Wednesday, September 4, 2013

Konsert tarian kumpul dana

AISHY dan Apshy ketika membuat persembahan di studio tarian tempat dia belajar.


PERSONALITI kedua-dua adik-beradik ini amat berlainan. Kakaknya lebih ringan mulut berbanding adiknya yang pemalu dan kurang bercakap.
Malah, anak sulung daripada dua orang adik-beradik, V. Apshyarah, 17, tampak lebih muda berbanding adiknya, Aishwariyah, 16.
Sungguhpun berbeza, mereka berdua berkongsi minat yang sama iaitu tarian, satu seni yang diterokai sejak 11 tahun lalu. Adik-beradik ini menguasai tarian balet, tap, kontemporari, moden dan lirik yang menggabungkan teknik-teknik balet, jazz dan kontemporari.
Walaupun demikian, Aishwariyah atau lebih mesra dipanggil Aishy menggemari tarian balet, manakala kakaknya, Apshy pula sukakan tarian tap.
Bakat mereka telah diasah oleh pengasas Dancesteps Studio, Shirena Hamzah dan Clara Lim yang pernah memenangi anugerah tarian tap di Festival Tarian Antarabangsa Hawaii 2002.
Mereka mengakui bahawa mungkin juga bakat menari diwarisi daripada kedua-dua ibu bapa, V. Dhya, 49 dan V. Geetha, 42, juga banyak terlibat dalam acara tarian ketika muda dahulu.
Sungguhpun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kesakitan, namun ia tidak memutuskan semangat mereka untuk terus mendalami seni tari. Tidak terhad persembahan di pentas, bakat kedua-dua gadis remaja ini akan dimanfaat untuk satu tujuan murni.
Pada 27 September ini, mereka akan mengadakan sebuah konsert tarian amal, Dance Effect Concert 2013, bertempat di The Black Box MAPS @ Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.
Dance Effect Concert 2013 bertujuan mengumpul dana untuk didermakan kepada empat buah badan sukarelawan iaitu Girl Effect, Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia, Fugee School dan IQ70 plus.
AISHY mengakui sentiasa meminati tarian dan terus bersama walaupun telah meningkat usia nanti.


Mereka akan mempersembahkan 12 buah karya koreografi berbeza merangkumi semua tarian yang dikuasai dalam tempoh satu jam setengah. Di samping itu, penari terkenal, Ramli Ibrahim turut membuat persembahan pada hari yang sama.
Idea Dance Effect Concert 2013 sebenarnya merupakan ilham kedua-dua remaja itu. Segala-galanya bermula pada tahun 2011 ketika mereka sedang melakukan kajian untuk projek bagi subjek Geografi sekolah.
“Saya sedang melayari internet untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan. Dalam pencarian, kami menjumpai sebuah pergerakan yang dikenali sebagai Girl Effect dan telah menonton sebuah video yang memaparkan keperitan seorang kanak-kanak perempuan,” cerita Aishy.
Potensi remaja
Menurutnya, Girl Effect merupakan sebuah pergerakan mencari potensi remaja-remaja perempuan yang bertujuan mengakhiri kitaran kemiskinan mereka.
“Ia berkenaan untuk menonjolkan bakat mereka dan mengubah dinamik ekonomi dan sosial dengan menyediakan gadis-gadis ini sumber yang spesifik, berkuasa dan relevan.
“Pergerakan ini telah diwujudkan oleh Yayasan Nike dengan kerjasama Yayasan NoVo, Yayasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Coalition for Adolescent Girls,” jelasnya.
Terkesan tatkala melihat video tersebut, Apshy serta Aishy mengadakan sebuah projek dipanggil FlashMob Girl Effect Malaysia di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur pada bulan April tahun yang sama. Projek yang bertujuan meningkat kesedaran orang ramai mengenai badan tersebut dan berjaya menarik ramai peserta, malah orang ramai yang lalu-lalang turut menyertai mereka.
Atas sambutan menggalakkan, Apshy dan Aishy turut mengadakan projek Flash Mob yang sama di pusat beli-belah 1Utama dan Bangsar Village pada tahun yang sama.
KEDUA-DUANYA akan melakukan sebuah konsert tarian secara besar-besaran pada akhir bulan September ini.


Selepas berehat selama setahun atas tuntutan pelajaran, Aishy dan Apshy mendapat ilham untuk mengadakan persembahan untuk kebajikan pada skala besar, Dance Effect Concert 2013 yang diadakan bersama badan bukan kerajaan, Friends To Mankind.
Apshy dan Aishy kini berlatih antara dua hingga tiga jam sehari untuk memastikan kesemuanya berada dalam keadaan rapi dan jitu selain meletakkan sasaran untuk mengutip derma sebanyak RM100,000.
Sementara itu, ibu mereka tersenyum apabila ditanya mengenai cara dia membesarkan anak sehingga kedua-duanya boleh berfikir untuk membuat kerja-kerja amal pada usia yang muda.
“Saya membesarkan anak-anak sama seperti ibu bapa lain, kami sokong setiap minat mereka seperti menari. Apabila mereka mahu mengadakan konsert ini, saya kerap mengingatkan mengenai komitmen yang mesti diberi sepenuhnya.
“Saya fikir, remaja ketika membesar harus menjelajahi dan mengetahui semua perkara dalam kehidupan ini supaya menjadikan mereka lebih terbuka,” kata Geetha.
Konsert tersebut akan turut diserikan dengan kehadiran pelakon kelahiran Kanada yang terlibat aktif dalam bidang sukarelawan, Serinda Swan.
Kini, Apshy sedang menuntut di Kolej Taylor dalam bidang Seni Liberal, manakala adiknya akan melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah di kolej yang sama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: