DI pinggiran jalan yang sibuk menuju ke kawasan perkelahan alam di Hulu Langat, Selangor, saya memerhatikan keriuhan sekumpulan anak-anak seusia awal tujuh hingga 12 tahun ceria bermain di pinggir halaman berpagar.
Di situ, sebuah taska tersergam gagah menerima kehadiran para tetamu cilik yang menjadikannya tempat singgah. Di situlah, saya dan krew Jejak Asnaf kali ini melabuhkan sementara sauh pelayaran kami dalam misi menjejaki asnaf berpotensi, demi mengutip kisah dan hikmah buat tatapan dan perkongsian bersama.
Seorang wanita separuh baya, berjubah dan bertudung labuh menerima kehadiran kami dengan senang hati. Pada wajahnya, tidak sedikit pun terpamer lelah menangani ulah dan lincah anak-anak dengan pelbagai keletah.
Benarlah, cinta dalam sesuatu kerjaya; yang berat pun terasa ringannya. Maka, tidak keterlaluan saya namakan catatan kali ini, Taska cinta Suzaini.
Suzaini Johari, 40, begitulah nama wanita yang bakal mewarnai kisah kali ini. Beliau kini merupakan seorang pengusaha taska hasil bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang tidak kekok berkongsi kisah semalam buat dijadikan pengajaran.
Sesungguhnya, hidup manusia sering di luar jangkaan, andai terjatuh atau tersembam, jangan sesekali menyerah tanpa berjuang.
“Dahulu saya dan keluarga tidak pernah terfikir akan melalui semua ini. Suami saya ditimpa sakit semasa menyiapkan ijazah kedoktoran (PhD) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Kala itu, beliau masih baru dan hanya berjawatan pensyarah sementara. Lantaran sakit yang tiba-tiba menimpa, kehidupan kami yang awalnya berjalan sempurna menjadi sebaliknya."
Demikianlah, apa yang dapat dibayangkan tidak semestinya menjadi kenyataan. Tahap-tahap kematangan keluarga yang bakal dibina, bisa luluh sekelip mata.
“Demikianlah, panas yang diharap sampai ke petang, hujan pula mencurah di tengah rembang. Suami saya yang sewaktu awal 2004 itu sedang bergelut di peringkat Doktor Falsafah di UMS, diserang sejenis penyakit yang menghalang kemampuan daya fikirnya. Mungkin akibat tekanan.
“Akhirnya, kami pulang ke semenanjung tanpa tahu pangkal dan hujung. Segala-galanya di luar keupayaan saya memikirkan, apa akan jadi pada masa hadapan," tambah Suzaini penuh penghayatan.
Sesekali, wajah mendungnya bagaikan ingin menceritakan kembali saat payah dan getir beberapa tahun nan silam. Jelas, ibu separuh baya ini bagaikan tidak menduga nasib dirinya sekeluarga akan menjadi sedemikian rupa.
“Dalam keadaan tiada ketentuan itu, ditambah dengan anak seramai tujuh orang dan anak paling kecil pula berusia sekitar setahun, maka apakah seorang wanita seperti saya mampu lakukan?
“Masih basah dalam lipatan minda saya, kami tidak mampu mencari rumah sewa. Wang simpanan perlu dijimatkan. Akhirnya, kami tega mencari perlindungan di rumah bekas kuarters kerajaan yang dalam proses pelupusan.
“Di situlah kami tinggal tanpa bekalan air dan elektrik. Mujurlah kejiranan kami kala itu prihatin dan simpati dengan keperitan, mereka rela memberikan sambungan air dan elektrik ke ‘rumah kami’ berkenaan.
“Anak-anak pula, hampir dua tahun tidak bersekolah. Ini kerana, semasa suami saya sihat, mereka kami masukkan ke sekolah tahfiz yang berbayar. Apabila suami sakit, kami tidak mampu lagi menampung bayarannya saban bulan. Saya tidak akan lupa, di bawah redup pohon rambutan di hadapan rumah itulah, anak-anak saya meneruskan hafalan al-Quran. Bagi saya, teruskanlah bersekolah walaupun di depan rumah," ujar Suzaini penuh nostalgia.
Sehinggalah menjelang tahun 2009, mereka dicadangkan oleh pihak Jawatankuasa Masjid di situ agar mengadu nasib kepada LZS.
Hakikatnya, hati Suzaini berbelah bahagi. Malu ada dan syukur pun ada. Ini kerana, dahulu mereka sendiri membayar zakat; namun tidak menyangka hari ini, mereka pula yang memerlukan bantuan zakat.
“Alhamdulillah, LZS benar-benar memahami kondisi dan keperluan kami. LZS memberikan pelbagai jenis bantuan. Termasuklah membiayai terus pendidikan anak-anak saya yang dahulunya belajar di tahfiz. Salah seorang daripada anak saya, kini sudah pun mendapat ijazah di luar negara atas bantuan zakat berkenaan," katanya.
Benarlah, hari ini ketiga-tiga orang anak Suzaini yang sedang belajar di Yaman telah dibantu oleh LZS. Awalnya, pemergian mereka ke sana adalah dengan tajaan seorang hartawan Malaysia yang budiman. Setelah hartawan berkenaan meninggal dunia, maka keberadaan mereka di Yaman terus ditampung oleh LZS sehinggalah tamat pendidikan.
“Apa lagi yang mengembirakan saya, melainkan dapat membina kembali keluarga. Lalu, apabila LZS sudi meluluskan permohonan bantuan perniagaan terhadap taska ini pada tahun 2010, ia adalah suatu rahmat dan nikmat paling bermakna buat saya. Saya tahu, Allah SWT sudah menyediakan suatu jalan baharu bagi saya untuk berubah. Maka, saya akan terus berusaha untuk meraih kehidupan yang cerah dengan bantuan zakat ini.
“Tiada ucapan yang mampu saya nukilkan buat semua pembayar zakat. Dengarlah... Ya Allah, semoga jasa para pembayar zakat ini diberkati oleh-Mu. Sungguh, atas bantuan zakat itulah, anak-anak saya hari ini tidak terbiar lagi," tuntas Suzaini sambil mengesat titis-titis air mata di pelupuk mata dengan hujung kerudungnya.
Nota: Atas bantuan zakat berjumlah kira-kira RM20 ribu, kini Suzaini Johari mengusahakan sebuah taska (termasuk transit anak-anak ke sekolah) di Hulu Langat dengan bantuan dua orang pengasuh. Beliau boleh dihubungi di talian 014-2363134.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: