Sunday, September 15, 2013

Pakej pemindahan mampu milik Myrelo




PENGALAMAN ketika berpindah rumah dari USJ Subang Jaya ke Bukit Jelutong, Shah Alam pada tahun 2005 bukanlah pengalaman yang menyeronokkan buat Noor Isma Ismail-Dasiuk.
Mendapatkan perkhidmatan lori sewa yang diiklankan di tepi jalan bukanlah pilihan yang bijak ketika itu kerana terdapat barangan dan perabot miliknya menjadi rosak dan calar disebabkan kelalaian para pekerja.
"Ada rakan yang mencadangkan kami untuk mengupah syarikat yang menyediakan perkhidmatan pemindahan bagi memudahkan proses perpindahan ke rumah baharu.
"Namun, disebabkan bayaran terlalu mahal yang dikenakan, kami mengambil keputusan untuk menggunakan perkhidmatan lori sewa. Tetapi, hasilnya sangat mengecewakan apabila kebanyakan barangan dan perabot kami rosak.
"Kami pula terpaksa menanggung kos kerugian kerana tiada insurans yang ditawarkan. Bermula dari situlah, tercetusnya idea untuk menjalankan perniagaan perkhidmatan pemindahan pada harga yang berpatutan," ujar ibu kepada tiga orang anak ini yang kini menjadi Pengarah Urusan Myrelo.
Menurutnya, Myrelo yang ditubuhkan pada tahun 2006 itu menawarkan perkhidmatan sama seperti yang dilakukan oleh syarikat pemindahan lain dan selepas membuat penyelidikan, Isma mendapati bukan dia sahaja yang mempunyai pengalaman untuk memindahkan barang-barang.
"Bukan kami sahaja yang berdepan dengan situasi barang hilang dan rosak ketika proses pemindahan dilakukan tetapi, ada juga rakan dan saudara-mara yang berdepan masalah yang sama.
"Sebenarnya, cabang perniagaan itu mempunyai pasarannya yang tersendiri. Namun, disebabkan kos yang dikenakan adalah mahal menyebabkan sesetengah individu tidak mampu untuk mendapatkan perkhidmatan pemindahan barang.

NOOR ISMA dan suami sangat tegas dalam hal berkaitan disiplin dan kejujuran para kakitangannya.


"Harga yang dikenakan kami berdasarkan kepada kapasiti barangan dan kita menawarkan pakej mampu milik serendah RM950," tambahnya yang pernah menjawat jawatan sebagai pengurus di sebuah institusi perbankan sebelum membuka syarikat Myrelo.
Skop kerja
Noor Isma berkata, pada permulaan penubuhan syarikatnya itu, dia dan suami, Craig Dasiuk, 41, sanggup menjual rumah bagi mendapatkan modal perniagaan.
Katanya, perkhidmatan pemindahan barang mempunyai musim-musim tertentu.
Pada kebiasaannya, kata Isma, ramai orang yang berpindah pada musim cuti persekolahan.
Persaingan daripada syarikat pemindahan antarabangsa yang sudah mempunyai nama dan lama bertapak di dalam industri ini merupakan cabaran yang dihadapi wanita itu.
"Saya juga pernah berdepan dengan masalah para pelanggan tidak membayar hutang selepas menggunakan gudang kami untuk menyimpan barangannya yang kebanyakannya perabot.
"Hampir dua tahun pelanggan tersebut menyimpan barang-barangnya di gudang kami. Pelanggan itu kerap lewat membayar kos penyimpanan. Adakalanya menjangkau sehingga tujuh bulan," ujarnya yang turut menyediakan Unit Pengendalian Aduan bagi memudahkan para pelanggannya membuat aduan sekiranya barangan mereka rosak ketika proses pemindahan dilakukan.

IDEA menubuhkan Myrelo diperoleh Noor Isma dan suaminya, Craig Dasiuk ketika berdepan masalah untuk berpindah rumah.


Justeru, dia dan suaminya kini lebih berhati-hati semasa meneliti latar belakang para pelanggan yang mahu menggunakan gudangnya.
Noor Isma memberitahu, situasi pelanggan cerewet menjadi lumrah dalam bidang perniagaan.
"Berdepan dengan para pelanggan yang cerewet sememangnya menjadi lumrah di dalam perniagaan. Tetapi, jika dilayan dengan baik, mereka boleh bertukar menjadi pelanggan tetap," katanya.
Menurut wanita tersebut, para pelanggan itu juga akan mempromosikan perkhidmatan pemindahan kepada kenalan mereka yang ingin berpindah.
"Kita menyasarkan pelanggan daripada golongan yang berpendapatan sederhana ke atas bagi menyediakan perkhidmatan pemindahan profesional ini," jelasnya yang dalam proses untuk membeli gudang di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor dengan bantuan pinjaman daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad.
Katanya, skop kerja yang ditawarkan Myrelo termasuklah memasukkan buku, baju dan pinggan mangkuk ke dalam kotak, melabel, membuka katil, almari baju serta memasangkannya kembali.
Noor Isma berkata, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan pemindahan penyaman udara, piano, Astro, peti besi, lukisan dan pembersihan rumah.
"Perkhidmatan yang ditawarkan itu adalah bagi memberi kemudahan kepada para pelanggan apabila mereka mahu berpindah.
"Stres ketika berpindah amatlah tinggi. Justeru, kakitangan kita dilatih untuk menjadi lebih prihatin dan sentiasa tenang apabila berdepan dengan pelanggan.
"Bermacam-macam perkara boleh berlaku ketika proses pemindahan. Kadangkala apa yang dirancang, tidak semestinya berlaku seperti yang dikehendaki.
"Saya mengamalkan sikap terbuka tetapi sangat tegas berkenaan disiplin dan kejujuran kerana berada di dalam industri ini, kepercayaan pelanggan merupakan tonggak perniagaan," katanya yang mempunyai seramai 20 orang kakitangan.
MYRELO pernah menerima Anugerah Inovatif pada tahun 2009.


Noor Isma berkata, dia kerap turun padang bagi memantau operasi pemindahan dan penempatan yang dilaksanakan oleh para kakitangannya.
Perkhidmatan luar negara
Menurutnya, pemantauan terhadap operasi yang dilakukannya itu perlu bagi mengekalkan mutu dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan kepada para pelanggan.
"Myrelo pernah menerima Anugerah Inovatif pada tahun 2009 disebabkan pendekatan dan cara pemikiran saya dan suami yang berbeza dengan orang lain.
"Ia adalah disebabkan saya sendiri mempunyai latar belakang dalam bidang perbankan dan ia banyak mempengaruhi hala tuju syarikat saya.
"Kemudahan pembayaran perkhidmatan melalui kad kredit di Myrelo ditawarkan ekoran hasil pengalaman saya ketika berada dalam industri perbankan," ujarnya yang menyediakan perkhidmatan pemindahan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Jelasnya, selain menyediakan perkhidmatan di peringkat nasional, Myrelo juga mempunyai pelanggan dari luar negara seperti Australia, Singapura, Dubai dan Bhutan.
"Kita turut menawarkan perkhidmatan di peringkat antarabangsa sama ada individu tersebut mahu berpindah ke luar negara atau pun berpindah dari luar negara ke sini.
"Kita akan menguruskan semuanya termasuklah mencari rumah, penempatan sementara, permit kerja dan visa serta proses perpindahan," tambahnya.
Ujarnya, sebagai perancangan masa depan, dia mahu membuka sebuah cawangan di Johor Bahru.
"Kita sudah mempunyai cawangan di Pulau Pinang dan kita juga bercita-cita mahu membuka sebuah cawangan antarabangsa di Australia.
"Selain itu, saya juga mahu membeli lori 10 tan bagi memudahkan pemindahan barang berkapasiti besar dilakukan," kata wanita kelahiran Pulau Pinang ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: