Friday, September 6, 2013

Rebut hadiah RM2.6juta


HOFBAUER bersama Kumaran dalam majlis pelancaran peraduan Bonanza Hari Keluarga Malaysia.


ANTARA kunci kebahagiaan dalam menjalani kehidupan pada zaman serba canggih ini ialah masa berkualiti bersama keluarga.
Namun, kesibukan menjalankan tugas seharian menyebabkan detik bermakna ini semakin hilang. Malah, perkembangan gaya hidup masyarakat yang sentiasa ditemani gajet pintar juga menjadi faktor kurangnya masa yang diperuntukkan bersama ahli keluarga.
Menyedari hakikat itu, syarikat pemakanan, kesihatan dan kesejahteraan terkemuka negara, Nestle Malaysia (Nestle) tampil dengan satu inisiatif yang menyasarkan untuk mengeratkan keakraban keluarga melalui peraduan Bonanza Hari Keluarga Malaysia.
Pengarah Jualan Nestle Malaysia dan Singapura, Kumaran Nowuram berkata, kempen tersebut bermatlamat untuk meningkatkan kualiti kehidupan berkeluarga melalui makanan yang lazat dan sihat serta aktiviti menyeronokkan.
"Secara tidak langsung, peraduan ini mendorong rakyat Malaysia agar lebih menghargai keakraban ikatan kekeluargaan.
"Peraduan ini akan berlangsung dari 1 hingga 30 September 2013 dan menawarkan hadiah bernilai sehingga RM2.6 juta. Diharap rakyat Malaysia tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai dan memberi sokongan terhadap kempen ini," ujar beliau pada majlis pelancaran kempen tersebut baru-baru ini.
Menurut Kumaran, Nestle telah membelanjakan sejumlah RM30 juta bagi tujuan promosi kempen ini menerusi pengiklanan, aktiviti persampelan makanan dan pameran produk di seluruh negara.
Cabaran penyingkiran
Peraduan ini mengandungi dua peringkat iaitu peringkat pertama menawarkan 600 hadiah harian menarik yang terdiri daripada pakej baucar pilihan sama ada percutian, riadah, pendidikan, sukan dan gajet hiburan bernilai RM1,000.
Sementara untuk pusingan akhir, pengguna akan melalui cabaran penyingkiran bagi memenangi hadiah wang tunai. Peringkat kedua ini membolehkan 20 pemenang hadiah pertama bakal membawa pulang wang tunai sehingga RM100,000 setiap seorang, manakala lima pemenang hadiah tempat kedua berpeluang memenangi wang tunai RM6,000 setiap seorang dan lima pemenang tempat ketiga bakal memenangi wang tunai RM3,000 setiap seorang.
Peraduan ini mensyaratkan para pengguna membeli mana-mana produk Nestle yang mengambil bahagian bagi melayakkan mereka mendapatkan borang peraduan.
Pengguna juga dikehendaki menjawab tiga soalan mudah dan melengkapkan borang yang diberi dengan butiran yang diperlukan, serta melampirkan bukti pembelian.
Dalam pada itu, Ketua Serantau Nestle Malaysia dan Singapura, Alois Hofbauer memberitahu, melalui kempen ini juga setiap penyertaan yang diterima, pihaknya akan menyumbang RM1 kepada rumah anak-anak yatim yang terpilih.
Jelasnya, jumlah keseluruhan yang akan dikumpul dengan sumbangan maksimum bernilai RM1 juta akan diumumkan pada penghujung kempen berkenaan.
"Kempen ini sejajar dengan kepercayaan kami bahawa makanan yang baik adalah asas bagi kehidupan yang baik. Saya berbangga menyatakan bahawa Nestle telah berjaya membawa kepercayaan ini kepada rakyat Malaysia selama seabad ini dan kami komited mahu melakukannya untuk 100 tahun yang akan datang dan seterusnya," tegas Hofbauer.
Dengan menyertai peraduan Bonanza ini, para pengguna bukan sahaja dapat mengikat keakraban keluarga, tetapi juga membantu mereka yang tidak berkeluarga seperti anak-anak yatim menerima hasil kutipan yang dikumpul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: