Monday, September 2, 2013

Dua kali gagal dalam AF, Fida enggan kecewa lagi

FIDA berharap pada kali ini percubaannya untuk menjadi salah seorang peserta AF berjaya.


PERCUBAAN pelakon dan penyanyi Rafidah Ibrahim atau Fida yang telah menyertai ujibakat program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) serta layak ke peringkat seterusnya menimbulkan persepsi ramai pihak.
Ada yang menyokong usahanya itu untuk menyertai program berkenaan. Tidak kurang juga yang memandang sinis dan beranggapan artis yang sudah ada nama sepertinya tidak wajar terlibat.
Ketika bertemunya dalam majlis rumah terbuka anjuran KRU Studios di Cyberjaya baru-baru ini, Fida menyatakan beliau mempunyai alasan tersendiri untuk kembali menguji bakat menyertai AF dan meletakkan harapan yang tinggi supaya namanya terpilih untuk konsert Prelude Top 24 pada 6 September ini.
Menurut penyanyi yang popular menerusi lagu Apo Kono Eh Jang itu, keinginannya untuk menyertai AF 2013 bukan semata-mata kerana populariti program berkenaan.
Kosmo! : Rasanya masih ramai yang tertanya-tanya tentang penyertaan Fida dalam AF 2013. Apakah alasan utama anda untuk menyertainya?
Fida: Bagi saya, AF bukanlah sekadar sebuah rancangan hiburan semata-mata kerana ia boleh dijadikan platform menimba lebih banyak lagi ilmu untuk menjadi seorang anak seni yang bagus.
Biarpun sudah ada nama dan semakin dikenali ramai dalam industri hiburan, saya rasa ilmu yang ada masih belum mencukupi. Jadi, saya akan gunakan pentas AF 2013 ini dengan sebaik mungkin sekiranya terpilih.
Adakah anda pernah menyertai uji bakat dalam mana-mana program realiti hiburan?
Ya. Sebelum ini saya pernah mencuba nasib melalui program realiti One In A Million dan kalau ada yang terlupa, saya telah dua kali menyertai AF iaitu menerusi AF 6 dan AF 7. Namun begitu, saya telah tersingkir pada peringkat awal lagi. Dan, secara jujurnya, saya mengaku pernah merasai kekecewaan apabila tidak layak menyertai AF dahulu. Ini kerana, sebelum menyertai AF 6, saya telah membuat persiapan selama dua bulan iaitu belajar vokal, namun saya tersingkir awal.
FIDA mengaku menyarung pakaian ketat ketika menjadi duta sebuah produk kecantikan.


Keputusan peserta yang layak ke peringkat prelude masih lagi belum diumumkan oleh pihak Astro. Adakah anda mempunyai keyakinan yang tinggi untuk terpilih?
Saya tidak mahu terlalu yakin untuk terpilih, tetapi secara jujurnya saya memang meletakkan harapan yang tinggi. Saya enggan dikecewakan lagi setelah gagal sebanyak dua kali dahulu. Kalau saya terpilih, peluang yang ada ini akan digunakan sebaik mungkin dan komitmen 100 peratus akan diberikan. Lagipun sudah lama saya menantikan peluang sebegini dan rasa rugi pula kalau saya tidak fokus.
Bagaimanakah pula dengan persediaan ketika menjalani uji bakat AF 2013?
Tidak banyak persediaan yang dilakukan, cuma saya lebih banyak bertanya kepada ibu untuk meminta pandangannya. Saya gembira kerana ibu merupakan individu yang paling banyak memberikan sokongan.
Apakah harapan anda sekiranya dipilih sebagai salah seorang peserta?
Sudah tentu saya berharap supaya segala kelemahan yang ada dalam diri dapat diperbaiki lagi menerusi ilmu yang dicurahkan oleh tenaga-tenaga pengajar yang telah dilantik.
Selama ini saya sudah mendapat pelbagai komen sehingga ada yang melabelkan saya sebagai seorang pelakon 'kayu'. Selain mencungkil bakat-bakat baharu, AF juga mampu menjadi medan terbaik buat artis seperti saya untuk pergi lebih jauh.
Sejak kebelakangan ini Fida dilihat semakin berani dalam berpenampilan sehingga mengundang kritikan ramai. Bagaimanakah hala tuju fesyen Fida sekarang?
Tidak dinafikan sekarang saya memang suka mencuba sesuatu fesyen yang baharu. Mungkin ada fesyen yang ditampilkan itu kurang sesuai dengan imej saya yang bertudung.
Berkenaan dengan gambar yang tersebar menampilkan saya berpakaian ketat pula, ia sebenarnya dilakukan untuk satu sesi fotografi sebuah produk pelangsingan badan jenama Emorra dan saya dilantik sebagai duta produk berkenaan.
Saya mengaku pakaian saya itu agak ketat, namun berharap agar tidak ada pihak yang salah sangka atau memberikan persepsi negatif.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: