Friday, September 13, 2013

Kemahiran buat kek golongan asnaf



DARI kejauhan sebelum melangkah masuk ke sebuah bilik kedengaran canda tawa berselang-seli dengan suara persis seorang guru sedang mengajar sesuatu di dalam bilik darjah.
Saat melangkah masuk ke bilik tersebut kelihatan seorang wanita dalam lingkungan usia 40-an sedang tekun membacakan bahan-bahan resipi. Pada masa yang sama, beliau turut menerangkan sedikit tip pantang larang bagi membuat hidangan pencuci mulut pavlova yang menjadi trend masa kini.
Kesemua 20 anak muridnya yang terdiri daripada kaum ibu golongan asnaf tekun mencatat pesanan yang dititipkan sambil memerhatikan demonstrasi pembuatan pavlova dan biskut hiasan. Mereka mengangguk faham.
Beberapa minit kemudian, masing-masing yang dipecahkan kepada empat kumpulan mula mempraktikkan teori yang dipelajari sebentar tadi.
Sekali pandang suasananya persis sebuah rancangan realiti masakan popular, MasterChef. Tetapi hakikatnya, ia adalah Kursus Bakeri Asnaf Siri Kedua anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan kerjasama D Flowers Cake yang diadakan di Perangsang Templer Golf Club, Rawang, Selangor baru-baru ini.
Kursus selama tiga hari itu memberi peluang kepada golongan asnaf mendalami bidang keusahawanan bakeri di samping memberi nilai tambah terhadap kemahiran kulinari yang sedia ada.
Kekok melukis
Para peserta kelihatan sungguh tekun dan bersungguh-sungguh dalam mengikuti setiap modul sepanjang tiga hari berkursus.
Walaupun ada segelintir yang kekok ketika kali pertama melukis dan menghias biskut hiasan menggunakan aising royal sebagai dakwat, namun selepas beberapa kali mencuba mudah sahaja mereka menguasai kemahiran tersebut.

PARA peserta tekun melihat demonstrasi membuat pavlova oleh Zanifah (empat dari kanan).


Seorang ibu tunggal, Suzana Ariffin, 43, dari Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor datang ke lokasi kursus itu semata-mata mahu mengikuti kursus bakeri yang dianjurkan.
“Ia merupakan satu peluang yang baik bagi kami yang tidak mampu untuk mengikuti kelas-kelas sebegini yang mahal yurannya.
“Saya memang ternanti-nanti kursus sebegini kerana kecenderungan saya dalam bidang membuat kek dan kuih,” katanya yang mengambil tempahan kuih dan kek bagi menyara kehidupan bersama anak lelakinya yang berusia 15 tahun.
Menerima tempahan seperti roti jala, kek, kuih-muih tradisional, apam bintik polka, kek coklat, kek lobak dan kek red velvet, Suzana hanya menggunakan cara konvensional memasarkan produknya iaitu promosi daripada mulut ke mulut.
Antara resipi yang dipelajari sepanjang kursus tersebut ialah pembuatan pelbagai ban manis dan pedas, kek coklat kukus, biskut hiasan dan kek cawan serta cara menghiasnya.
Timba pengalaman
Dalam pada itu, Norazah Mat Nazir, 35, begitu teruja apabila diberitahu mengenai kursus tersebut. Wanita yang berasal dari Manjung, Perak dan menetap di Puchong, Selangor itu sememangnya suka memasak dan membuat kek sejak zaman sekolah lagi.
“Tamat sekolah sahaja saya sudah bekerja di kedai kek. Sedikit sebanyak ia membantu saya mengutip pengalaman dan memulakan perniagaan sendiri selepas berkahwin.
“Pihak Pusat Zakat Selangor ada memberikan bantuan berupa lori bergerak bagi memudahkan saya berniaga,” katanya yang menjual kek coklat kukus, kek marmar, kek puding, mi Jawa, laksa dan mi udang.
Kebetulan, suaminya yang bekerja sebagai kerani juga berminat berniaga dan sentiasa memberikan sokongan.
“Saya berharap kursus-kursus sebegini diperbanyakkan dan bukan diadakan setahun sekali sahaja kerana ia dapat membantu golongan asnaf seperti kami menambah kemahiran.

ANTARA hasil kreativiti para peserta menghias biskut hiasan buat pertama kali.


“Ia secara tidak langsung dapat mempelbagaikan produk jualan kami sekali gus menambah pendapatan keluarga tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan,” ujarnya yang mempunyai empat orang cahaya mata berusia antara tiga hingga 13 tahun.
Menyandang status sebagai ibu tunggal bukan mudah buat Zaida Md. Amin, 42, yang berasal dari Banting, Selangor kerana dia terpaksa bekerja sambil berniaga bagi membesarkan lima orang anaknya yang masing-masing berusia tujuh hingga 20 tahun.
Zaida yang bekerja sebagai koordinator jualan di pusat beli-belah Alamanda di Putrajaya kadangkala berkesempatan melelapkan mata selama satu hingga dua jam sahaja kerana bersengkang mata membuat biskut raya yang ditempah pelanggan.
“Berbekalkan dengan sedikit kemahiran yang ada dan bantuan zakat memberikan saya modal untuk berniaga.
“Dengan penganjuran kursus sebegini oleh MAIS, dapatlah saya memberi nilai tambah kepada kemahiran sedia ada,” katanya yang baru belajar membuat kek dalam kursus tersebut.
Zaida berharap dirinya akan memanfaatkan sepenuhnya apa yang dipelajari dengan mempraktikkan hasil tunjuk ajar tenaga pengajar daripada D Flowers Cake, Zanifah Md. Nor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: