|
BARU-BARU ini muncul artikel yang mendakwa Sherry merupakan seorang aktres yang sombong dan tidak mahu menghadiri uji bakat yang telah dijalankan oleh sebuah produksi drama.
Sebagai seorang pelakon yang komited dan profesional dengan kariernya, Sherry ternyata seorang yang tidak mudah melatah.
Ikuti temu bual Sherry bersama Kosmo! tentang isu tersebut.
Kosmo!: Boleh ceritakan tentang perkembangan terkini Sherry?
SHERRY: Setakat ini saya tiada tawaran berlakon drama atau telefilem. Bukan saya tidak mahu ambil tawaran, namun ada beberapa tawaran yang bertindih dengan perkara lain yang saya ingin lakukan. Jadi, saya terpaksa tolak. Namun, kelak saya akan tampil dengan sebuah projek baharu bersama LOL Entertainment iaitu syarikat pengurusan saya kini.
Bercerita tentang tawaran berlakon, ada yang mengatakan anda kini semakin sombong. Boleh komen?
Saya bukan begitu. Sebenarnya ia merupakan perkara lama. Bagi saya, ia perkara remeh dan tidak perlu diperbesar-besarkan sebenarnya kerana ia tidak benar sama sekali. Tanyalah sesiapa yang mengenali saya, mereka tahu saya bukan begitu.
Sejujurnya, ini pertama kali ada orang mendakwa saya berperangai sedemikian. Ia merupakan perkara yang tidak profesional dan tidak sangka sampai keluar artikel tentangnya.
|
Bagaimanakah Sherry tahu tentang perkara ini?
Saya juga tidak perasan tentang hal itu. Namun, setelah disampaikan kepada saya, terus saya baca artikel tersebut dan terkejut dengan apa yang didakwa. Pada hari tersebut, bukannya saya tidak menegur penerbit itu, namun saya tidak perasan akan kehadirannya.
Jika saya sombong, mengapa saya hadir ke sesi uji bakat dan saya isi borang serta ambil skrip untuk dibaca. Saya pelik kenapa mahu diperbesar-besarkan isu ini dan jujurnya, saya kecewa sebab sampai nak masuk akhbar.
Sherry juga telah didakwa tidak mahu menghadiri uji bakat dan ingin terus mendapatkan watak tersebut?
Tidak benar. Saya memang telah ambil skrip dan isi borang untuk menghadiri uji bakat. Saya pergi ke sana, dan tanya dengan penerbit tentang watak saya. Jika saya sombong, mengapa saya hadir ke sana? Biarlah jadi seorang yang profesional. Saya boleh menjawab semula, namun apa gunanya berbuat demikian. Saya rasa ia perkara mudah yang boleh diselesaikan.
Adakah perkara ini akan mengganggu periuk nasi Sherry sebagai seorang pelakon?
Tidak sama sekali. Bukan saya mahu bercakap besar, namun sebelum ini ada pengarah dan penerbit yang memuji cara kerja saya. Saya memang sangat komited terhadap karier saya dan tidak pernah ada yang membuat aduan.
Mungkin ada apa-apa yang Sherry ingin sampaikan kepada individu yang menyampaikan cerita ini?
Tiada apa-apa. Saya tidak mahu panjangkan isu ini. Cuma apa yang saya ingin katakan, jangan dengar sebelah pihak sahaja. Biarkan sahaja, saya tidak mahu memperoleh publisiti murahan melalui perkara sebegini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: