Ulat daun 'serang' penduduk
Ulat daun yang muncul di di kawasan Pelindung Damai menarik perhatian penduduk.

KUANTAN - Penghuni tujuh rumah dekat Pelindung Damai, di sini, rungsing dengan kehadiran ribuan ulat daun sejak empat hari lalu.

Ulat sepanjang tiga hingga empat sentimeter itu dilihat jatuh dari pokok nenasi kira-kira lima meter dari rumah penduduk.

Malah ulat tersebut turut memasuki kediaman penduduk dan meninggalkan kesan getah di lantai serta dinding rumah.

Walaupun ulat itu dikatakan tidak membahayakan keselamatan penduduk atau menyebabkan kegatalan, tetapi mereka bimbang akan menimbulkan masalah sampingan lain yang tidak diketahui.

Ulat bermusim

PENDUDUK, Mohd Riduan Ali, 38, berkata, dia mula menyedari kehadiran ribuan ulat daun itu sejak empat hari lalu yang memasuki rumahnya, selain turut merayap di jalan utama.

Menurutnya, situasi itu sebenarnya sudah biasa bagi mereka kerana ulat daun itu akan muncul setiap dua atau setahun sekali.

“Penduduk di sini menganggap kehadiran ulat daun itu sebagai bermusim kerana ia akan memakan daun pokok nenasi sebelum beredar ke satu pokok ke pokok yang lain.

“Bagaimanapun, dengan jumlah yang banyak, kehadiran ulat daun itu tidak disenangi kerana turut memasuki rumah dan berada di depan serta dinding rumah,” katanya ketika ditemui
di sini.

Mohd Riduan berkata, dia hanya mampu menyapu ulat terbabit daripada memasuki rumah namun tidak dapat menghalang serangga itu daripada terus berada di kawasan rumahnya.

Seorang tukang jahit, Rokiah Muda, 46, pula berkata, dia menghabiskan tiga penyembur aerosol sehari memandangkan jumlah ulat daun yang banyak memasuki rumahnya.

Katanya, dia juga terpaksa menutup tingkap untuk menghalang ulat terbabit terus memasuki rumah.

“Sejak 20 tahun tinggal di sini, fenomena ini sudah biasa. Apabila cuaca hujan dan panas tidak menentu, ulat ini akan muncul.“Mungkin boleh dikatakan sebagai penghijrahan
ulat ini sebelum menjadi rama-rama,” katanya,” katanya.

Rokiah berkata, ulat itu aktif pada waktu siang terutama pada waktu petang berbanding waktu malam.

MPK sembur racun

SEMENTARA itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Kemasyarakatan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Haslinda Hassan berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk di situ mengenai masalah itu, malam kelmarin.

Katanya, Unit Vektor MPK telah ke lokasi untuk melakukan semburan racun.

“Semburan tersebut mampu kekal sehingga seminggu sekiranya cuaca panas. Walaupun kehadiran ulat daun itu dikatakan sudah biasa namun bagi MPK, ia adalah aduan kali pertama
diterima.

”Sehingga semalam, MPK sudah membuat dua semburan bagi mengelak ulat tersebut menyerang rumah penduduk di situ,” katanya.