• Ikon wanita moden Ratu Rania Barisan finalis bersama barisan juri, Rizalman Ibrahim dan Ziana Zain serta pengacara, Dynas Mokhtar
SEIRING dengan perkembangan industri seni yang semakin rancak membangun, stesen televisyen swasta, Astro, sentiasa komited dalam menyusun rancangan istimewa untuk tontonan masyarakat.

Sentiasa tampil dengan idea yang segar dan moden, kini Astro dengan kerjasama produk kecantikan, Safi Rania membawakan program realiti terbaru dalam mencari ikon wanita moden masa kini, Ratu Rania.

Terbuka kepada semua wanita Malaysia berusia 30 hingga 45 tahun, Ratu Rania ialah program realiti terbaru untuk mencari wajah baru Safi Rania.

Setelah menjelajah ke empat lokasi terpilih termasuk Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuantan dan Shah Alam, akhirnya 10 peserta disenaraikan untuk menyertai musim pertama ini.

Mereka adalah, Aida dari negeri Kelantan, Bee (Kelantan), Eza (Sarawak), Lilly (Johor), Nasyiha (Kedah), Nurul (Pahang), Qurnia (Selangor), Sally (Johor), Siti (Kuala Lumpur) dan Watie (Johor).

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Namanzee Harris, program realiti ini merupakan satu percaturan baru di Astro untuk terus menarik minat penonton.

"Atas usaha mengukuhkan lagi kedudukan Astro Prima sebagai saluran keluarga yang menghiburkan, kami membawa program ini sebagai testimoni baru.

"Umum mengetahui, setipa penonton berhak menikmati hiburan yang diminati dan kini sudah tiba masanya pula kita menyediakan platform kepada golongan penonton yang menggemari genre program pencarian bakat berkonsep realiti.

"Menerusi program ini, mereka bukan sahaja berpeluang memperlihatkan bakat yang ada, malah platform ini pasti meningkatkan daya keyakinan, kesungguhan serta keazaman sambil berhibur.

"Walaupun ianya masih awal, namun saya yakin program ini mampu mencuri perhatian ramai sekali gus mendapat sambutan yang menggalakkan," katanya.

Program realiti ini bakal bersiaran pada 4 September ini, setiap Rabu, jam 9 malam untuk dua episod pertama dan jam 9.30 malam untuk episod yang seterusnya di saluran Astro Prima.

Bersiaran selama 10 minggu, peserta harus memperlihatkan pesona ratu ideal menerusi cabaran yang bakal menguji kekuatan fizikal dan mental serta keazaman untuk menjadi sumber inspirasi bersama.

Nasib peserta akan ditentukan sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan oleh pihak juri mengikut tiga kriteria utama termasuk keyakinan diri, pengetahuan dan personaliti.

Juara Ratu Rania bakal membawa pulang hadiah utama yang bernilai sehingga RM50,000.

Program yang julung kali diadakan ini turut melantik tiga juri tetap iaitu Ziana Zain, Rozita Che Wan dan Rizalman Ibrahim. Sementara itu, Dynas Mokhtar pula diberi tanggungjawab sebagai pengacara.

Platform memperkasa wanita

Menurut Pengurus Kumpulan Produk Safi, Mahsuri Sulaiman, Ratu Rania merupakan platform terbaik Safi untuk memperkasakan wanita mengenai pentingnya penjagaan kulit wajah.

Katanya, penjagaan wajah bagi golongan wanita berusia juga perlu dititikberatkan kerana ia merupakan nadi dan kunci keyakinan setiap wanita.

"Sebagai peneraju inovasi kecantikan, program ini membawa kesedaran tentang antipenuaan dalam platform hiburan.

"Ia juga sekali gus membuatkan ia lebih dekat dengan wanita dan lebih mudah untuk difahami.

"Program ini juga umpama hadiah untuk wanita untuk membawa diri ke dimensi personaliti baru, berkeyakinan tinggi, semangat berkumpulan dan lebih dekat dengan pesona keayuan timur," katanya.

Utama penampilan

Sering dilantik sebagai juri tetap untuk program realiti nyanyian, selebriti cantik, Ziana Zain, amat menitik beratkan soal penampilan.

Menurut penyanyi lagu Madah Berhelah ini, penampilan luaran memainkan peranan penting untuk membentuk keyakinan dan kecantikan dalaman.

"Perkara pertama yang akan saya nilai dahulu ialah penampilan. Kita mahukan wanita yang boleh diangkat sebagai gelaran ratu. Berpengetahuan dan berkeyakinan sahaja tidak cukup kalau tak bijak dalam penampilan.

"Buat masa ini, penampilan mereka masih tidak konsisten. Ada ketika, mereka bijak mengayakan pakaian, ada kalanya tak kena.

"Namun, saya sendiri tak boleh nak putuskan siapa yang hebat dan siapa yang bakal bertahan lama. Semuanya terletak pada nasib dan rezeki kerana masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri," katanya yang juga duta kepada produk, Safi Rania Diamond.