya.
Raja Azmi berkata, selain mendoakan pelbagai perkara baik untuk diri sendiri keluarga dan rakan-rakannya, dia juga memberitahu turut mendoakan kebahagiaan bekas suaminya iaitu Jalani Mohamad Sidek dan isteri.
Sementara itu, Raja Azmi berkata, dia tidak berhasrat untuk mengerjakan umrah buat kali kedua sebaliknya ingin mengerjakan ibadah haji bersama suaminya, Mohd Eddie Ghazali, 45, pada tahun hadapan.
"Memandangkan umrah yang saya lakukan suami tidak ikut, jadi harap-harap ibadah haji nanti kami dapat pergi bersama-sama. Insya-Allah saya merancang untuk pergi pada tahun hadapan," ujarnya.

Pengembaraan Zahariz Khuzaimah tawan Mongolia


  • Pengembaraan Zahariz Khuzaimah tawan Mongolia

HIDUPKU Seorang Nomad, merupakan kesinambungan bagi musim terdahulu menceritakan pengembaraan Zahariz Khuzaimah secara solo merentasi benua asing yang sangat berbeza iklim dan keadaan kehidupannya daripada suasana persekitaran Malaysia.

Melalui musim kedua ini, Zhariz berhasrat untuk tinggal bersama-sama orang nomad di Mongolia dan belajar cara kehidupan sebenar mereka lantas menamakan pengembaraan ini sebagai ‘Hidupku Seorang Nomad’.

Pengembaraannya akan bermula di Mongolia merentasi tanah pasir di Gurun Gobi sehingga ke kawasan salji di Pergunungan Altai yang pastinya penuh dengan pelbagai cabaran.

Dengan hanya menggunakan sebuah basikal bermuatan seberat 60 kilogram sejauh hampir 29,000 kilometer, Zahariz nekad untuk menyelami kehidupan masyarakat nomad di sana.

Mengetepikan kesukaran yang bakal dihadapi, Zahariz juga nekad mengembara dan merempuh halangan demi membawa penonton-penonton TV AlHijrah merasai sendiri pahit manisnya menyempurnakan misi yang dirakam khas olehnya sendiri.

Pengembaraannya di jangka mengambil masa kira-kira enam bulan merentasi China, melalui Tembok Besar China dari timur ke barat sehingga ke kubu terakhir barat di Jiayouguan.
Di antara cabaran yang menjadi kemuncak perjalanan adalah di Mongolia dan Utara China yang lebih daripada 7500 kilometer, perjalanan merentasi dua padang pasir yang terkenal di dunia; The Gobi Desert (Mongolia) dan Gurun Taklamakan (Xinjiang, China), serta perjalanan merentasi kawasan-kawasan yang kaya adat dan budaya di Mongol, Cina Han, Hui, Uighur, Kazakh, Kyrgyz dan Tajik.

Turut melintasi Gurun Taklamakan di sepanjang jalan menuju ke Kashgar, bagi Zahariz penat lelah yang bakal dihadapinya itu sangat berbaloi jika di bandingkan dengan keindahan serta pengalaman yang bakal diraih.

Jadi gelandangan

Dokumentari ini turut menyaksikan pengalaman hidup Zahariz bergelandangan di jalan raya, berinteraksi dengan penduduk tempatan, mempelajari secara personal rutin dan kehidupan mereka. Juga pelbagai rakaman landskap menarik yang dirakam khas untuk penonton merasai bersama keindahan alam ciptaan ALLAH SWT.

Walaupun bakal diduga dengan kesukaran dari segi rupa bumi yang mencabar, angin dan faktor cuaca yang berbeza, ia tetap tidak mematahkan impiannya untuk memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia supaya lebih menghargai kemudahan tanah air sendiri.

Laluan yang dilaluinya juga mungkin berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada banyak faktor seperti sekatan Visa, ketidakstabilan politik dan masalah-masalah lain. Bagaimanapun pengembaraan ini pasti nya menjanjikan kejutan dan membawa keterujaan bagi peminat ekspedisi pengembaraan.

Dengan Basikal Aku Menjelajah merupakan sebuah kembara berani yang mencabar fizikal dan mental namun diselitkan gambaran panorama unik dan pelbagai informasi berguna buat tatapan penonton. Episod pertama dokumentari ini dijadualkan bakal ditayangkan pada minggu terakhir Ramadhan di bulan 27 Julai 2014.

Perbankan cara Islam


  • Faizal Ismail

MENYEDARI sering berlakunya salah faham terhadap perbankan Islam, TV Al Hijrah meneruskan kerjasamanya dengan Affin Islamic Bank Berhad untuk terus menerbitkan rancangan bual bicara, Fulus.

Berbeza format dan pendekatan, Fulus memfokuskan mengenai kandungan ilmu asas dan tip-tip kewangan kepada golongan muda terutama belia yang baru memasuki alam kerjaya.

Sudah memasuki musim kedua sejak bersiaran pada 21 Februari lalu, Fulus membicarakan 13 topik berbeza iaitu, Hindari Riba, Indahnya Perbankan Islam, Pembangunan Perbankan Islam, Pendidikan Muamalat, Hutang Oh Hutang!, Aku Nak Kaya (Skim Cepat Kaya & MLM), Pelaburan Emas, Forex, Pinjaman Perumahan, Zakat, Pelaburan Hari Akhirat (Wakaf & Jariah), Wasiat dan Impian Haji.

Fulus musim kedua diacarakan oleh bekas penyampai radio Hot FM, Faizal Ismail.

Rancangan ini juga menampilkan panel jemputan berbeza pada setiap minggu dan diceriakan dengan tetamu undangan yang terdiri daripada barisan selebriti seperti Johan As’ari, Salma Mentor, Sahri AF, Zalif Sidek, Adib Anas, Heliza Helmi, Shawal AF, Imam Muda Asyraf, Khai AF, Bob AF, Nora, Amanda Misbun, Amirizdwa, Taj dan Yatt Hamzah.

Kata Penerbit Eksekutif Fulus, Noor Harlida Abu Bakar, barisan selebriti yang dipilih akan berkongsi pengalaman dan tragedi yang mereka tempuhi dalam dunia kewangan.

"Contohnya, Khai AF yang pernah terbabit dalam urus niaga Forex sehingga dia tertipu beribu-ribu ringgit.

"Mereka (artis) akan berkongsi pengalaman mereka mengikut topik yang disediakan.

"Kita bukanlah nak mengaibkan mereka sebaliknya ia seharusnya dijadikan panduan dan pengajaran yang berguna buat masyarakat," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Restoran Songket, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tepati kriteria

Ketika ditanya mengenai pemilihan pengacara, Noor Harlida berkata, Faizal menjadi pilihan kerana percaya dengan kriteria dirinya yang agak 'gila-gila' dan 'havoc' seterusnya dapat memberi pendekatan terbaik buat semua golongan yang menonton terutamanya belia.

Katanya, musim pertama Fulus diacarakan oleh Afdlin Shauki.

"Sebenarnya, kami mahukan Faizal sejak musim pertama lagi, tetapi kerana kesibukannya kami menawarkannya kepada Afdlin.

"Untuk musim kedua ini, Fulus terus membincangkan mengenai pengurusan kewangan Islam dan pemilihan Faizal dibuat kerana kami mahu Fulus diacarakan dalam suasana yang lebih relaks dan santai," katanya.

Jelasnya lagi, pemilihan Faizal juga dikatakan menepati kehendak stesen TV dan penonton yang mahukan lebih 'kemeriahan' tetapi masih lagi berfokus pada jalan ceritanya.
"Kami mahu memberi pembaharuan kepada program bual bicara terbitan TV AlHijrah.

"Pemilihan Faizal menepati kehendak kami untuk mendekati golongan muda dan setanding dengan pengalaman yang ada padanya, dia berjaya mendekati panel Fulus yang terdiri daripada golongan korporat dan profesional agar mereka juga tampil relaks serta bersahaja," katanya.

Berbanding musim pertama, Fulus musim kedua menawarkan pemenang dengan hadiah yang lebih menarik iaitu tiga hadiah utama Pakej Umrah Dan Ziarah Ke Istanbul, Turki Bersama Faizal Ismail.

Penonton cuma perlu menjawab soalan kuiz mingguan dan terkumpul dengan melayari www.tvalhijrah.com/fulus/.

Dakwah cara Faizal

Mengakui agak tergamam dengan pemilihan dirinya sebagai pengacara Fulus ditambah lagi dengan latar diri dan pengalamannya banyak memihak pada dunia hiburan, Faizal bagaimanapun bersedia untuk menggalas amanah yang diberi apatah lagi apabila terdapat sedikit 'kelonggaran' diberikan oleh stesen TV.

"Saya sendiri tertanya-tanya apakah kriteria yang ada pada saya sehingga mereka berasakan yang saya layak untuk mengacarakan Fulus.

"Begitu pun, selepas mereka memberi penjelasan, saya perlu sahut cabaran ini kerana jika saya menolaknya, kerjaya saya akan terus berada di takuk lama.

"Meskipun pihak stesen tidak memberi panduan khusus kepada saya, tetapi saya sedia maklum arah perjuangan mereka lantas saya perlu meletakkan diri saya dalam posisi dan karakter selaras kehendak mereka.

"Namun begitu, mereka masih memberi kebebasan kepada saya untuk mengendalikan Fulus dalam bentuk santai kerana fokus utama program ini adalah untuk tontonan golongan muda,” katanya.

Tambahnya lagi, mengacarakan program ini merupakan satu anjakan paradigma buat dirinya selain memberi amaran kepada masyarakat di luar sana agar jangan melabelnya ustaz atau alim ulama hanya kerana program itu diterbitkan stesen TV Al Hijrah.

"Tercapailah hasrat saya untuk mencuba bidang baharu selepas mengambil keputusan berundur daripada Hot FM pada Oktober tahun lalu.

"Saya tidak jangka boleh mengacarakan program sebegini dan pada masa sama saya tidak boleh lepaskan sekali gus ia membuktikan yang saya berkemampuan mengacarakan program lain di samping hiburan.

"Biarpun saya bukanlah berstatus ustaz atau alim ulama, inilah sedikit amal jariah saya kepada masyarakat," katanya.

Bertuah mengendalikan rancangan berkenaan, Faizal mengakui terlalu banyak mengenai sistem kewangan yang betul menurut garis panduan yang ditetapkan dalam Islam dapat dipelajari.

"Mengacarakan Fulus adalah peluang terbaik kepada saya untuk mendalami ilmu pengetahuan baharu yang ada ketikanya kita ambil mudah.

"Lagipun, inilah dakwah saya kepada masyarakat di luar sana," katanya.

Gunung Marapi meletus tiga kali


  • Gunung Marapi meletus tiga kaliGunung Marapi menyaksikan pergerakan aktif semalam.

INDONESIA. Gunung Marapi di Bukit Tinggi, Sumatera Barat dilaporkan meletus tiga kali awal pagi semalam.

Jurucakap Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Bukit Tinggi, Warseno berkata, selain letusan, seismograf juga mencatatkan gunung tersebut mengalami lima kali gempa tremor, satu gempa vulkanik, sekali pembebasan asap dan sekali gempa tektonik.

“Letusan itu mengeluarkan abu dan pasir hingga menyelubungi beberapa daerah seperti Sapuluh Koto, Batipuh Selatan dan Tanahdatar,“ katanya.

Menurutnya, sejak 1 Februari lalu, gunung itu menyaksikan 74 pergerakan aktif dengan sekali gegaran, sembilan kali gempa vulkanik dan 48 kali gempa tektonik.

“Marapi kini masih dalam status waspada atau berada pada tahap dua serta berbahaya kerana mengeluarkan gas yang boleh menjejaskan kesihatan. Abu dan pasir dari gunung itu berpotensi dibebaskan hingga jarak 3 kilometer dari puncaknya,” katanya dalam laporan Antara News.

Ikatan kayu balak terputus


  • Ikatan kayu balak terputusKayu balak bertaburan selepas lori balak yang dalam perjalanan ke Pokok Sena melanggar pembahagi jalan di Jalan Kuala Nerang- Pedu semalam.

KUALA NERANG - “Saya hanya mampu memegang sterengkuat-kuat dan bertawakal kerana tidak mampu lagi mengawal selepas lori balak yang saya bawa itu terbalik,” kata Mohd Effendi Md Khir, 32.

Dalam kejadian 10 pagi itu, Mohd Effendi yang dikatakan dalam perjalanan membawa kayu balak dari Pedu ke kilang di Pokok Sena tidak menyangka kayu yang bergerak di belakang lori menyebabkan dia gagal mengawal kenderaannya hingga melanggar pembahagi jalan dan terus terbalik.

Menurutnya, dalam perjalanan ke Pokok Sena dia sudah cuba mengikat kayu balak dengan sempurna.

"Apabila sampai di selekoh Jalan Kuala Nerang ke Pokok Sena tiba-tiba muatan kayu seberat 10 tan itu mula bergoncang dan tiba-tiba tali besi yang diikat kayu itu juga turut terputus hingga menyebabkan lori itu menjadi berat sebelah lalu melanggar pembahagi jalan dan terbalik.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya berserah kepada ALLAH dan nasib baiklah saya juga tidak tercampak di luar dan dilanggar oleh kenderaan lain pula,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya lagi, dia bersyukur kerana semasa kejadian tiada kenderaan yang melalui jalan itu. Manakala muatan kayu yang dibawanya itu pula bertaburan dan masuk ke ladang kelapa sawit berdekatan.

“Kejadian ini mungkin berlaku kerana sepanjang jalan di sini, keadaannya tidak rata dan berolak menyebabkan ikatan pada balak itu akan bergerak hingga tali besi yang diikat pada kayu itu juga turut putus.

“Saya juga turut bersyukur kerana tidak mendapat sebarang kecederaan, malah terima kasih kepada pengguna jalan raya yang sanggup membantu mengawal lalu lintas semasa kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Bangkai ikan lumba-lumba terdampar


  • Bangkai ikan lumba-lumba terdamparMuzaimi menunjukkan bangkai ikan yang ditemui dekat persisiran Pantai Merdeka kelmarin.

KOTA KUALA MUDA - Bangkai seekor ikan lumba-lumba ditemui terdampar dekat persisiran Pantai Merdeka oleh orang ramai lebih kurang jam 3 petang kelmarin.

Penyelamat Pantai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pantai Merdeka, Muzaimi Ismail berkata, kejadian disedari orang ramai dan peniaga pantai yang berada di lokasi.

Menurutnya, sebaik dimaklumkan, dia bersama anggota yang sedang bertugas di Menara Penyelamat Pantai JPAM Pantai Merdeka turun melihat objek yang ditemui.

“Apabila didekati, bangkai seekor ikan lumba-lumba seberat anggaran 70 kilogram terdampar di tepi pantai,” katanya.

Muzaimi yang sudah bertugas di situ sejak tujuh tahun lalu berkata, ikan itu dipercayai mengalami kecederaan kemungkinan terkena enjin bot sebelum terdampar.

"Ketika itu, paras air surut dan ikan itu dipercayai mati lebih awal dibawa ombak sebelum dihanyutkan ke tepi pantai,” katanya.

Menurutnya, panjang ikan itu dipercayai lebih kurang satu setengah meter dan berat kira-kira 70 kilogram.

“Pada mulanya agak terkejut, namun kejadian sama pernah berlaku tahun lalu apabila orang ramai yang mengunjungi pantai gempar dengan penemuan bangkai ikan paus pada Mac 2013,” katanya.

Katanya, berdasarkan pemerhatian, terdapat kesan torehan di bahagian belakang ikan tersebut kemungkinan antara faktor kematian yang mungkin berlaku akibat terkena enjin bot nelayan.

Bagaimanapun, bangkai yang ditambat kelmarin selepas ditemui, hilang apabila tinjauan dibuat pagi semalam berkemungkinan sudah dihanyutkan ombak ketika air pasang.

Sebelum ini, beberapa penemua berlaku di Pantai Merdeka melibatkan beberapa jenis spesies hidupan laut yang jarang ditemui di perairan negara.

Pada 18 September 2006, penduduk Kampung Kepala Jalan, tujuh kilometer dari Pantai Merdeka pernah menemui seekor penyu besar di pantai berkenaan.

Selepas itu, bangkai ikan paus dari spesies Bryde’s Whale beranggaran 4,000 kilogram ditemui dekat Kampung Pulau Sayak pada 10 Februari 2011.

Pada 5 Mac 2013 lalu, seekor ikan paus seberat satu tan dan sepanjang lima meter dipercayai sesat apabila ditemui terapung sekitar jam 4 petang sebelum terdampar di Pantai Merdeka jam 12 tengah malam.

Perigi alternatif tangani krisis air


  • Perigi alternatif tangani krisis airMohd Isam (dua, kiri) dan Hamzah (duduk) meninjau keadaan perigi di Kampung Sungai Kepong, dekat sini, semalam.

GEMENCHEH – Dua perigi di Kampung Sungai Kepong, dekat sini, akan dibersihkan dan disediakan kemudahan pam air sebagai persediaan awal sekiranya berlaku masalah catuan air.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Jerneh, Hamzah Pondot berkata, perigi yang berusia ratusan tahun lalu tidak pernah kering dan menjadi sumber air utama buat lebih 400 penduduk semasa krisis air yang berlaku pada 2005.

Menurut Hamzah, walaupun di sesetengah  kawasan sumber air semakin kering, namun perigi berkenaan masih dipenuhi air.

"Kita sudah mengetengahkan cadangan ini kepada Adun Gemencheh, Mohd Isam Mohd Isa untuk membersihkan lokasi perigi ini sebagai persediaan sekiranya catuan air terpaksa dilakukan.

“Sebelum ini juga, perigi ini pernah digunakan sebagai sumber air ketika penduduk mengalami masalah catuan air hampir 10 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi dimaksudkan, dekat sini, semalam.

Hamzah berkata, perigi sedalam 1.5 meter yang terletak di atas tanah persendirian itu telah dinaik taraf oleh Rural Industrial Development (RIDA) sekitar 60-an.

Sementara itu, Mohd Isam berkata, sebagai persediaan awal, setiap JKKK di Dun berkenaan yang memiliki perigi perlu memelihara dan membaik pulih perigi berkenaan sekiranya langkah catuan air tidak dapat dielakkan.

Buat masa ini katanya, hanya perigi di Kampung Sungai Jerneh dan Kampung Air Rawa yang masih mempunyai air serta boleh digunakan sekiranya catuan air berlaku.

“Ini hanya sebagai persediaan sekiranya catuan air berlaku di Dun ini dan kita juga akan bekerjasama dengan jabatan berkaitan untuk memeriksa terlebih dahulu kesesuaian air ini untuk dijadikan sumber minuman.

“Terdapat 17 kampung tradisi dan dua kampung baharu di Dun Gemencheh. Oleh itu, kita akan menyalurkan peruntukan bersesuaian untuk menyediakan kemudahan pam air buat penduduk sekiranya catuan air terpaksa dilaksanakan di kawasan ini," katanya.

Penduduk diserang ulat bulu


  • Penduduk diserang ulat buluUlat bulu yang membimbangkan penduduk.

KUALA PILAH – Penduduk Taman Wawasan dekat sini, diancam serangan ribuan ulat bulu yang membanjiri kawasan perumahan mereka, sejak tiga minggu lalu.

Seorang penduduk, Lai Kok Leong, 43, berkata, kemunculan ribuan ulat bulu yang juga dikenali sebagai 'ulat perencas' itu membuatkan penduduk berasa bimbang.

Menurutnya, sejak musim kemarau, ulat bulu sering muncul pada awal pagi iaitu ketika matahari naik sehinggalah ke petang, namun ia berkurangan pada waktu malam.

"Saya percaya kehadiran ulat bulu itu berpunca daripada kawasan kebun buah-buahan dan semak berhampiran.

“Apa yang dibimbangkan kebanjiran ulat bulu ini boleh mendatangkan gatal-gatal jika terkena kulit,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, kehadiran ulat bulu secara tiba-tiba menimbulkan tanda tanya semua penduduk taman.

“Saya tidak tahu bagaimana tiba-tiba ulat bulu ini banyak di kawasan rumah dan di dalam longkang, malah dinding-dinding rumah juga dipenuhi ulat bulu.

“Pihak Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) sudah datang ke sini semalam (kelmarin) bagi melihat situasi ini dan sebatang pokok dipenuhi ulat bulu telah ditebang dan di bakar.

Bagaimanapun, keadaan tetap sama. Sehingga kini, ulat bulu masih lagi berada di merata tempat termasuk di atas jalan raya, ”katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Pilah, Sarjan Majeran Lop, 53, berkata, pihaknya diminta datang ke taman terbabit untuk membunuh ulat bulu yang dipercayai mengancam penduduk kerana kebanyakan mereka mengalami gatal-gatal di kulit.

“Saya dan lima anggota lain telah menyembur ribuan ulat bulu menggunakan racun perosak diperoleh dari Pejabat Kesihatan Kuala Pilah bermula kelmarin dan hari ini (semalam).

"Kami akan berusaha sedaya upaya mengawal ulat bulu daripada merebak ke rumah penduduk," katanya.

Kekurangan bekalan air: Penduduk tadah air bukit


  • Kekurangan bekalan air: Penduduk tadah air bukitAir bukit di Kampung Pertak turut berkurangan disebabkan cuaca panas berpanjangan

KUALA KUBU BHARU - Walaupun daerah Hulu Selangor tidak terlibat dengan catuan air yang sudah dimulakan di beberapa wilayah semalam, namun penduduk tempatan di sini tetap mengambil langkah waspada dengan melakukan penjimatan penggunaan air.

Tetapi, langkah penjimatan itu dilakukan bukan kerana kebimbangan terjejas gangguan air semata-mata sebaliknya disebabkan masalah kekurangan bekalan air yang sudah dirasai ketika ini.

Seorang penduduk daripada Taman Selesa, Loh Ming Fah, 57, berkata, masalah kekurangan air sudah mula dirasai disebabkan cuaca panas yang berpanjangan.
“Memang air sudah mula kurang sekarang ni.

“Biasa saya cuci kereta di rumah. Tapi sebab tiada air baru cuci kereta sini,” katanya ketika ditemui mencuci kereta di tepi bukit Kampung Pertak, semalam.

Menurutnya, kadang-kala dia datang ke bukit tersebut untuk mengambil air bukit sebagai bekalan air minuman.

“Tapi sekarang air bukit pun sudah kurang. Punca cuaca panaslah. Biasanya air sini banyak,” katanya.

Manakala, seorang suri rumah, Wan Zulhadilah Wan Mustafa, 29, berkata, dia turut merasakan bekalan air semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, dia juga sering mengambil air dari bukit di Kampung Pertak untuk bekalan air minum, namun jumlah air yang diperoleh tidak seperti sebelum ini disebabkan kekurangan sumber air itu.

“Kami jadikan air bukit ni untuk minum saja tanpa perlu dimasak sebab bersih dan rasanya yang segar.

“Tapi sekarang air bukit ni semakin berkurangan dan rasanya juga sedikit berbeza berbanding sebelum ini. Mungkin sebab cuaca panas,” katanya.

Seorang pelajar, Wan Muhammad Fathurrahman Wan Zahari, 17, berkata, jika bekalan air berkurangan dan catuan air dilakukan, penduduk rumah bertingkat dikatakan paling menerima kesannya.

Menurutnya, sudah tentu penduduk rumah bertingkat terpaksa berdepan kesukaran menyediakan bekalan air seperti dialami kebanyakan penduduk di kawasan yang terlibat gangguan bekalan air.

Terkilan sikap petugas lebuh raya


  • Terkilan sikap petugas lebuh rayaKereta Mohd Sabri yang tersadai di tepi lebuh raya dalam keadaan panas terik. Gambar kecil: Cucu Mohd Sabri yang berusia setahun lebih mengalami muntah-muntah dan lesu akibat kepanasan.

KUANTAN – Seorang pengguna Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), Mohd Sabri Abd Malek, 55, terkilan dengan sikap peronda lebuh raya dan polis peronda lebuh raya yang didakwanya tidak dapat menghulurkan bantuan sewajarnya ketika dia memerlukan pertolongan.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia mendakwa, anggota petugas berkenaan gagal menjalankan tugas dengan baik dan tidak mementingkan keselamatan pengguna.

Sabri berkata, pada 23 Februari lepas dia bersama keluarga dari Melaka menuju ke Kemaman atas urusan keluarga.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan berhampiran kawasan rehat dan rawat (RnR) Kuantan, kenderaan dipandunya rosak secara tiba-tiba.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang dan ketika itu cuaca panas terik, sekali gus menimbulkan keadaan yang tidak selesa.

“Malah, cucu saya yang berusia lebih setahun mengalami muntah-muntah kerana kepanasan.

Katanya, ketika itu dia menahan sebuah kereta peronda lebuh raya untuk meminta bantuan menunda kereta yang rosak ke RnR yang hanya berjarak kira-kira 1 kilometer sahaja.

“Ketika saya sedang berbincang dengan peronda LPT, sebuah kereta peronda polis lebuh raya datang dan mereka berbincang sebelum meninggalkan kami di tepi lebuh raya berkenaan.

“Walaupun telah diletak kon atau tanda amaran, keadaan itu masih berbahaya kerana kebanyakan pengguna lebuh raya memandu dalam keadaan laju,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, memandangkan petugas yang sepatutnya enggan membantu, dia terpaksa meminta bantuan orang ramai.

“Kami bernasib baik kerana ada sebuah kereta yang berhenti dan menolong tunda kereta ke kawasan rehat.

“Sepatutnya pihak pengurusan LPT dan pihak berkuasa dapat memastikan anggota mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian mendapatkan maklum balas pihak pengurusan LPT bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara ini.

Senior Eksekutif, Bahagian Komunikasi Korporat ANIH Berhad, Hafizah  Mohd Sabri berkata, segala perkhidmatan di LPT mengikut prosedur syarikat yang ditetapkan dan menjadi satu kesalahan
sekiranya ada warga kerja melanggarnya, sekali gus tindakan disiplin boleh dikenakan.

“Kami di ANIH Berhad memohon maaf dan kesal di atas kejadian yang berlaku kepada pengguna tersebut.

“Sekiranya terdapat apa sahaja aduan atau masalah, pengguna boleh menghubungi  LPT-Line di  talian 09-5479111 atau Bahagian Komunikasi Korporat di 03-61951111,” katanya.

'Spiderwoman' tak serik mencuri


  • 'Spiderwoman' tak serik mencuriWook dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam, kerana memecah masuk kediaman seorang warga emas.

KUALA TERENGGANU - Sebelum ini, dia pernah digelar ‘Spiderwoman’ selepas tindakan nekadnya memanjat tingkat tiga sebuah asrama sekolah menengah di bandar raya ini semata-mata ingin mencuri kabel besi tembaga.

Susulan perbuatan itu, dia telah dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM1,500, namun ibu beranak satu itu seolah-olah tidak pernah serik apabila memecah masuk pula rumah milik seorang warga emas di Jalan Haji Abdul Rahman Limbong Kuala Ibai, di sini, jam 11 malam, 17 Februari lalu.

Wook@ Murniyati A Rahman, 34, dari Perumahan Kos Rendah Kampung Bukit Tunggal, di sini, mengaku salah melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah semasa dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Berikutan pengakuan salah itu, dia dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Majistret Abdul Hayyi Salim.

Wook mengaku salah melakukan pecah rumah dengan memasuki rumah milik seorang warga emas, Arisah Abdullah, 62, sebelum mencuri pelbagai jenis barangan seperti sebuah televisyen Samsung
42 inci, gelombang mikro jenama Vidigo, pengisar roti, pakaian dan beg pakaian, enam keping permaidani, set pinggan mangkuk, cadar dan langsir, kerusi lipat plastik, kain samping benang emas,
mesin senaman jenama Osim dan pembesar suara.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda manakala Wook tidak diwakili peguam.

Terdahulu dalam rayuannya, Wook merayu mahkamah meringankan hukuman terhadapnya kerana mendakwa dia terpaksa melakukan jenayah itu kerana memerlukan wang untuk menyara anak dan ibu yang sudah uzur.

Berdasarkan fakta kes, mangsa meninggalkan rumahnya dalam keadaan baik jam 11 pagi pada 1 Disember tahun lalu untuk ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pada 17 Februari lalu, mangsa menerima panggilan daripada jirannya yang memaklumkan rumahnya dipecah masuk dan mangsa yang tiba di rumahnya pada keesokan harinya mendapati pelbagai jenis barangan hilang sebelum membuat laporan polis.

Konsert Pray 4 kedua 8 Mac ini



KUMPULAN Unic antara kumpulan nasyid yang akan menghiburkan penonton pada Konsert Pray 4 siri kedua ini.


SELEPAS kejayaan konsert pertama yang diadakan pada 7 September tahun lalu, pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) dengan kerjasama Muslim Care, Sinergi Ilmu, Perbadanan Putrajaya (PPJ) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi Konsert Pray 4 kembali dengan siri kedua.
Masih menggunakan nama Konsert Pray 4, konsert kali kedua ini akan berlangsung di Dataran Dewan Cempaka Sari, Presint 3, Putrajaya pada 8 Mac, pukul 8 hingga 11 malam.
Secara umumnya, konsert tersebut bertujuan untuk memberikan kesedaran dan meneruskan usaha murni rakyat Malaysia bagi sama-sama membantu umat Islam di Syria, Mesir, Rohingya dan Gaza yang masih memerlukan bantuan.
Antara artis yang akan memeriahkan Konsert Pray 4 pada kali ini ialah kumpulan nasyid Inteam, Far East, UNIC dan artis Usrah Fitrah yang terdiri daripada Heliza Helmi, Salima Habibi, Diana Amir dan Yatt Hamzah.
Seperti sebelum ini, orang ramai yang hadir dapat berhibur sambil beramal dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman yang sebenar; tujuan untuk membantu umat Islam di Syria, Mesir, Rohingya dan Gaza khususnya.
ILMAM mengambil inisiatif meneruskan hasrat penganjuran Konsert Pray 4 ini sebagai batu loncatan dan usaha ambil tahu rakyat Malaysia secara amnya terhadap isu-isu yang sedang berlaku di negara umat Islam seperti Syria, Mesir, Gaza dan etnik Rohingya.
HELIZA antara artis perempuan yang akan memeriahkan Konsert Pray 4.


Konsert Pray 4 ini juga akan dibawa secara langsung menerusi TV Online di www.tvikim.my dan IKIMfm bertindak sebagai penyiar rasmi.
Naib Presiden ILMAM, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre berpandangan bahawa isu yang berlaku di Mesir bermula pada bulan Ogos tahun lalu memberi gambaran bahawa keprihatinan ILMAM terhadap isu umat Islam di Mesir.
ILMAM telah menubuhkan Prihatin Mesir melalui pautan Facebook dan rakyat Malaysia telah menyumbang lebih daripada RM200,000 sebagai tanda sokongan.
Sebanyak RM80,000 daripadanya dikumpulkan melalui Konsert Pray 4 yang pertama pada September tahun lalu.
Justeru, beliau mengharapkan agar Konsert Pray 4 pada 8 Mac ini akan mengumpulkan jumlah sumbangan yang besar dan dapat disalurkan melalui Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia (Muslimcare) sebagai NGO yang bertindak khusus dalam menangani isu yang berlaku di Syria.
Orang ramai dijemput untuk sama-sama menghadiri konsert ini secara percuma dan menyumbang di dalam tabung yang akan diedarkan pada malam tersebut.
ILMAM juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang sanggup turun melaksanakan persembahan amal ini untuk memeriahkan acara pada malam tersebut.
Konsert ini juga diadakan sempena Ekspo Buku Islam Putrajaya yang diadakan bermula 28 Februari hingga 9 Mac 2014.


Popular cara Intan, Shah, Shukri




SABAN tahun, industri seni tempatan sering menerima kehadiran bakat-bakat baharu terutamanya dalam bidang lakonan. Walaupun masing-masing cuba mengetengahkan bakat yang dimiliki, namun, tidak semua dikurniakan nasib yang baik dalam usaha untuk menempa nama serta mengapai status populariti dalam bidang tersebut.
Ada dalam kalangan mereka yang cukup bernasib baik apabila naskhah drama atau filem pertama yang dimainkan mendapat sambutan hangat daripada peminat.
Dalam sekelip mata sahaja, pelbagai anugerah dan pengiktirafan berjaya dirangkul. Tetapi, ada juga yang masih termanggu menanti peluang untuk menonjolkan diri agar diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar.
Berkongsi kisah hampir serupa, tiga pelakon berbakat besar yang masih utuh melestarikan kelangsungan karier dan bakat mereka, Intan Ladyana, Shah Iskandar dan Shukri Yahaya yakin dengan percaturan yang dilakukan sewaktu mula-mula mahu bergelar sebagai seorang anak seni.
Ikuti temu bual bersama ketiga-tiga mereka tentang istilah populariti sewaktu berkesempatan singgah ke lokasi penggambaran drama bersiri Jika Itu Takdirku di Hospital Umra, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Percaya rezeki
Kira-kira lapan tahun yang lalu, tuan empunya nama Intan Nurladyana Mohamad Yahaya atau Intan Ladyana, 32, muncul buat pertama kalinya sebagai pelakon menerusi filem Tipah Tertipu The Movie.
Kemudian, dia mencuba nasib sebagai pelakon televisyen menerusi drama komedi Puteri dan Bio-Nik sebelum popular dengan filem Jangan Pandang Belakang dan Adnan Sempit.
Sepanjang tempoh tersebut, pelakon berdarah campuran Melayu-Thailand ini tidak pernah menerima sebarang pengiktirafan mahupun anugerah walaupun mutu lakonan yang ditampilkan agak memberangsangkan.
Percaya dengan rezeki dan ketentuan, kekasih kepada pelakon Kamal Adli ini tidak pernah berputus asa dalam mengejar cita-cita dan impian sebagai seorang pelakon serba boleh.
SHAH dilihat cukup serasi bergandingan dengan Intan dalam drama bersiri Jika Itu Takdirku yang sudah mula ditayangkan di TV3 sejak 17 Februari lalu.


"Walaupun sudah lama menceburkan diri dalam dunia lakonan, saya masih belum menerima sebarang anugerah. Bagaimanapun, saya pernah tercalon dalam Anugerah Skrin serta Festival Filem Malaysia beberapa tahun lalu menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
"Pada pendapat saya, berpeluang dicalonkan dalam anugerah yang dinilai oleh juri profesional sudah cukup memadai. Berbanding dengan anugerah-anugerah yang meletakkan kuasa pemilihan kepada para peminat, anugerah seperti ini mampu untuk mengukur sejauh mana pencapaian kita sebagai seorang pelakon.
"Saya percaya kepada rezeki. Dalam masa yang sama, saya akui populariti itu juga satu elemen yang sangat penting. Tetapi, jika kita mahu terus kekal dalam bidang lakonan, bakat dan populariti perlu berjalan dengan seiring," ujar Intan yang kini lebih selektif dalam pemilihan watak untuk dilakonkannya.
Percaya dengan karakter Seri Umairah yang didukungnya menerusi drama terbaharu slot Akasia, Jika Itu Takdirku, Intan begitu yakin dengan kekuatan serta keaslian jalan cerita drama 24 episod arahan Eoon Suhaini itu.
"Saya akui, ramai peminat drama bersiri di luar sana lebih meminati drama yang diadaptasi daripada novel. Lebih-lebih lagi apabila drama lakonan saya ini menggantikan drama bersiri pujaan ramai, Ariana Rose.
"Tetapi, saya yakin kekuatan jalan cerita Jika Itu Takdirku mampu untuk berdiri setanding dengan drama-drama yang lain," jelas Intan yang begitu menginginkan watak-watak adiwira yang melibatkan babak pertarungan dan seni mempertahankan diri.
Watak tempelan
Bagaikan sudah menjadi lumrah dalam bidang seni, tidak semua pelakon baharu diberi kepercayaan untuk memegang watak penting sebagai teraju utama sesebuah filem.
Bagi anak jati Singapura, Shah Iskandar, 32, insiden diminta untuk menukar watak utama kepada watak tempelan sememang masih segar terpahat dalam ingatannya.
"Selepas menerima tawaran berlakon dalam drama bersiri Roda-Roda Kuala Lumpur daripada Datuk Yusof Haslam, saya ditawarkan pula untuk melakonkan watak utama dalam filem Khurafat yang diarahkan oleh anaknya, Syamsul Yusof.
SHUKRI mula dikenali ramai ketika berlakon dalam filem Jiwa Taiko.


"Tetapi, atas sebab-sebab tertentu, nama saya terpaksa digugurkan dan diganti dengan watak tempelan iaitu Orang Kampung 1.
"Saya masih ingat sehingga sekarang, dengan berbekalkan dialog: Pak Imam, Pak Imam, Tok Ali kena rasuk, saya berjaya untuk melakonkan satu babak dalam filem tersebut. Walaubagaimanapun, saya tidak pernah berputus asa.
"Saya masih berusaha untuk membina karier di Malaysia agar tidak dilabel sebagai bakat dari sebarang yang masuk hanya sekadar untuk tempelan sahaja. Alhamdulillah, bertitik tolak daripada insiden itu juga saya sudah mula dikenali," katanya.
Melanjutkan perbualan mengenai drama Jika Itu Takdirku, pelakon yang pernah membintangi drama bersiri popular Nora Elena itu mengakui berasa sedikit tertekan sepanjang membawakan watak Hakimi Ehsan.
"Watak Hakimi digambarkan sebagai seorang pemuda nakal yang mengalami amnesia. Jika diteliti secara halus, watak tersebut tidaklah terlalu berat. Sepanjang penggambaran berlangsung, pengarah telah memperuntukkan dua sesi dalam sehari untuk saya.
"Pada sebelah pagi, saya melakonkan watak Hakimi yang berada dalam keadaan sihat. Pada waktu petang pula saya terpaksa mengubah fokus lakonan saya kepada watak Hakimi yang dilanda Amnesia. Proses ini memerlukan mainan jiwa yang mendalam.
"Tetapi, saya berasa sangat beruntung kerana pengarah sangat membantu saya dalam usaha untuk merealisasikan watak Hakimi," ujar Shah Iskandar yang turut dikenali sebagai pengacara ketika berada di Singapura.
Populariti datang sendiri
Sudah hampir dua tahun Shukri Yahaya, 26, mengorak langkah sebagai seorang pelakon. Tetapi, nama Shukri tidaklah segah seperti nama pelakon-pelakon lain yang seangkatan dengannya.
Walaupun begitu, momentum perkembangan bakat lakonannya yang dicungkil oleh pengarah Osman Ali menerusi filem Jiwa Taiko itu dilihat tidak menghampakan.

DARI kiri: Shukri, Intan dan Shah mempunyai percaturan tersendiri untuk menempa nama dalam bidang lakonan.


Dilabel sebagai tidak popular, pelakon yang pernah tercalon dalam Anugerah Skrin 2013 ini percaya bahawa status itu akan datang dengan sendirinya apabila sampai waktu dan ketika.
"Saya terjebak dalam dunia lakonan secara tidak sengaja. Disebabkan itu, saya tidak pernah meletakkan sebarang penanda aras dalam kerjaya saya sebagai seorang pelakon.
"Saya juga percaya, jika lakonan seseorang pelakon itu hebat, pasti bakatnya akan dihargai oleh peminat. Dari situ, populariti akan muncul dengan sendirinya," jelas Shukri yang mula dikenali menerusi drama bersiri Menjinak Ombak.
Ternyata semakin serius dalam bidang lakonan, Shukri yang memegang watak sebagai Azri dalam Jika Itu Takdirku berkata, dia bersedia untuk mencuba watak-watak baharu yang lebih mencabar pada masa akan datang.
"Dalam drama ini, watak yang saya mainkan tidaklah begitu berat berbanding karakter Firhad dalam Menjinak Ombak. Cuma, saya perlukan masa yang lebih untuk serasi dengan karakter Seri Umairah kerana ini merupakan kali pertama saya bergandingan dengan Intan," jelasnya sambil ketawa.
Selain watak antagonis, Shukri turut menyimpan hasrat untuk membawakan watak yang tidak pernah dibawa olehnya sebelum ini.
Tambah Shukri: "Saya mahukan satu watak yang mencabar. Mungkin satu hari nanti saya boleh melakonkan watak seorang polis, siapa tahu?" ujarnya yang kini muncul menerusi telemovie berepisod (super-tele) berjudul Dendam 5 Beradik.


Planet Joget medan pertempuran tari Melayu



LUMAYAN. Program Planet Joget menawarkan hadiah wang tunai secara keseluruhannya bernilai RM500,000.


KEKAYAAN seni Melayu tradisional tiada tolok bandingnya. Namun demikian, disebabkan kurang pendedahan dan pengetahuan mengenai seni agung itu, ia kian pupus ditelan arus pembangunan masa kini.
Tidak hairanlah jika muda-mudi sekarang ini tidak pernah mengenal langsung jenis tarian Melayu tradisional termasuk zapin, joget dan inang.
Dalam usaha memartabatkan semula seni tarian melayu tradisional terutamanya tarian joget, kini muncul sebuah rancangan televisyen berbentuk program realiti TV, Planet Joget.
Planet Joget merupakan sebuah program rancangan TV enam episod yang melibatkan kira-kira 66 pasangan daripada seluruh negara mencuba nasib merebut gelaran Raja Tari Melayu.
Selepas melalui beberapa penyingkiran, hanya lapan pasangan sahaja yang berjaya dipilih untuk ke peringkat akhir malam kemuncak Planet Joget yang berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Semua pasangan diuji dengan empat segmen yang terdiri daripada segmen Tradisional, Tempur Menti, Tempur Tari dan Tempur Tari Secara Rawak (Joget Lambak).
Lapan pasangan tersebut dinilai melalui disiplin tarian termasuk elemen lentuk, liuk badan, gerak tangan kaki dan pemakaian kostum.
Program yang diacarakan oleh deejay Nasional FM, Muaz Ahmad dan pelakon baharu, Dazrin Kamaruddin menggamatkan lagi suasana sepanjang dua jam konsert tersebut berlangsung.
Menang RM100,000
Pada malam yang penuh gemilang tersebut, tuah menyebelahi pasangan dari Sarawak, Sayang Sarawak apabila muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100, 000.

KUMPULAN Sayang Sarawak memonopoli program Planet Joget dengan menjuarai kategori Menti (pasangan kiri) dan (pasangan kanan).


Salah seorang pasangan kepada kumpulan tersebut, Safa Ghaffa, 56, yang memenangi anugerah kategori mentor mengakui kesuntukan masa dan saingan yang sengit daripada peserta lain merupakan antara cabaran sepanjang pertandingan tersebut berlangsung.
“Kami hanya diberi masa dua minggu untuk mencari idea dan menggubah rentak tarian joget mengeteh yang agak sukar untuk dipelajari. Kami sangat teruja kerana segala yang diaturkan menjadi.
“Antara cabaran lain yang dihadapi oleh kami ialah berkenaan faktor usia dan pernafasan memandangkan usia yang agak lanjut kami sukar untuk mengawal pernafasan dan cepat letih,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perancangan masa hadapan kumpulannya, Ghaffa berkata, mereka berhajat untuk membuka kelas tarian di Sarawak bagi kanak-kanak dan orang dewasa.
“Dengan wang RM100,000 yang diperoleh daripada kemenangan ini. saya dan ahli kumpulan bercadang untuk membuka kelas tarian tradisional Sarawak untuk kanak-kanak.
“Hal ini kerana, kami rasa ia merupakan tanggungjawab kami untuk mendidik dan memupuk semangat cintakan tarian tradisional. Sekurang-kurangnya kami mempunyai pewaris suatu hari nanti,” katanya yang bekerja sebagai pembuat batik di Kampung Budaya Sarawak.
Dalam pada itu, johan bagi kategori menti yang juga daripada kumpulan Sayang Sarawak bersyukur dengan kemenangan yang diperolehi.
“Ia merupakan pembakar semangat untuk golongan belia seperti kami, saya rasa pengorbanan yang ditaburkan selama ini berbaloi. Ia juga merupakan satu pengiktirafan kepada seni tari terutamanya dari Sarawak.
“Saya juga berterima kasih kepada mentor yang banyak memberi panduan kepada kami dan juri yang menilai dengan baik cara penyampaian tarian kami,” ujarnya yang mula menceburkan diri dalam bidang ini seawal umur 15 tahun.
Program yang berlangsung selama dua jam itu, dimeriahkan lagi dengan penampilan istimewa penyanyi tersohor tanah air, Ziana Zain.
Tambah istimewa, acara kemuncak itu turut menampilkan pertembungan suara daripada ratu soprano negara, Syafinaz Selamat dan tokoh Mak Yong, Rosnan Rahmah yang diiringi oleh kumpulan koir kebangsaan Malaysia.