Saturday, September 21, 2013
Keindahan lembah di Pakistan
BARU-BARU ini penulis berpeluang ke Pakistan untuk meneroka keunikan dan tarikan pelancongan di negara tersebut.
Pakistan terletak berdekatan Laut Arab. Beberapa banjaran di negara itu antaranya, banjaran Hindiga telah mengangkat Pakistan sebagai negara yang mempunyai landskap terindah di Asia.
Penulis mengembara ke Pakistan secara solo. Pakistan menjadi destinasi wajib bagi pengembara dari luar negara yang gemar mendaki gunung, dan berbasikal di sepanjang lebuh raya Karakarum. Kawasan itu juga menjadi tumpuan untuk mereka yang gemar melakukan ekspedisi melihat haiwan buas (safari) dengan menaiki jip.
Selain aktiviti lasak, Pakistan juga kaya dengan kepelbagaian budaya, etnik dan bahasa mengikut kawasan dan daerah yang berbeza.
Industri pelancongan di Pakistan jatuh merudum sejak insiden serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat.
Selain itu, keadaan politik dalaman yang kurang stabil merupakan salah satu faktor lain yang memburukkan lagi industri tersebut.
Terdorong dengan sifat ingin tahu dan mencuba sesuatu yang baharu, penulis menjejakkan kaki di bumi Pakistan dan sempat meneroka Lembah Ghizer yang pada hemat penulis merupakan antara tempat tercantik yang pernah dikunjungi setakat ini.
Lembah itu terletak di bahagian barat daerah Gilgit-Baltistan yang didiami oleh pelbagai etnik dengan bahasa pertuturan yang berbeza. Khowar, Shina dan Burushaski merupakan tiga bahasa utama yang digunakan oleh penduduk di kawasan tersebut.
Lokasi lembah itu yang terletak di antara dua banjaran gunung Hindu Kush dan Karakarum dengan keindahan alam semula jadi seperti gunung-ganang, sungai dan tasik yang tersendiri.
Perjalanan ke lembah itu bermula dari bandar Gilgit dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda. Perjalanan mengambil masa selama empat jam untuk sampai ke destinasi pertama sebelum tiba di Pekan Gupis.
Pemandangan indah gunung-ganang dan air sungai yang jernih di tepi jalan merupakan peneman setia sepanjang perjalanan. Jambatan besar yang digunakan oleh penduduk tempatan untuk menyeberangi Sungai Gilgit ternyata mencuri tumpuan penulis.
Dirikan khemah
Kira-kira 20 minit dari pekan Gupis, kami sempat singgah di Tasik Khalti yang menjadi kawasan tumpuan penduduk tempatan memancing ikan salmon. Pengembara juga berpeluang mendirikan khemah di tapak-tapak yang telah disediakan oleh pihak berkuasa tempatan secara percuma.
Bagi mereka yang mahu menginap di hotel, penginapan Perbadanan Pembangunan Pelancongan Pakistan (PTDC) di Pekan Gupis merupakan pilihan terbaik.
Selain memancing, pengembara juga boleh mendaki di bukit berdekatan dengan tasik itu. Pendakian ke puncak yang mengambil masa selama 30 minit itu melalui pohon-pohon ceri, aprikot dan kacang walnut. Jika bernasib baik, anda berpeluang bertemu dengan penduduk tempatan yang tidak lokek berkongsi hasil tanaman mereka dengan pelancong.
Hari berikutnya penulis bersama pengembara lain ke Lembah Yassin. Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan pemandangan air sungai yang jernih sehingga membuatkan kami sempat singgah untuk beristirehat di sebatang sungai.
Sumber air bersih dari sungai di Pakistan mudah diperoleh di mana-mana sahaja. Kami berpeluang menikmati air yang menyegarkan itu, mungkin kerana ia datang dari sumber semula jadi.
Di Lembah Yassin, pengembara boleh melakukan aktiviti merentas hutan atau memilih untuk bersantai di tepi sungai. Selain itu, kami berpeluang memasuki kawasan kampung-kampung kecil dengan berjalan kaki dan melihat sendiri kehidupan penduduk tempatan dalam menjalani kehidupan seharian mereka.
Ketika merentas hutan, kami terserempak dengan seorang kanak-kanak perempuan yang sedang berjalan kaki seorang diri sambil membawa sebotol jus yogurt untuk neneknya. Kanak-kanak yang dikenali sebagai Yusra, 10, itu memenuhi pelawaan kami untuk berjalan bersama. Yusra seorang penghafaz al-Quran juga berkebolehan berbicara mengenai politik dan isu-isu semasa.
Apabila sampai di rumah neneknya, kami dipelawa untuk singgah sambil membasahkan tekak terlebih dulu. Kami disajikan dengan yogurt dan teh. Kami menghabiskan masa selama satu jam berbicara mengenai pelbagai topik bersama Yusra dan neneknya sebelum meneruskan kembali aktiviti merentas hutan.
Kami melalui sebatang sungai yang sangat jernih tetapi arusnya amat deras. Cuaca sejuk dan nyaman membuatkan kami sedikit pun tidak berasa letih walaupun telah berjalan selama beberapa jam.
Pada hari ketiga, kami meneruskan perjalanan ke Lembah Phandar. Perjalanan mengambil masa selama dua jam dari Lembah Yassin dengan kenderaan. Seorang rakan pengembara turut berhenti di kawasan sungai di tepi jalan untuk mencuba nasib memancing ikan. Cuaca sejuk dan berangin merupakan faktor utama dia tidak memperoleh sebarang tangkapan pada hari itu.
Perjalanan kami terhenti apabila melalui kawasan tanah runtuh lalu menyebabkan jalan raya terpaksa ditutup. Menurut penduduk tempatan, jalan tersebut telah ditutup selama beberapa minggu.
Kami terpaksa meninggalkan kenderaan di sebuah kawasan yang selamat untuk berjalan kaki merentas kawasan tanah runtuh itu.
Berjalan kaki selama 20 minit membawa kami ke Sungai Pingal. Di situ, kami menyewa sebuah kereta daripada penduduk tempatan untuk meneruskan perjalanan yang masih jauh ke Lembah Phandar.
Lembah Phandar merupakan destinasi terbaik untuk pengembara dan pelancong yang meminati aktiviti memancing. Kami berjaya menjinakkan ikan salmon yang akhirnya menjadi hidangan makan malam buat kami pada malam itu.
Sepanjang mengembara di bumi Pakistan, berada di Lembah Ghizer merupakan antara pengalaman manis dalam diari kehidupan saya. Melalui pengembaraan ini, saya bersyukur kerana dapat melihat keindahan alam semula jadi di Pakistan yang jarang diterokai oleh pengembara-pengembara lain.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: