|
SEBAGAI anak tunggal, Muhammad Azlan Nasir Ali, 38, menggalas tanggungjawab besar terhadap kedua-dua ibu bapanya. Dua tahun lalu, bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung.
“Ketika itu, saya rasa tertekan kerana tidak tahu bagaimana untuk menguruskan jenazah. Tambahan pula, arwah meninggal dunia di rumah.
“Saya dan ibu tidak tahu di mana untuk membeli kelengkapan dan cara-cara menguruskan jenazah,” katanya ketika ditemui di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Menurut anak jati Ipoh, Perak itu mujurlah jiran-jiran yang dihubunginya banyak membantu menguruskan jenazah arwah bapanya.
Bertitik tolak daripada episod hitam itu, kakitangan swasta berkenaan mula mencari maklumat mengenai perkhidmatan pengurusan jenazah.
“Saya dapati banyak maklumat mengenai pengurusan jenazah tetapi saya tertarik dengan tawaran syarikat telekomunikasi, Clixster Mobile Sdn. Bhd. (Clixster) melalui pakej MyKifayah.
“Dengan potongan kredit RM2.50 sebulan, apabila meninggal kelak, saya tidak bimbang kerana segala urusan pengurusan jenazah akan diuruskan oleh Clixster,” katanya yang sanggup menukar talian telefonnya kepada Cilxster.
MyKifayah merupakan pakej perkhidmatan pengurusan jenazah bersepadu tanpa tunai pertama di dunia. Ia bukan sahaja terbuka kepada umat Islam malah membabitkan semua kaum.
Pengerusi Eksekutif Clixster, Datuk Megat Radzman Megat Khairuddin berkata, orang ramai yang berminat dengan perkhidmatan itu hanya perlu membeli kad SIM berharga RM8.90.
“Selepas itu, langgan perkhidmatan MyKifayah dengan menaip ON MYK dan hantar ke nombor 7766. Pengguna akan mendapat mesej Saya dengan ini bersetuju menyertai program MyKifayah yang ditawarkan mengikut terma dan syarat. Taip YA dan hantar ke 7766,” katanya selepas melancarkan pakej MyKifayah di ibu negara baru-baru ini.
Jelasnya, jika berjaya melanggan perkhidmatan itu, pengguna perlu menaip MYK WARIS
“Buat langganan pertama, kredit akan ditolak sebanyak RM3.50 tetapi pada setiap bulan, hanya RM2.50 akan dipotong,” jelasnya lagi.
Clixster merupakan jenama talian telefon mudah alih 3G dan 4G terbaharu di Malaysia yang berada di pasaran sejak Julai 2012.
Kembangkan operasi
Syarikat telekomunikasi itu turut menjalin kerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) manakala bagi pakej MyKifayah, ia mendapat sokongan daripada Islamic Risk Holdings Sdn. Bhd.
Menurut Megat Radzman lagi, sejak diperkenalkan, seramai 20,000 pelanggan berminat untuk menyertai pakej tersebut.
Ekoran sambutan yang menggalakkan, pihaknya bakal menggembangkan operasi ke luar negara seperti United Kingdom pada hujung tahun ini dan Indonesia pada suku kedua tahun depan.
Menurut Pengasas MyKifayah, Mohd. Yusni Ismail, pihaknya turut menawarkan perkhidmatan pengangkutan jenazah dari hospital, surau, rumah dan tanah perkuburan.
|
“Kami mempunyai van jenazah yang beroperasi 24 jam sehari untuk menghantar jenazah, namun ia hanya untuk Semenanjung Malaysia,” katanya.
Lain-lain perkhidmatan termasuk memandi dan mengkafankan jenayah yang diurus oleh golongan profesional, namun ahli keluarga digalakkan untuk memandikan serta mengkafankan waris mereka.
Turut disediakan perkhidmatan imam bagi menunaikan solat jenazah dan pembayaran lot tanah perkuburan termasuk upah menggali kubur.
“Pihak pengurusan juga membantu pihak waris untuk mendapatkan sijil kematian daripada Jabatan Pendaftaran Negara selain bacaan talkin dan bacaan 30 juzuk al-Quran ke atas nama si mati.
“Khidmat pengurusan jenazah ini berlandaskan syariah Islam dan dilakukan lebih 3,000 ahli masjid yang bertauliah di seluruh negara,” katanya.
Bagi bukan Islam, pihaknya tidak melakukan pengurusan kematian namun diganti dengan bayaran saguhati.
Mohd. Yusni berkata, pihaknya juga turut menawarkan perkhidmatan mengeksport jenazah melalui kargo udara ke Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun, pengguna perlu membuat pembayaran tambahan untuk menampung tambang kargo.
Malah, MyKifayah juga menyediakan pembinaan batu nisan mengikut hukum syarak.
Sistematik
“Kami juga menjalankan ibadah badal bagi jenazah yang belum sempat melaksanakan rukun haji. Namun demikian, waris yang berminat akan dikenakan bayaran tambahan,” ujarnya.
Urusan ibadah badal itu dilaksanakan oleh ejen yang dilantik pihak Tabung Haji.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, layari laman web MyKifayah di www.clixster.net/mykifayah.
Sementara itu, Pengurus Besar Dunia Kifayah, Jasri Jamil, berkata, pihaknya membangunkan kit lengkap pengurusan jenazah untuk memudahkan umat Islam menguruskan jenazah dengan sistematik.
“Kit ini mengandungi kira-kira 22 peralatan yang mengandungi bahan asas seperti kain kapan, kain kemban, tudung, baju, sarung bantal, tali, kapas, air mawar, akar sintok, putik kapas dan kapur barus.
“Selain itu, terdapat juga minyak atar, sabun, serbuk cendana, apron plastik, plastik sampah, sarung tangan getah dan topeng muka,” katanya ia dijual antara RM150 hingga RM170.
Tambahnya, dengan adanya kit tersebut, ia membantu sesiapa sahaja untuk menguruskan jenazah di mana saja mereka berada.
Syarikat Dunia Kifayah ditubuhkan pada September 2009. Syarikat berkenaan membangunkan produk kit jenazah yang mengandungi kesemua bahan dan peralatan untuk menguruskan jenazah. Sehubungan itu, bagi yang berminat untuk membeli kit berkenaan boleh menghubungi Jasri di 013-720 4050.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: