Tuesday, June 19, 2012

Tok Batin kagum kegigihan penduduk

BATIN Adeng Geboi (kiri), Batin Ibe Besah dan Linah Buta Yusuf mengambil kesempatan menyaksikan sendiri bagaimana para petani mengusahakan tanaman di Kampung Gandok, Desa Suntenjaya daerah Lembang, Bandung, Indonesia baru-baru ini.

KUNJUNGAN ke kawasan pertanian berkelompok di Kampung Gandok, Desa Suntenjaya, mukim Lembang di Bandung, Indonesia baru-baru ini sangat mengesankan bagi 13 anggota rombongan Orang Asli dari Jelebu, Negeri Sembilan.

Tok Batin Kampung Orang Asli Ulu Kelaka, Kuala Klawang, Adeng Geboi memberitahu, banyak pengalaman dan ilmu yang dipelajarinya dalam lawatan ke kampung berkenaan.

Katanya, ini termasuk perancangan tersusun penduduk kampung mengusahakan tanaman secara berkelompok dan komersial sehingga mampu dipasarkan ke luar negara.

“Saya kagum dengan mereka. Bukan saja tanam dan usahakan secara gigih malah mempunyai pusat pembungkusan sendiri dan syarikat yang menguruskan pengeksportan hasil tanaman.

“Bagi saya, pendapatan mencecah lima juta rupiah atau RM1,703 bagi setiap ketua keluarga yang menyertai program berkelompok itu sangat tinggi dan berbaloi," katanya.

Seorang lagi Tok Batin, Ibe Besah dari Kampung Sawah, Simpang Durian berkata, kaedah mengusahakan dua atau tiga jenis tanaman di satu-satu batas atau tapak adalah ilmu baru baginya.

“Saya lihat sendiri mereka tanam tomato dengan menjadikan batang buluh diikat berbentuk X sebagai ‘kayu junjung’ supaya ia boleh menjalar ke atas.

“Di bawah pula ditanam kubis. Kedua-dua tanaman ini iaitu tomato dan kubis hidup subur, jadi petani memperoleh pendapatan daripada dua tanaman sekali gus.

“Tidak cukup dengan itu, mereka ternak ikan air tawar di dalam kolam kecil menggunakan kain kanvas. Ini juga ilmu baru bagi saya," katanya.

Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Orang Asli Batu 17, Simpang Pertang, Linah Buta sependapat dengan Adeng dan Ibe.

Menurutnya, pengalaman dan ilmu yang dikutip dalam lawatan itu akan dikongsi untuk dipraktikkan anak-anak buah atau penduduk kampungnya.

“Di Bandung ini kebanyakan mereka masih usahakan tanaman secara tradisi iaitu pergantungan kepada kudrat manusia. Itupun sudah boleh dapat hasil yang lumayan.

“Di kampung kita di Malaysia, kalau ditambah baik dengan penggunaan alatan canggih dan kaedah pertanian moden, saya yakin hasil pendapatan akan lebih tinggi dan mampu mengubah cara hidup Orang Asli di tanah air," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Permata Budi Klawang, Maimunah Mohd. Yusuf berharap program lawatan anjuran pihaknya ini akan memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli khususnya di Jelebu untuk meningkatkan taraf sosioekonomi.

Pada masa yang sama, beliau juga meminta pihak lain terutama syarikat-syarikat swasta di Malaysia supaya turut membantu menganjurkan program seumpamanya.

“Selama ini kita tidak pernah dengar ada rombongan sambil belajar untuk masyarakat Orang Asli. Namun kali ini Permata Budi merealisasikan matlamat itu.

“Kita harap program ini tidak terhenti di sini, sebaliknya disusuli oleh pihak lain demi untuk memajukan masyarakat Orang Asli di Malaysia," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: