MANUSIA sememangnya benci pada lalat kerana diketahui umum ia adalah sejenis serangga yang boleh membawa pelbagai penyakit berjangkit seperti demam kepialu, kolera (taun) dan penyakit disentri.
Lalat gemar menghurung kawasan kotor dan berbau busuk seperti tapak pelupusan dan pembuangan sampah, longkang yang kotor, bangkai binatang, timbunan sampah sarap dan najis.
Ia kemudian membawa bersama kuman dari tempat-tempat kotor berkenaan dan menghinggap pula di atas benda-benda lain termasuk hidangan makanan yang terdedah.
Begitulah caranya kuman disebarkan oleh lalat hingga membawa kepada penyakit-penyakit berjangkit yang boleh berubah kepada wabak.
Kehadiran serangga ini hanya memerlukan sedikit kecuaian manusia dalam menjaga kebersihan sekitar. Ia senang membiak di tong-tong sampah, himpunan kompos serta dalam kotak, sangkar atau tempat tidur haiwan peliharaan.
Sikap
Oleh itu, wujud satu tanggapan negatif sekiranya lalat kelihatan berterbangan dalam rumah, terutamanya di dapur dan bilik makan.
Apatah lagi jika lalat dilihat di premis-premis restoran dan kedai makan. Ia pastinya membuatkan sesetengah orang, terutamanya pelanggan ke premis tersebut, merasa loya.
Tetapi itulah yang dialami oleh penulis baru-baru ini apabila mengunjungi Johor. Ketika memandu ke selatan, penulis berhenti sebentar untuk makan di sebuah restoran makanan segera di sini.
Dan alangkah terkejutnya sebaik melangkah masuk ke premis berkenaan, kelihatan lalat berterbangan di merata sudut restoran itu. Ini termasuk di kawasan kaunter dan pada cawan kertas yang disusun berhampiran dengan mesin minuman ringan.
"Kenapa banyak sangat lalat dalam restoran ini?" kedengaran seorang pelanggan merungut dan menanyakan kakitangan yang bertugas di kaunter.
Namun tiada jawapan kedengaran daripada petugas berkenaan yang juga merupakan seorang gadis berusia lewat belasan tahun.
Petugas itu hanya membiarkan lalat-lalat tersebut berterbangan sewenang-wenangnya dan dia sendiri mengambil sikap tidak endah mengenai lalat yang menghurung dan singgah di mesin tunai yang dikendalikannya.
|
Setibanya di Johor, penulis berhenti di sebuah kedai aiskrim yang terletak di sebelah Lebuh Raya Utara-Selatan. Didapati terdapat juga lalat di situ, namun jumlahnya tidak sebanyak yang terdapat di kedai makanan segera sebelum ini.
"Di sini memang ada lalat, sebab wujud banyak ladang ternakan ayam di kawasan berhampiran," jelas seorang petugas di kaunter bila ditanya penulis tentang beberapa ekor lalat yang kelihatan berterbangan.
Lalat-lalat itu kelihatan terus berterbangan apabila berjaya melepaskan diri daripada perangkap cahaya ultralembayung yang dipasang dalam premis aiskrim itu.
Langkah proaktif
Bagi tuan rumah dan tuan punya syarikat perniagaan, lalat sememangnya terkenal sebagai ejen pembawa penyakit. Oleh itu, sebagai langkah pencegahan, mereka perlu memastikan premis masing-masing sentiasa bersih selain kerap membuang sampah dan menutup rapi semua bekas sampah.
Restoran yang mempunyai lalat berisiko kehilangan pelanggan kerana mereka khuatir akan dijangkiti penyakit. Kehadiran serangga ini di dalam rumah memberi gambaran negatif kepada tetamu tentang tahap kebersihan rumah berkenaan.
Menurut Adenan Ariffin dari NADZ Pest Control yang beroperasi di Lembah Klang sejak tahun 2005, kebanyakan warga tempatan seperti pemilik kediaman dan entiti perniagaan, lebih mementingkan kawalan terhadap makhluk perosak seperti anai-anai.
"Ada juga yang mahukan kami bertindak terhadap haiwan pembawa penyakit seperti lipas dan tikus tetapi hanya segelintir yang mahukan kami menjalankan tugas terhadap penghapusan lalat," jelasnya ketika ditanya mengenai usaha kawalan terhadap makhluk perosak dan pembawa penyakit yang dijalankan.
Katanya, hanya segelintir pihak yang mengadakan majlis-majlis di kawasan terbuka, seperti kenduri perkahwinan, mendapatkan perkhidmatan syarikat tersebut.
"Prosedur kawalan serangga untuk majlis seumpama itu perlu dijalankan sebelum dan selepas majlis.
"Ia haruslah sekurang-kurangnya dua hari sebelum majlis dan selewat-lewatnya seminggu selepas majlis," jelasnya.
Yang jelas, satu langkah proaktif perlu dilaksanakan bagi mengawal makhluk ini. Walaupun bukan melalui khidmat kawalan serangga, sekurang-kurangnya kita hendaklah peka untuk menghalau lalat sebelum ia memudaratkan kesihatan kita.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: