|
GAYU Guru Gerai Nyamai. Ungkapan yang membawa maksud Selamat Hari Gawai itu cukup bermakna bagi masyarakat Dayak Sarawak pada awal bulan Jun setiap tahun.
Hari Gawai Dayak disambut meriah dan penuh warna-warni pada 1 dan 2 Jun lalu di seluruh pelosok Bumi Kenyalang. Namun, dalam kalangan anak-anak muda, ia mungkin dianggap sebagai perayaan biasa.
Bahkan, ramai yang kurang tahu perayaan yang disambut secara besar-besaran itu adalah satu cara untuk melahirkan kesyukuran selepas tamatnya musim menuai padi.
Tradisi bergawai tetap dijunjung oleh masyarakat kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu yang secara kolektifnya disebut sebagai Dayak di Sarawak.
Mereka menyambut Hari Gawai tanpa meminggirkan adat resam yang diwarisi sejak berabad lamanya.
Lazimnya, pada hari tersebut semua ahli keluarga akan pulang ke kampung halaman masing-masing dan berkumpul di rumah panjang bagi meraikannya bersama masyarakat setempat yang lain.
Bagaimanapun, setiap rumah panjang atau kampung mempunyai adat, budaya dan cara tersendiri dalam menyambut Hari Gawai.
Pada asalnya, Gawai Dayak ialah perayaan berbentuk keagamaan yang diraikan oleh kaum Iban dan Bidayuh. Di Sabah, sambutan Hari Gawai bagi meraikan tamatnya musim menuai padi dikenali sebagai Pesta Kaamatan.
Sambutan itu sebagai tanda terima kasih kepada roh dan Tuhan kerana memberikan mereka hasil tuaian yang baik. Sebelum ini, perayaan tersebut dilakukan setiap kali selepas musim menuai padi dan sebelum memulakan penanaman baharu untuk musim seterusnya.
“Perayaan ini menjadi penghujung tahun dalam kalendar masyarakat Dayak sebelum memasuki bulan Julai (Tahun Baharu).
“Kerja-kerja membersih tapak untuk memulakan musim penanaman padi baharu akan menyusul sebaik sahaja perayaan tersebut selesai.
Gawai Padi

“Selain Gawai Dayak, masyarakat Dayak turut menyambut dua lagi perayaan gawai iaitu Gawai Hantu dan Gawai Padi,” jelas Pengerusi Adat Asal Dayak Bidayuh Kampung Opar, Ripis Dongek, 79. Beliau ditemui pada sambutan Hari Gawai di Kampung Opar, Bau, kira-kira 50 kilometer dari Kuching baru-baru ini. Bercerita lanjut, upacara Gawai Hantu disambut pada bulan November. Bagi masyarakat Dayak, ia penting bagi memastikan padi yang ditanam dijaga atau dilindungi daripada ancaman serangga perosak.
Kawasan penanaman padi yang telah dibersihkan dan mempunyai sisa-sisa atau tunggul kayu dipercayai mempunyai roh atau hantu. Atas alasan itulah persembahan penting untuk makhluk tersebut.
Jelas Ripis, apabila daun padi mula menghijau, satu lagi upacara diadakan bagi melahirkan rasa syukur kerana tanaman hidup dalam keadaan baik. Ia dinamakan Gawai Padi dan disambut pada bulan Mei.
“Apabila tanaman baik dan tuaian selesai dilakukan, maka Hari Gawai diadakan bagi meraikan kemenangan serta memperoleh keberkatan dengan mengadakan upacara pemujaan roh dan tuhan,” katanya.
Bagi upacara adat di Kampung Opar, sebuah pondok kecil atau dikenali sebagai bawal dibina untuk menjalankan upacara persembahan kepada roh-roh di langit.
Beberapa bahan akan digunakan untuk menjalankan upacara tersebut iaitu pugang atau pulut di dalam buluh dan nasi yang dibungkus dalam daun.
Pugang akan dipotong-potong dan diletakkan di dalam bakul kecil mengikut jumlah tertentu seperti empat potongan untuk dipersembahkan kepada padi, tujuh potongan kepada hantu dan lapan potongan kepada tuhan.

sebanyak 16 kali sebelum ia diletakkan di dalam pondok berkenaan.
“Dahulu, upacara tersebut meriah kerana ramai warga emas yang turut serta, namun kini ia semakin berkurangan kerana ramai penduduk kampung sudah memeluk agama Islam dan Kristian,’’ katanya yang menjadi Ketua Adat selama hampir tiga dekad.
Ripis mewarisi kemahiran menjalankan adat resam Hari Gawai daripada keluarganya sejak remaja lagi.
Panggil roh
Menurut Ripis, upacara persembahan itu tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa acara pemujaan oleh golongan wanita yang dipanggil ‘perempuan bolih’ dalam bahasa Bidayuh dan perempuan belian mengikut bahasa Melayu.
Perempuan bolih akan memuja dan memanggil roh dari langit kerana hanya mereka yang boleh berkomunikasi dengan mahkluk di alam ghaib.
Tambahnya, perempuan bolih bukan orang sebarangan kerana mereka perlu belajar dan mahir dalam mantera untuk memanggil roh-roh tersebut.
“Jika upacara itu dilakukan oleh perempuan bolih yang tidak mahir, ia akan menyebabkan seseorang itu jatuh sakit.
“Perempuan bolih sahaja yang mampu berkomunikasi dengan roh-roh ini dengan duduk di atas buaian sambil membaca mantera. Mereka tidak boleh diganggu sepanjang upacara tersebut,’’ katanya sambil menambah, golongan lelaki tidak boleh masuk campur dalam upacara yang dilakukan oleh perempuan bolih.
Di Kampung Opar, rata-rata penduduknya terdiri daripada masyarakat Bidayuh.
Dalam dialek mereka, pesta menuai dikenali sebagai Hari Gawia. Upacara itu diraikan pada akhir bulan Mei atau awal Jun. Bagaimanapun, Hari Gawai tidak begitu ‘diangkat’ oleh generasi muda masa kini, malah ia dilihat semakin dipinggirkan akibat arus pemodenan.
Seorang penduduk, Muller Asen, 31, berkata, golongan muda harus terpanggil untuk mempertahankan keunikan sebuah perayaan yang sentiasa dekat di hati komuniti Dayak di Sarawak.
Katanya, kelangsungan budaya yang menjadi simbolik perpaduan, aspirasi dan harapan kaum Dayak itu perlu dizahirkan kepada generasi muda.
Balik kampung

“Upacara persembahan akan dilakukan sekitar pukul 4 pagi. Kira-kira 30 orang warga emas di kampung itu akan membawa bahan-bahan terbabit mengelilingi bawal
“Meskipun tidak lagi terdiri dalam kalangan masyarakat petani, namun pulang ke kampung halaman merupakan satu kemestian bagi saya kerana nilai Hari Gawai tetap sama.
“Apa yang menarik, seawal pukul 11.30 malam sebelum sambutan Hari Gawai, sahabat handai mula ‘ngabang’ atau menziarah ke rumah untuk memeriahkan perayaan tersebut,” katanya.
Menurut Muller, pekan Bau yang lazimnya sunyi akan bertukar menjadi sesak dengan masyarakat setempat yang teruja untuk menyambut Hari Gawai.
Sementara itu, Norizansa Rukut, 31, berpendapat, Hari Gawai perlu diiktiraf dan diraikan bukan sahaja sebagai suatu perayaan untuk penduduk Sarawak, bahkan sebagai perayaan rakyat Malaysia.
Katanya, sambutan pesta menuai alaf baharu itu juga menuntut masyarakatnya menghargai budaya dan memastikan semangat padi terus dihormati.
“Paling mustahak golongan muda wajar mewarisi sambutan perayaan ini, bukannya membiarkan ia tenggelam ditelan dek zaman,” katanya yang merupakan seorang guru sekolah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: