Wednesday, September 4, 2013

Orang salah anggap mengenai kami - Awi Rafael

AWI hanya menganggap Sasha sebagai seorang teman yang baik.


MUNGKIN kini ramai peminat telah sedia maklum bahawa hubungan cinta Awi Rafael dan aktres Hanez Suraya sudah terputus di tengah jalan. Setelah beberapa bulan menjalinkan hubungan, akhirnya hajat untuk bercinta hingga ke jenjang pelamin tidak kesampaian.
Kedua-duanya mengakui hubungan mereka putus bukan disebabkan oleh pihak ketiga namun, kerana masing-masing ingin berikan fokus terhadap karier yang sedang dibina.
Namun, setelah tidak bersama, wujud pula kisah ikatan cinta baharu Awi.
Awi kini dikatakan sedang bercinta dengan aktres tinggi lampai iaitu Sasha Saidin. Baru-baru ini juga, menerusi temu ramah pihak media bersama Sasha, wanita tersebut seperti tidak menolak jika bertemu jodoh dengan Awi.
Bagi Awi pula ketika dihubungi Kosmo!, dia menafikan gosip yang sedang panas berlegar dalam kalangan peminat industri hiburan tempatan.
Ikuti jawapan penyanyi kelahiran Singapura tentang kontroversi baharu tentang dirinya.
Kosmo!: Bolehkah anda ceritakan tentang perkembangan karier anda kini?
AWI: Sekarang, saya masih sibuk mempromosi single yang berjudul Kalau Aku Kaya. Alhamdulillah, lagu tersebut diterima ramai dan di laman YouTube pula telah pun mencapai sebanyak satu juta penonton.
SASHA SAIDIN sebelum ini tidak menolak jodohnya bersama Awi Rafael jika ia berlaku kelak.


Selain promosi single ini, apa lagi perancangan anda?
Memang banyak sebenarnya perancangan bagi karier saya. Saya juga ingin meluaskan karier saya ke Indonesia kelak, Insya-Allah. Lagu Pulanglah saya telah pun menjadi hit di sana dan ia dinyanyikan oleh kumpulan Mikheila dan diubah sedikit mengikut cara wanita menyanyi.
Selepas putus dengan Hanez, kini anda digosipkan bercinta dengan Sasha Saidin. Boleh komen?
Tidak benar gosip tersebut kerana kami hanya kawan biasa sahaja. Bagaimanapun, dia ada telefon Awi dan terangkan tentang kenyataan tentang jodoh yang dibuat olehnya sebelum ini. Tapi sejujurnya saya akui, sebagai kawan, dia memang seorang yang baik. Jadi, saya tidak mahu terlalu memberi komen tentang perkara ini.
Jadi, kini memang anda ingin memberi fokus terhadap karier sahaja atau memang sudah ada pengganti?
Saya memang ingin memberi fokus lebih terhadap karier kini. Kami berdua (bersama Hanez) juga sebelum ini sibuk dengan kerja, kerana itu kami tiada masa bersama. Saya tidak terfikir untuk bercinta buat masa ini.
Jika sebelum ini, anda terbuka berbicara tentang kisah cinta, adakah selepas ini akan kurang berbuat demikian?
Sebenarnya, jika ikutkan hati saya memang tidak terlalu ingin berbicara tentang kisah cinta. Tapi kerana ingin menjaga hati beberapa pihak, saya tidak kisah untuk cerita. Saya tidak ingin orang fikir bicara saya tentang kisah cinta adalah untuk mengejar populariti serta untuk dikenali. Jadi, sejujurnya, saya dan Sasha tidak bercinta dan harap orang yang membaca jangan salah anggap kerana tiada apa-apa yang berlaku antara kami.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: