|
KUALA LUMPUR – Artis-artis tanah air mahu Tribunal Hak Cipta yang diwujudkan semula oleh kerajaan bertindak tegas terhadap pihak-pihak yang sering menafikan hak mereka dalam industri seni selama ini.
Tribunal itu yang diwujudkan semula melalui Akta Hak Cipta (Pindaan) 2012 baru-baru ini diharapkan dapat memberi nafas baharu kepada penggiat seni yang sering tertindas dan tidak dapat pembelaan sewajarnya.
Bagi penyanyi Jay Jay atau nama sebenarnya Ahmad Fauzi Darus, 54, beliau mahu tribunal itu lebih tegas dalam penguatkuasaannya agar dapat memberi pengajaran kepada badan yang sewenang-wenang mencuri hasil seni artis.
“Bila artis buat aduan di tribunal itu nanti, jangan ada masalah birokrasi dan urusan pembelaannya mestilah adil kerana itu satu-satunya saluran untuk kami mengadu apabila tertindas,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Akta Hak Cipta (Pindaan) 2012 diwartakan pada 9 Februari lalu selepas dibentangkan di Parlimen pada Oktober 2011.
Pindaan berkenaan antara lain merangkumi aspek kutipan royalti yang lebih telus, penguatkuasaan Tribunal Hak Cipta, larangan muat turun bahan seni secara tidak sah serta jumlah bayaran minimum yang sepatutnya diterima karyawan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: