- Rohana (tiga kiri) dan Noor Aini (kiri) bersama bayi mereka diraikan Dewanita yang diketuai Khazumi (dua kiri) dalam sambutan bayi merdeka semalam
Rohana Abdullah, 44, dari Pasir Tumboh, melahirkan bayi perempuan bernama Siti Aisyah Mohd Saudi seberat 3.1 Kilogram, pada jam 6.11 pagi semalam, di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) secara normal.
Sebelum ini, dia mempunyai lapan anak lelaki dan empat perempuan dengan yang paling tua berumur 25 tahun. Pada masa sama, Rohana juga mempunyai dua cucu masing-masing berusia dua tahun dan lapan bulan.
Rohana berkata, dia sememangnya mengetahui anak bongsunya itu akan dilahirkan pada tarikh keramat rakyat Malaysia menyambut kemerdekaan apabila dimaklumkan oleh doktor sebelum ini.
“Saya bersyukur dan cukup gembira apabila melahirkan Aisyah pada 31 Ogos, tarikh ini cukup istimewa dan cukup bersejarah bukan saja untuk kami, tetapi juga negara.
“Nombor 13 juga cukup unik apabila Aisyah dilahirkan pada 2013 dan pada masa sama dia juga adalah anak ke-13 kami hasil perkahwinan bersama suami, Mohd Saudi Abdul Ghani, 49,” katanya selepas menerima sumbangan daripada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Kelantan (Dewanita) di Wad Bersalin, HRPZ II, semalam.
Sumbangan Dewanita Kelantan itu disampaikan pengerusinya iaitu Datin Khazuni Othman. Sebanyak 80 hamper barangan bayi diserahkan kepada bayi yang terdapat di HRPZ II.
Mengulas mengenai cabaran melahirkan dan membela anak yang ramai, Rohana berkata, tanggungjawab berkenaan dikongsi bersama suaminya yang bekerja sendiri.
Sementara itu, Noor Aini Mohd Nor, 26, dari Kampung Telok Kitang, Sabak, tidak menyangka bayinya yang masih belum diberikan nama dilahirkan pada jam 2.29 pagi, ketika rakyat Malaysia meraikan ambang merdeka.
Ibu kepada anak dua itu berkata, berdasarkan jangkaan awal, anak perempuannya itu sepatutnya dilahirkan pada Ahad lalu.
“Apa pun Alhamdulillah saya selamat melahirkannya dengan berat 3.3 Kilogram, ini adalah anak kedua selepas yang sulung berusia lima tahun,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZII, Zaid Ahmad berkata, bermula tengah malam kelmarin sehingga jam 11 pati semalam, seramai 11 bayi merdeka dilahirkan di hospital tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: