|
RUANG berkarya untuk karyawan teater muda digelar Mask Team membuka lembaran baharu apabila buat pertama kalinya mereka diberi kepercayaan untuk membuat pementasan di Istana Budaya.
Tidak terus naik ke Panggung Sari yang selalunya menjadi pentas berskala mega, kecintaan Mask Team sudah cukup berbalas apabila tarikh 27 hingga 30 September ini menjadi detik bermulanya episod Maduku Kalut dipertontonkan kepada umum.
Seimbang dengan skala produksi dan konsep yang minimalis, naskhah komedi adaptasi daripada karya asal Ray Cooney berjudul Run For Your Wife itu akan dipentaskan di Lambang Sari. Melihat kepada barisan pelakon serta tenaga produksi yang masih muda, kehadiran Maduku Kalut barangkali merupakan sebuah komedi yang bakal menghiburkan.
Diarahkan oleh Azhar Zainal, Maduku Kalut membawa masuk seorang lagi muka baharu, Izzue Islam yang selama ini bergelar penyanyi dan pelakon. Namun, dia tidak pernah berlakon teater sebagai salah seorang pelakon utama. Bersama Izzue, turut dihimpunkan ialah Karl Shafek, Jihan Muse dan Nad Zainal untuk sama-sama membentuk sebuah persembahan yang buat julung-julung kalinya mereka disatukan.
SENSASI BINTANG: Bagaimana kalian melihat kelestarian dan penerimaan khalayak terhadap produksi teater berskala kecil.
NAD ZAINAL (NZ): Banyak perkara positif sedang berlaku. Para lepasan universiti dan institusi seni sendiri menunjukkan inisiatif mereka untuk terus berkarya mengikut kemampuan mereka. Sekarang, Istana Budaya sendiri mengalu-alukan golongan muda. Dahulu sukar, tapi Maduku Kalut tiba pada waktu yang tepat. Sekarang, nama yang sudah masuk ke hiburan perdana pun terlibat dalam produksi kecil, itu bagusnya.
KARL SHAFEK (KS): Saya pun nampak benda yang sama. Rasanya, pada setiap bulan, ada sahaja produksi teater di mana-mana. Ruang dan peluang itu adalah inisiatif daripada penggiat teater itu sendiri. Saya kira dalam lima atau 10 tahun lagi, situasi itu akan terus berkembang.
IZZUE ISLAM (II): Saya tidak pernah tengok teater dan tidak tahu bagaimana rasanya berlakon di pentas teater. Bagi saya, ini cabang dan cabaran baharu. Harap saya diterima seadanya.
JIHAN MUSE (JM): Ada progres dan kemajuan sebab produksi teater kecil sudah tumbuh macam cendawan selepas hujan. Khalayak pula makin ramai yang suka dan datang menonton. Mereka ada pilihan dan genre teater yang dipersembahkan juga sudah pelbagai.
Masalah produksi kecil yang utama ialah bajet, sambutan khalayak dan ruang publisiti yang terhad, komen kalian?
MUDA, berbakat serta masing-masing
mempunyai pengaruh untuk tarikan penonton menjadi faktor pemilihan Izzue
Islam, Jihan Muse, Nad Zainal dan Karl Shafek yang digabungkan bersama
beberapa lagi pelakon teater lain demi kelestarian teater Maduku Kalut.
|
NZ: Pemilihan pelakon penting agar khalayak melihat persembahan itu lebih gah. Tapi, biasanya produksi teater kecil lebih fokus kepada kepuasan berkarya. Kalau nak komersial, lebih baik tengok drama televisyen. Kalau peminat merupakan peminat teater tegar, mereka tiada masalah dengan konsep minimalis.
KS: Penggiat teater faham kekangan itu. Saya sendiri bermain teater kerana minat dan platform untuk belajar lakonan. Sudah tiga tahun melibatkan diri dengan teater, pengalaman yang dikutip ini saya boleh bawa ke ruang lakonan yang lebih luas. Teater kecil memang fokus kepada pengisian tetapi rasanya Maduku Kalut sangat seimbang. Saya sangat seronok dapat terlibat kali ini.
II: Dari segi bajet, saya memang tiada masalah. Penerbit Shawn Amer yang tawarkan tempat untuk saya. Kebetulan saya sudah lama berhajat mahu berlakon teater. Jadi, penglibatan saya lebih kepada aspek mencari ilmu baharu.
JM: Syukurlah untuk Maduku Kalut, kami tidak berdepan masalah yang kritikal sebab kami ada pengurusan yang bagus. Lagipun, ini pertama kali Mask Team dan saya dapat berlakon di Lambang Sari, Istana Budaya.
Barisan pelakon Maduku Kalut boleh dikatakan seimbang, ada nama yang memang hanya dikenali oleh pengikut teater dan wajah komersial dan pelakon popular macam Izzue Islam pun ada, adakah selesa dengan gabungan begini?
NZ: Rasanya, gandingan sebegini dapat menjadi daya tarikan untuk penonton. Kami masih berfikiran positif. Maduku Kalut kena cari satu formula agar kandungannya ditonton ramai.
KS: Barisan pelakon berwajah komersial dan pelakon teater sejati, masing-masing ada pro dan kontra. Kalau pilih hanya kerana semata-mata memiliki wajah komersial tetapi tidak boleh memberikan lakonan pentas yang baik, ia tidak akan memberi makna. Terdapat ramai pelakon teater di luar sana. Saya harap formula memasukkan wajah komersial macam Izzue Islam ini akan berjaya dan pada suatu hari nanti, orang datang tengok teater bukan hanya kerana pelakon sahaja tapi kerana pengisian keseluruhannya.

(DARI KIRI) Jihan Muse, Karl Shafek,
Nad Zainal dan Izzue Islam masing-masing berbangga kerana berpeluang
memijak pentas Istana Budaya dengan sebuah teater.
II: Saya cuma mampu bersyukur kerana dapat bergandingan dengan pelakon-pelakon yang banyak pengalaman berteater. Di sinilah saya belajar banyak perkara seperti bagaimana hendak melontarkan dialog dan karakter.
JM: Saya tak rasa barisan Maduku Kalut berasaskan nilai komersial dan populariti sahaja. Kami diambil sebab masing-masing ada asas lakonan dan teater. Izzue Islam sendiri sudah banyak berlakon.
Jadi apa yang kalian akan persembahkan kepada penonton? Ceritakan sedikit tentang permainan karakter masing-masing.
NZ: Saya sebagai Mimi, isteri kedua kepada Selamat (Izzue Islam). Watak saya agak manja, gedik, keanak-anakan dan pentingkan kecantikan. Walaupun saya isteri kedua, tapi saya bukan perampas.
KS: Sebagai Amy Amino, saya kena menjadi lelaki yang lembut dan dalam masa yang sama jiran dan sahabat baik kepada keluarga Selamat. Amy sebenarnya yang menjadi punca kekalutan dalam teater ini.
IZ: Selamat sebenarnya seorang yang romantik, dia tidak gatal tapi licik mengatur strategi berumah tangga.
JM: Saya pula sebagai Bibi, isteri pertama kepada Selamat. Bibi seorang yang garang tapi selalu kelam-kabut. Boleh dikatakan, apa sahaja karakter yang selalu didengar mengenai isteri tua ada pada watak Bibi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: