Tuesday, June 5, 2012

Tiada istilah ‘tidak boleh’

POTONG...Lois memotong kenderaan bagi mengeluarkan mangsa.
POTONG...Lois memotong kenderaan bagi mengeluarkan mangsa.

LASAK, daya tahan diri yang kental dan bertanggungjawab antara ciri yang perlu ada sebagai sukarelawan. Ini kerana mereka perlu berhadapan dengan pelbagai keadaan sukar yang adakalanya membabitkan pelbagai situasi berbeza antaranya kemalangan jalan raya, gempa bumi, banjir dan tanah runtuh.

Mungkin tidak ramai yang mengetahui walaupun pada hakikatnya situasi sebegini banyak dikaitkan dengan aktiviti dijalankan lelaki memandangkan kelasakan tugasnya, masih ada wanita yang menyertai badan sukarelawan sebegini.

  • Foto

    GAYA WIRAWATI...(dari kiri) Tammie, Lois dan Kaanthini sentiasa bersedia menghadapi bahaya.

  • Foto

    SELIDIK...perlu teliti bagi memastikan tiada mangsa masih berada di bawah runtuhan batu.

  • Foto

    CARI MANGSA...Kaanthini membawa alat bantuan kecemasan bagi membantu mangsa.

Mengambil contoh Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela Malaysia (MVFRA) iaitu sebuah badan sukarela yang banyak membantu mangsa bencana dengan cara tersendiri, mengalu-alukan kehadiran mereka yang sudi menjalankan kerja sukarela sebegini.

Tammie Loo, 32, berkata, tidak semua individu boleh menjadi sukarelawan kerana tugas berkenaan memerlukan komitmen tinggi dan pengorbanan terutama dari segi masa.


Ramai individu boleh mendaftarkan diri untuk menjadi sukarela, tetapi tidak semua mampu memberikan perhatian sepenuh masa dalam memastikan tugas yang termaktub dalam badan sukarelawan dipenuhi.


“Sebagai sukarela, kami perlu sentiasa bersedia untuk memenuhi tuntutan tugas dan boleh dikatakan tiada istilah rehat terutama pada hujung minggu.

“Apabila tidak bekerja, ibu pejabat menjadi tempat untuk berkumpul dan menjalankan pelbagai aktiviti sukarelawan antaranya menjalani latihan menyelamat bagi memantapkan diri di tempat kejadian sebenar,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat MVFRA di Jalan Wirawati 6, Taman Maluri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dia yang menyertai badan sukarela terbabit sejak 2005 berkata, isu perbezaan jantina tidak pernah menjadi halangan dalam memastikan setiap tugasan dilakukan memenuhi tahap piawaian terutama apabila berhadapan dengan bencana.

Setiap hari menjadi satu bentuk pengalaman baru dalam diri sukarelawan kerana apabila berhadapan dengan perkara tidak dijangka, ia tidak sama dengan apa dilalui sebelum ini.

“Sungguhpun sudah tujuh tahun menyertai aktiviti sukarela ini, saya masih berasa seperti baru menyertainya kerana masih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari terutama apabila ia membabitkan nyawa orang.

“Lelaki atau wanita, setiap tugasan adalah sama dan masing-masing saling melengkapi antara satu sama lain dan ia membentuk jalinan perhubungan yang kukuh terutama apabila berhadapan dengan situasi kritikal,” katanya.

Dia yang bertugas sebagai eksekutif bahagian sumber manusia berkata, pada awal pembabitannya dalam dunia sukarela ini, keluarga tidak begitu memberikan sokongan kerana mereka beranggapan ia bukan sesuatu yang perlu dilakukan sebagai wanita.

Namun, selepas diberikan penjelasan sewajar–nya, keluarga akhirnya akur dengan keinginannya yang mahu memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan dengan cara tersendiri.

“Saya berasal daripada keluarga yang besar dan disebabkan itu, isu keselamatan sentiasa menjadi keutamaan apabila bersama. Latihan yang dipelajari dalam aktiviti sukarelawan ini boleh dimanfaatkan dalam keluarga terutama apabila berada dalam keadaan terdesak.

“Saya tidak pernah menyesal menyertai bidang sukarelawan ini kerana ia satu dunia baru yang lebih bermakna dan tidak lagi terikut-ikut dengan rutin harian yang sama sebelum ini - pergi kerja, balik kerja, cuti di rumah dan kemudian proses berkenaan diulang setiap hari. Bagi saya, ia satu perkara yang cukup memenatkan,” katanya.

Sementara itu, bagi Lois Lim, 33, pula dia menyertai aktiviti sebegini sejak tahun 2000 mengikuti jejak langkah kakaknya yang turut sama berkecimpung dalam dunia sukarela bersama MVFRA sejak awal lagi.

Dia yang sememangnya meminati dunia sukarelawan sejak di bangku sekolah, sentiasa mencari peluang untuk menjadikan impiannya itu satu kenyataan.

Bagaimanapun, katanya, ketika itu dia masih bersekolah dan perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada persekolahannya.

“Tugas sebagai sukarelawan memerlukan perbelanjaan yang tinggi kerana setiap yang dilakukan dalam organisasi berkenaan hanya dibiayai diri sendiri. Tiada siapa yang akan memberikan bantuan kewangan bagi memenuhi segala keperluan.

“Disebabkan itu, syarat asas untuk menjadi sukarela di MVFRA adalah pendapatan bulanan secara tetap kerana faktor ini memainkan peranan penting dalam memastikan perjalanan organisasi lebih lancar,” katanya.

Lois berkata, bukan bermakna setiap bulan satu peruntukan bajet khas diberikan kepada badan sukarela terbabit, tetapi ia bagi memastikan anggotanya memiliki pakaian seragam khas dan kelengkapan keselamatan diri yang diperlukan untuk tujuan kerja sukarela.

Menurutnya, disebabkan tidak memiliki dana khas yang diperuntukkan untuk menjayakan misi dilakukan, setiap anggota perlu mendapatkan kelengkapan dan keperluan atas daya usaha sendiri mengikut kemampuan masing-masing.

“Siapa kata menjadi ahli sukarela satu perkara yang murah kerana apa yang dilakukan dalam organisasi semata-mata untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Paling penting, jangan mengharapkan balasan dan hanya menyertai badan sukarela hanya untuk memperoleh hadiah percuma kerana tujuan sedemikian tidak ikhlas,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai pengurus bank berkata, sebagai ahli sukarela, mereka boleh dikatakan memiliki dua personaliti berbeza iaitu lembut dan bergaya pada waktu bekerja dan kemudian berubah sekelip mata menjadi seorang yang lasak pada waktu diperlukan.

“Saya tetap mengenakan skirt, kemeja, kasut tumit tinggi dan membawa beg tangan seperti wanita normal lain, malah turut keluar untuk membeli-belah, tetapi ia tidak menghalang daripada melaksanakan tugas sebagai sukarelawan dengan berjaya.

“Malah, hanya rakan rapat saja mengetahui ‘kerjaya’ kedua saya sebagai ahli sukarelawan. Bagi mereka yang baru mengenali saya, ia sesuatu yang sukar dipercayai memandangkan saya tidak menonjolkan gaya lasak di tempat kerja,”
katanya.

Bagi Kaanthini Thedchanamoorthy, 34, pula dia sememangnya menggemari aktiviti lasak dan kegiatan luar serta berkeinginan untuk membantu mereka yang memerlukan, tetapi tidak mengetahui cara untuk melakukannya.

Di sebabkan itu, dia yang bekerja sebagai ketua bahagian operasi di sebuah syarikat teknologi maklumat menyertai badan sukarela ini selepas diperkenalkan secara tidak langsung oleh kakak iparnya.

“Setiap hari kita tidak boleh menjangka apa yang akan berlaku dan pasti ia memberikan satu bentuk cabaran baru yang memerlukan kita sentiasa bersedia untuk menghadapinya.

“Di sini saya belajar tiada istilah ‘tidak boleh’ kerana dalam segala aspek, saya akan sentiasa memastikan tugasan itu perlu dan boleh dilaksanakan,”
katanya sambil memastikan tidak akan merungut atau mengeluh.

Dia akui kekuatan tangannya tidak seperti orang lain, tetapi ia tidak bermakna dia tidak boleh melakukan sesuatu kerja berat.

“Saya pastikan ia tidak menjadi halangan untuk saya mempersiapkan mental dan fizikal dengan mengikuti aktiviti senaman di gimnasium.

“Dalam keadaan kritikal, satu kesilapan saja boleh menyebabkan nyawa seseorang itu berada dalam bahaya. Oleh itu, penting untuk sentiasa bersedia dan setiap tindakan mengikut situasi serta keadaan kejadian terbabit,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: