Saturday, September 7, 2013

Antara emosi dan memori Yuna



AUDIENS disajikan montaj lima minit sekitar perjalanan Yuna bersama label antarabangsa Verve Records dan persiapan menjelang konsert Yuna & Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang telah membuka tirainya kelmarin.
Berdiri ampuh menyarung persalinan merah jambu telus rekaan Hatta Dolmat, Yuna membuka langkah dengan single hits Decorate bersama susunan muzik segar sentuhan Mustafa Fuzer Nawi.
Bagi yang kurang serasi dengan balada muzik pop indie yang diperjuangkan pemilik nama penuh Yunalis Zarai, ada antara lagu-lagu yang ditampilkan dalam segmen pertama belum cukup ranum.
Bagaimanapun, Gadis Semasa, Dan Sebenarnya serta Terukir Di Bintang berjaya menyelamatkan penonton daripada terus tenggelam dibawa arus leka dalam mood dua buah lagu awal - Favourite Thing dan Young yang jarang mengisi corong radio sebelum ini.
Berlalu dalam format persembahan ala teater bermain siluet bulan mengambang, Yuna meneruskan persembahan dengan lagu Coffee yang dipetik daripada album EP Decorate tiga tahun lalu.

TARIKAN Yuna terletak kepada profesionalisme kariernya.


Yuna memecahkan empat segmen konsert solonya kali ini, bermula dengan Boardwalk disusuli Classic Cinema yang menyelitkan sebuah lagu cover Allahyarham P. Ramlee berjudul Gelora Jiwa, seterusnya Dusk dan disimpul kemas dengan segmen Night Lights.
Antara lagu lain yang melengkapi konsert itu adalah tiga buah lagu yang pertama kali diperdengarkan kepada peminatnya di Malaysia daripada album terbaharu, Sixth Street iaitu
I Wanna Go, Musician dan Right Again.
Selain itu, Live Your Life, Remember My Name, Stay, Lullabies dan mash up dua buah lagu No Diggity (nyanyian Blackstreet) dan Let Love Come Through antara 20 buah lagu yang dipersembahkan Yuna penuh bergaya.
Mike Einziger
Memendam kejutan luar biasa kepada peminatnya di Malaysia, Yuna menghadiahkan gitaris band Incubus, Mike Einziger beraksi di pentas bersamanya dalam rendisi beberapa buah lagu gubahan baharu antaranya Deeper Conversation dan sebuah lagu band terkenal Amerika Syarikat itu, I Miss You.
Kata Yuna, kejutan itu dirancang pada saat-saat akhir dan hakikatnya Mike sendiri yang menawarkan diri untuk berkunjung ke Malaysia untuk mengadakan persembahan di Istana Budaya.
“Masih saya ingat pada tahun 2007 ketika itu hanya mampu melihat gitaris ini mempersembahkan bakatnya di pentas dan kali ini dia berada di sebelah saya.
“Menariknya, idea untuk berkolaborasi ini muncul ketika saya memperkenalkan anggota kumpulan saya The Palauans kepada Mike ketika di Los Angeles.
“Sedang kami rancang bersembang mengenai konsert yang bakal berlangsung, Mike dengan sukarela menawarkan diri untuk membuat persembahan.
“Rancangan itu terhenti seketika apabila tiada susulan dibuat dan tiba-tiba Mike menghantar e-mel yang mengesahkan dia bakal datang ke Malaysia baru-baru ini,” tambah Yuna.

YUNA membuat kejutan apabila muncul diiringi oleh pemain gitar Incubus, Mike Einziger.


Latihan jarak jauh
Berada di Los Angeles, Amerika Syarikat tapi pada masa sama perlu menguruskan perihal penting sebelum berlangsungnya konsert, Yuna meluahkan rasa lega.
“Ketika berita gembira ini dikhabarkan, saya segera memanggil kru Yuna Room Records dan mungkin kerana pengalaman mengadakan persembahan serta gigs lebih tujuh tahun, mereka mampu melaksanakan tugas ini dengan sempurna.
“Di LA (Los Angeles) tugas saya memberikan kelulusan, memilih senarai lagu dan berlatih bersendirian. Selepas hari raya Aidilfitri barulah saya memulakan raptai bersama band dan empat malam lepas bersama orkestra,” jelas Yuna mengakui berdepan sedikit kesukaran.
Kata Yuna, seandainya dia dijemput untuk mengadakan persembahan di pentas Istana Budaya tiga tahun lalu, dia tidak mampu untuk melakukannya seperti sekarang.
“Syukur Alhamdulillah dan terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk mengadakan persembahan di Istana Budaya, sejak 10 tahun lalu inilah cita-cita saya terbesar dan akhirnya telah menjadi realiti.
“Pengalaman saya mengadakan siri jelajah di Amerika Syarikat sebenarnya banyak membantu menaikkan keyakinan saya,” katanya yang bakal mengadakan persembahan di Australia dan Singapura sebelum berangkat pulang ke Amerika Syarikat tidak lama lagi.
Yuna mengakhiri konsert Yuna & Orkestra Simfoni Kebangsaan menerusi lagu yang pernah melakar sensasi tahun lalu iaitu Penakut sebelum menamatkan kembaranya dengan single hit terbaharu, Lelaki.
Tiada tersirat sebarang makna kata Yuna, bukan ditujukan kepada sesiapa sebaliknya konsert, memori dan emosi hanyalah buat peminat.
Konsert Yuna & Orkestra Simfoni Kebangsaan masih akan bergema di Istana Budaya pada malam ini dan esok. Bagaimanapun, bagaimana penangan sewaktu dia mula membadai dunia hiburan tempatan dengan kemunculannya pada awal pembabitan lalu, fenomena di Istana Budaya menyaksikan sebanyak 4,000 tiket habis dijual tanpa sisa.
Ya, Yuna, gadis kurus tinggi lampai yang punya kuasa luar biasa hanya dengan sentuhan karya dan lunak merdu suaranya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: