Thursday, September 5, 2013

Teka-teki pernikahan Bront

BRONT tiba-tiba mengeluarkan kenyataan menerusi sebuah portal di internet menafikan dia sudah berkahwin.


BRONT PALARAE, nama yang tidak perlu lagi diperkenalkan kepada peminat filem tempatan. Lelaki tinggi lampai ini memang dikenali dengan bakat lakonannya yang luar biasa dan terlibat dengan banyak filem hebat serta produksi teater.
Bagi yang mengikuti perkembangan Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin, 34, memang jarang dirinya dikaitkan dengan kontroversi yang membidas tentang isu peribadi mahupun kisah cinta.
Mungkin wujud sekali dua isu yang memanaskan namanya dalam industri, namun ia tentang lakonan adegan babak ranjang yang dilakonkan bersama Nadiya Nissa dalam filem Jiwa Taiko.
Bagaimanapun pada tahun lalu, Bront pernah digosipkan bercinta dengan pasangan pelakon wanita yang bergandingan dengannya dalam filem Juwanita.
Pelakon yang dimaksudkan ialah wanita tinggi lampai, Cristina Suzanne Stockstill dan ketika itu mereka mengakui sedang berkawan.
Kembali sunyi dan hanya memberi fokus terhadap lakonan, secara tiba-tiba pada hari Selasa lepas, nama Bront kembali panas yang mana keluar sebuah artikel dalam sebuah akhbar tempatan yang mendakwa Bront telah pun bernikah.
Bront dikatakan telah melangsungkan majlis tersebut secara senyap-senyap dan ramai antara rakan rapat yang mengenalinya juga tidak tahu menahu tentang berita pernikahan tersebut.
“Saya minta maaf, majlis ini secara tertutup dan hanya dihadiri oleh saudara-mara terdekat.
“Kalau boleh, saya tidak mahu menghebahkan perkara ini kerana banyak hati yang perlu saya jaga, terutamanya rakanrakan artis dan media.
“Sebab itu saya lakukan pernikahan ini secara tertutup,” jelas Bront enggan memberi komen lanjut seperti mana yang dipetik daripada sebuah akhbar tempatan pada 2 September lepas.
Artikel tersebut juga telah mendedahkan bahawa Bront telah menjalani akad nikah dengan wanita yang merupakan kenalan lama hanya dengan sekali lafaz pada 31 Ogos di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail.
Walau bagaimanapun pada hari yang sama artikel itu tersiar, Kosmo! cuba menghubungi aktor tersebut untuk meminta komen mengenai isu berkenaan, namun dia sekadar memberi jawapan ringkas.
“Saya mengaku saya sudah berkahwin. Majlis pernikahan tersebut dihadiri oleh keluarga terdekat seramai 30 orang. Namun, kakak dan ibu saya tidak dapat menghadirkan diri di majlis tersebut. Saya akan mengadakan majlis resepsi di Hatyai, Thailand kelak,” ujar Bront.
Namun, keesokan harinya keluar pula artikel Bront menafikan kepada sebuah portal di internet bahawa dia sudah berkahwin.
Katanya: “Bagi saya, 31 Ogos (tarikh dikatakan berkahwin) merupakan Hari Kemerdekaan dan saya sekarang ini sedang mempromosikan filem terbaharu saya, Psiko Pencuri Hati.
“Saya tidak mahu sebarang isu yang boleh menganggu promosi filem terbaharu saya ini,” ujarnya.
Katanya lagi, ini merupakan kali kedua dirinya didakwa telah berkahwin. Malah tegas Bront, pada tarikh dia dikatakan berkahwin itu, dia berada di sebuah konti radio atas urusan kerja.
“Pada tarikh tersebut saya turut berada di sebuah konti radio tetapi jari saya tidak berinai pun. Saya rasa lebih baik jika bertanya sendiri pada sumber yang mengeluarkan berita tersebut (akhbar terbabit),” ujarnya.
Sehubungan itu, Kosmo! turut menemu ramah beberapa rakan baik Bront yang ternyata terkejut dengan berita pernikahan tersebut.
“Saya memang sangat terkejut dengan berita yang disampaikan ini. Memang saya juga tidak tahu-menahu tentang pernikahannya.
“Namun bagi saya, dia berbuat demikian mungkin kerana punya sebab tersendiri atau mungkin juga untuk menjaga hati keluarga.
“Apa pun, saya berharap mereka bahagia,” tutur Remy yang ditemui di majlis Cabaran Dashing 2 di Vertigo, The Gardens pada Selasa lepas.
Selain itu, Cristina pula ketika dihubungi enggan mengulas lanjut tentang berita pernikahan rakannya itu.
“Saya tidak mahu cakap apa-apa tentang ini. Bagai manapun sebagai rakan, saya akan mendoakan kebahagiaan mereka,” bicara Cristina ringkas.
Sementara itu, ujar aktor berwibawa Khir Rahman: “Saya baik dengan Bront sebagai rakan industri tetapi tidak dari segi peribadi. Jadi, saya tak tahu dia sudah berkahwin atau tidak.
“Jika benar (sudah kahwin), saya kira molek kalau Bront jangan lari (daripada cerita sebenar), tetapi hadapinya supaya tak timbul fitnah di kemudian hari.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: