|
BOON Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) mula mengorak langkah agresif dalam industri motosikal tempatan sejak awal tahun lalu.
Strategi pertama melibatkan pengenalan model-model naik taraf ke pasaran motosikal underbone. Ia bertujuan mengukuhkan kedudukan sedia ada.
Pengeluar dan pengedar motosikal jenama tersohor dari Jepun itu turut meneroka beberapa segmen motosikal baharu.
Antaranya termasuk kelas superbike, grand tourer, skuter berkuasa tinggi dan dwikegunaan.
Momentum sama dilaksanakan pada tahun ini. Sepanjang tempoh tujuh bulan pertama 2013, sudah ada enam produk baharu dan naik taraf memasuki pasaran domestik.
Antara model dimaksudkan adalah siri Honda NC700, Wave 110, CBR600RR, Spacy Dark Knight, Air Blade dan EX5 Dream 110.
Tidak cukup dengan itu, Boon Siew Honda sekali lagi tampil mengejutkan pasaran. Kali ini, ia membabitkan siri Honda CB500.
Keluarga motosikal itu terdiri daripada tiga varian iaitu CBR500R, CB500F dan CB500X. Kesemua jentera beroda dua itu tergolong dalam kelas 500cc.
Pengenalan Honda CB500 di peringkat antarabangsa mengambil tempat di Pameran Motosikal Milan (EICMA) di Itali pada November 2012.
Kemunculan rangkaian CB500 menandakan pengembalian jenama Honda dalam segmen 500cc.
Sebelum ini, Honda Motor Co. di Jepun ada menawarkan rangkaian CB500 pada tahun 1994. Aktiviti penjualan tamat pada 2004.
Di pasaran tempatan, tindakan Boon Siew Honda membawa masuk siri CB500 adalah langkah tepat.
Jika diamati landskap segmen motosikal 400cc hingga 500cc, vakum pasaran itu masih belum diterokai sepenuhnya oleh pemain-pemain dalam industri.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Satoshi Okada berkata, siri CB500 dibangunkan sebagai jentera mampu milik untuk pengguna di Asia.
Katanya, siri motosikal itu mencerminkan reputasi jenama Honda berhubung aspek rekaan, inovasi, prestasi, kebolehpercayaan dan ketahanan.
Ketiga-tiga motosikal itu menggunakan rangkaian kuasa sama iaitu enjin silinder kembar selari bersesaran 471cc. Kotak gear enam kelajuan diberikan sebagai padanan.
CBR500R dan CB500F
Setiap varian dalam keluarga CB500 ada sasaran pelanggan berbeza. Bagi mereka yang mahu sebuah model supersport, CBR500R adalah jawapannya.
Produk keluaran kilang di Thailand itu menggunakan casis besi ringan. Kerangka itu ditutupi dengan fairing penuh.
Fairing tersebut direka untuk membantu menyalurkan aliran udara ke kawasan enjin, meningkatkan aspek keselesaan tunggangan dan mengurangkan kesan seretan angin.
Bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang gemar sebuah jentera berkuasa untuk kegunaan dalam bandar, Boon Siew Honda tampil dengan varian CB500F.
Naked bike itu mempersembahkan paras rupa bersih dan gaya tersendiri dengan beberapa sentuhan klasik.
Solekan itu jelas kelihatan pada bahagian hendal lebar dan lampu utama bahagian hadapan motosikal.
CBR500R dan CB500F memiliki ketinggian pelana 790 milimeter (mm). Paras ketinggian itu memudahkan para penunggang melabuhkan kaki ke bumi sewaktu memberhentikan jentera.
CB500X
Aktiviti kembara motosikal kian mendapat tempat di hati penunggang tempatan. Maka tidak hairan jika perkara itu disedari Boon Siew Honda.
Taruhan untuk segmen kembara adalah Honda CB500X. Inspirasi binaan model itu datangnya daripada Honda V4 Crosstourer 1,200cc.
Untuk menepati sifat lasak, casis motosikal ini dicipta lebih tinggi berbanding CBR500R dan CB500F. Sistem suspensi hadapan juga lebih panjang daripada ahli keluarga CB500 yang lain.
Sebagai pelengkap kejuruteraan binaan, posisi tempat duduk dicipta agar kedudukan badan penunggang adalah tegak. Ia disokong dengan aplikasi hendal lebar.
Plak pelindung (kowl) yang dipasang pada bahagian bawah enjin membantu melindungi enjin dan paip ekzos daripada tempias batu-batu kecil sewaktu tunggangan.
Rangkaian motosikal CB500 ditawarkan dengan versi standard dan versi sistem brek antikekunci (ABS). Ia memiliki potensi besar untuk menarik pembeli tempatan jika dilihat pada aspek harga dan kualiti produk.
Sudah pasti ia mendatangkan saingan sengit kepada pengeluar motosikal lain. Mungkin selepas ini, lebih ramai pemain lain akan memperkenalkan jentera pada harga yang lebih menarik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: