Sunday, September 8, 2013
Rantau Asia Barat kian tegang
SITUASI di Asia Barat kini kian tegang apabila Amerika Syarikat (AS) kelihatan semakin hampir untuk melancarkan serangan ke atas Syria yang kini dilanda peperangan saudara sejak tahun 2011.
Pada Jumaat lalu, Jabatan Negara AS mengarahkan kakitangan-kakitangan tidak penting di kedutaan negara itu di Beirut, Lebanon dan di Pejabat Konsulat AS di Adana, Turki supaya berpindah.
Harga minyak turut naik kepada AS$110 (RM365.99) setong pada hari yang sama selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin menyatakan negaranya akan membantu Syria jika AS melakukan serangan.
Rusia mempunyai hubungan akrab dengan Syria sejak tahun 1950-an lagi.
Syria juga kelihatan sudah bersedia untuk berdepan dengan serangan AS.
Persediaan itu digambarkan menerusi kenyataan timbalan menteri luar negara itu, Faisal Muqdad yang membuat kenyataan pada 5 September lalu bahawa negaranya akan menyerang balas sebarang serangan dari negara asing.
Menurut Majlis Perikatan Kebangsaan Syria yang menentang rejim Presiden Bashar Al-Assad, sejumlah roket pelancar, artileri dan senjata berat milik tentera telah dipindahkan ke dalam kawasan kediaman di bandar-bandar seluruh negara pada minggu lalu.
Menurut laporan Press TV semalam, Tentera Laut Rusia telah menghantar empat buah lagi kapal perang ke timur Mediterranean.
Beberapa media Barat melaporkan rancangan serangan yang mahu dilancarkan oleh Presiden AS, Barack Obama itu turut menyebabkan sejumlah orang percaya bahawa kiamat semakin hampir.
Kepercayaan itu adalah berdasarkan Damsyik, ibu kota Syria bakal mengalami kehancuran akibat serangan itu.
Percaturan taktikal tentera AS juga dibincangkan dengan panjang lebar di internet dan akhbar-akhbar Barat.
Pada Jumaat lalu, akhbar The Guardian melaporkan peluru-peluru berpandu AS tidak akan menyasarkan askar-askar Bashar.
Sebaliknya, peluru berpandu AS itu akan menyasarkan lapangan terbang, bangunan-bangunan yang dijadikan pusat pemerintah tentera dan kedudukan artileri di kawasan berbukit.
Sasaran serangan itu bertujuan untuk melemahkan kekuatan tentera Syria supaya ia tidak lagi menggunakan senjata kimia pada masa depan.
Ramalan itu sesuai dengan kenyataan Setiausaha Negara AS, John Kerry yang meyakinkan Jawatankuasa Hubungan Luar Dewan Senat pada Selasa lalu bahawa Obama tidak berniat untuk menghantar askar-askar negaranya ke Syria untuk bertempur dengan rejim Bashar.
Menurut laporan akhbar The Guardian lagi, seorang askar Syria menyatakan, tentera AS mungkin membedil kawasan pergunungan tetapi askar-askar Syria dan peralatan penting peperangan telah ditempatkan di dalam sebuah kawasan pergunungan yang gagal ditembusi peluru berpandu.
Menurut akhbar Daily Mail pada 29 Ogos lalu, tentera Syria dilaporkan mempunyai 8,000 pengebom berani mati yang sanggup mengorbankan diri untuk menjatuhkan jet-jet pejuang negara asing.
Kira-kira 60 peratus daripada penduduk Israel yang berjumlah lima juta orang dilaporkan telah menyimpan topeng gas bagi menghadapi serangan balas tentera Syria.
Alasan yang dikemukakan oleh Obama untuk menyerang Syria adalah bagi menghukum rejim Bashar yang didakwa telah melancarkan serangan gas sarin pada bulan lalu sehingga terdapat laporan lebih 1,400 orang terbunuh termasuk kanak-kanak.
Bashar menafikan mengarahkan serangan itu tetapi media Barat melaporkan sebelum ini persediaan serangan gas tersebut sudah diketahui lebih awal oleh pihak perisikan AS.
Ketika ini serangan ke atas Syria telah ditangguhkan Obama bagi menunggu persetujuan daripada Kongres AS.
Jika serangan itu dilancarkan, kumpulan Hezbollah dan Iran akan turut membantu rejim Bashar manakala para penentang Presiden Syria tersebut akan mendapat bantuan AS untuk menggulingkannya seperti yang diidamkan kumpulan anti-Bashar sejak tahun 2011 lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: